Idea penubuhan Perikatan Nasional (PN) bermula ketika dunia dilanda Covid-19 dan negara dalam ketidakstabilan ekoran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai mandat rakyat dengan majoriti ditumbangkan oleh Ahli Dewan Rakyat dari parti sendiri.

Pada mulanya nama yang dicadangkan ialah “Pakatan Nasional”. Istilah “pakatan” itu mencerminkan sebuah gabungan yang diketuai oleh bekas anggota PH iaitu Bersatu dan ahli-ahli parlimen PKR yang meninggalkan parti mereka.

Nama “Pakatan Nasional” juga tidak jauh bezanya dengan Barisan Nasional (BN). Dalam impiannya mungkin untuk menjadi pengganti BN atau sebagai BN 2.0 yang akan memerintah lama sepertinya. BN memerintah negara dari tahun 1974 hingga 2018 iaitu 44 tahun.

bn barisan nasional and pn perikatan nasional leaders celebrate Negeri sembilan state election 010826

Tetapi akhirnya dipilihnya perkataan “perikatan” dan menolak “pakatan”.

Perikatan adalah nama gabungan parti yang membawa negara ini kepada kemerdekaan Malaya dan penubuhan Malaysia.

Asalnya ia adalah Perikatan Umno-MCA yang ditubuhkan dengan kerjasama oleh Umno Selangor dan MCA Selangor pada tahun 1952 bagi menghadapi pilihan raya tempatan Kuala Lumpur. Parti Perikatan sendiri ditubuhkan pada tahun 1954 dengan penyertaan MIC bagi menghadapi pilihan raya tahun 1955.

Dalam bahasa Inggeris, Parti Perikatan adalah Alliance Party yang turut menyerupai perkataan Allies, iaitu negara-negara yang memenangi Perang Dunia Kedua, terdiri daripada Amerika Syarikat, Soviet Union, Britain, Perancis dan Republik China (ROC). Istilah bahasa Melayu adalah Berikat.

Parti Bersatu Sabah Perikatan Nasional logo generic 100920

Parti Perikatan mempunyai lambang kapal layar di atas permukaan biru tua. Lambang itu boleh mencerminkan kerjasama antara Melayu dan Cina. Kapal layar putih itu adalah lakaran perahu sekoci mempunyai dua layar disusun empat segi. Ia seperti perahu yang digunakan oleh orang Melayu terutamanya para nelayan di Pantai Timur. Walaupun ia merupakan lambang Melayu tetapi juga merupakan alat pengangkutan mengingatkan bahawa orang Cina dan India datang menggunakan kapal walaupun berlainan bentuk.

Namun dalam kempen pilihan raya, penceramah Perikatan sering menceritakan bahawa kapal itu menggambarkan penduduk Malaya bersama dalam satu bahtera sedang berusaha untuk hidup dalam sebuah negara merdeka. Semenanjung Tanah Melayu ini bentuknya pun adalah seperti sebuah bahtera. Maka ada sebuah lagu patriotik zaman itu yang bernama “Bahtera Merdeka”.

Di depan orang Melayu terutamanya di Kelantan dan Terengganu, penceramah Umno ada menyatakan bahawa kapal itu melambangkan amalan menunaikan haji. Ini kerana pada masa itu, jemaah haji pergi ke Mekah dengan menaiki kapal. Ada juga penceramah Umno mengaitkan kapal itu dengan bahtera Nabi Nuh.

Perumpamaan-perumpamaan ini digunakan kerana lawan mereka, PAS dalam pilihan raya tahun 1959 menggunakan lambang bulan sabit dan bintang berlatar hijau yang merupakan lambang umat Islam.

hot air ballon with bn logo ride in tapah perak 131122 02

Latar belakang biru tua Perikatan mencerminkan fahaman politiknya yang berorientasikan pada Barat khususnya Britain. Lambang Perikatan mula digunakan pada tahun 1954, ketika mana negara sedang melawan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam Darurat. PKM menggunakan warna merah. Begitu juga parti-parti kiri yang bertanding dalam pilihan raya itu ialah Parti Buruh Malaya yang menggunakan warna merah.

Adalah menarik bahawa Perikatan tidak menggunakan warna Umno iaitu merah putih yang berasal dari bendera Indonesia, Sang Saka Merah Putih yang amat digemari oleh golongan kiri Melayu iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dengan mereka pernah menjadi anggota Umno.

Pada tahun 1954, MCA belum mempunyai logo. Sebahagian ahlinya pernah menganggotai Kuomintang iaitu Parti Nasional China yang mempunyai logo matahari putih bersinar 12 dengan latar berwarna biru. Parti itu berlawan dengan Parti Komunis China yang tentunya mengambil warna merah.

Dalam Perang Dingin, biru mewakili golongan kanan yang terdiri daripada Amerika, Britain dan Perancis dengan mereka berlambangkan warna biru sementara golongan kiri adalah Soviet Union dan Republik Rakyat China yang menggunakan warna merah.

Di peringkat Britain, biru adalah warna Parti Konservatif dan merah merupakan warna Parti Buruh.

Malaysia lahir daripada gejolak geopolitik Perang Dingin. Ia diasaskan oleh Perikatan, Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura, Perikatan Sarawak dan Sabah.

Parti Perikatan berakhir pada tahun 1974 apabila Barisan Nasional ditubuhkan. Sebelum tertubuhnya BN, perkataan “nasional” tidak meluas digunakan di Malaysia. Ia hanya banyak digunakan di Indonesia. Perkataan yang sering digunakan di negara ini adalah “kebangsaan” dan “negara.” Sebab itu sebelum adanya BN, parti yang ada ialah Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) dan Parti Negara. Bangunan yang didirikan pula ialah Masjid Negara, Stadium Negara, Muzium Negara, Bank Negara dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hanya selepas adanya BN, muncullah syarikat institusi Petroliam Nasional (Petronas), Tenaga Nasional Berhad, Stadium Nasional dan Perbadanan Nasional (Pernas).

BN meneruskan warna biru Perikatan untuk menunjukkan ia melanjutkan fahaman politik kanan dan konservatif Perikatan walaupun di dalam ada dua parti tengah kiri iaitu Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP). Lambang dacing pula adalah untuk menunjukkan keadilan sosial sebagai perjuangannya. Apa yang dikatakan perjuangan keadilan versi BN ialah keadilan di antara kaum yang ditampilkan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pelajaran Kebangsaan.

PKR Parti Keadilan Rakyat political party generic flag logo 170625

Apabila gerakan reformasi menubuhkan parti politik pada tahun 1999, mereka menamakannya Parti Keadilan Nasional. Perkataan “nasional” hilang apabila ia bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia untuk menjadi PKR.

Maka apabila Anwar Ibrahim menubuhkan gabungan PKR dengan sekutu-sekutunya iaitu DAP dan PAS selepas menang lima negeri pada tahun 2018, beliau menamakannya Pakatan Rakyat.

Inilah pertama kali istilah “pakatan” digunakan pada gabungan politik. Ada negarawan menyindir bahawa istilah “pakatan” itu seringkali digunakan oleh orang yang berpakat untuk melakukan kejahatan.

Tetapi perkataan “pakatan” digunakan sebagai terjemahan kepada “pact” dalam bahasa Inggeris. Sebagai reaksi kepada penubuhan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Soviet Union dan negara-negara komunis Eropah Timur mengadakan perjanjian Warsaw Pact. Media bahasa Melayu menerjemahkannya sebagai Pakatan Warsaw. Ia kemudian diikuti dengan Pakatan Baghdad dan Pakatan Bangkok.

pas dap pkr pakatan rakyat leaders gathering event circa 2013 180917 01

Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk mengalahkan BN. Tetapi peluang itu dirosakkan oleh PAS yang menghentikan kerjasama dengan DAP pada tahun 2015. Ekoran itu DAP menarik diri daripada Pakatan Rakyat dan PKR mengisytiharkan Pakatan Rakyat terbubar.

Ada kalangan PAS yang menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak wajar terbubar tetapi hanya DAP yang keluar daripadanya. Maka ada gambaran bahawa PAS mahu Pakatan Rakyat terus wujud dengan hanya dianggotai oleh PAS dan PKR seperti mana Barisan Alternatif dahulu.

Tetapi segolongan ahli PAS bertindak keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara. Parti ini bertindak segera menubuhkan pengganti Pakatan Rakyat. Lim Kit Siang mencadangkan nama Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah.

Walaupun Amanah merupakan pecahan PAS, tetapi ia tidak mengambil warna hijau sebagai logonya. Ia mengambil warna oren untuk menunjukkan ia berbeza daripada PAS. Tetapi Bersatu yang merupakan pecahan Umno ambil warna merah sebagai logonya. Warna merah adalah warna Umno.

sungai besar by election nomination day 050616 supporters amanah flag 02

Menjelang pilihan raya tahun 2018, Bersatu menyertai PH. Dengan Bersatu, DAP dan PKR mempunyai merah pada logo mereka, maka diputuskan bahawa merah adalah logo PH, yang jelas membezakan diri mereka daripada BN. Logo PH berupa mata anak panah seperti lambang Star Trek menunjukkan fahaman politik progresif walaupun Bersatu tetap berpegang kepada konservatisme Umno. Tetapi PH tidak dapat menggunakan logo dan bendera mereka dalam PRU tahun 2018 kerana tidak diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Apabila kerajaan PH tumbang yang dicetuskan oleh keluarnya sebahagian ahli parlimen PKR, maka dijangka bahawa mereka menubuhkan parti baharu sebagai pecahan PKR. Tetapi perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya mereka menyertai Bersatu. Dengan kehadiran bekas ahli PKR itu, Bersatu sebenarnya sudah tidak menjadi “pecahan tulen” Umno.

Maka setelah berjaya mengetuai kerajaan campuran Bersatu, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti Sabah, Muhyiddin Yassin bercadang kesemua parti itu berada dalam satu gabungan bernama Perikatan Nasional. Hakikat bahawa nama PN adalah seperti BN, maka beliau berharap bahawa ia menjadi seperti BN tetapi lebih besar. Sebab itu ia mengambil biru tua tetapi dengan perbezaan ton warna. Ia tidak ada logo dan hanya ada tulisan Perikatan Nasional.

PN didaftarkan pada 7 Ogos 2020 dengan ahlinya ialah Bersatu, PAS dan Parti Solidariti Tanahairku (STAR). BN dan GPS enggan menjadi anggota walaupun mereka menyokong kerajaan campuran itu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional 0211220 General Assembly meeting PN Perikatan Nasional High Council with Muhyiddin Yassin and Hadi Awang

Tetapi perkara itu tidak lama kerana BN tidak mahu Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri. Mereka sendiri mahu menjadi ketua. Maka kerajaan PN tumbang pada 16 Ogos 2021. BN tidak boleh lama diketuai oleh orang lain. Maka tidak hairanlah kini mereka tidak selesa berketuakan Anwar Ibrahim.

PAS pun enggan berketuakan Muhyiddin Yassin. Parti itu berasakan bahawa mereka adalah parti lebih besar daripada Bersatu dan wajar menjadi ketua dan patut boleh menentukan siapa menjadi Perdana Menteri. Maka PAS pula memilih Hamzah Zainuddin dan menolak Muhyiddin.

Kini Bersatu sudah mengadu kepada ROS kerana PN pimpinan PAS tidak mengundang Bersatu dalam mesyuaratnya. ROS menggantung PN selama sebulan.

Sebenarnya PAS yang tidak mahukan Bersatu tidak perlu mengambil alih PN. PAS wajar mendaftarkan gabungan Muafakat Nasional bersama BN dan Parti Wawasan Negara. Tetapi adakah PAS sedia untuk diketuakan oleh BN pada waktu yang panjang?

Akhirnya PAS juga mahu menjadi ketua gabungan kerajaan. Namun begitu, majoriti rakyat Malaysia tidak selesa berketuakan PAS. Sebab itu PAS tidak akan bertanding solo.


ZIN MAHMUD wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.