KOLUM | Hujung minggu lalu (4 Okt) acara Formula 1 Gulf Air Bahrain in Malaysia di Sepang mendatangkan keseronokan bagi banyak orang, baik peminat-peminat perlumbaan F1 di Malaysia mahupun di seluruh dunia.

Rata-rata ulasan dalam media sosial oleh pada pemerhati bukan saja menyatakan rasa puas malah meluahkan kegembiraan terhadap acara itu. Pujian diberikan terhadap litar Sepang sehingga ada yang menyifatkannya sebagai litar tulen bagi perlumbaan F1 walaupun ia dibina 28 tahun lalu.

Orang yang hadir termasuk yang menonton dari atas bukit kelihatan gembira walaupun ada banyak keluhan soal pengangkutan awam dan juga sampah yang bersepah di kawasan itu.

Kelihatan juga orang-orang kenamaan menunjukkan kegembiraannya, daripada Yang di-Pertuan Agong – yang hubungan rapatnya dengan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Khalifa – membolehkan acara itu berlangsung. Ia kemudian dijayakan oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad.

Turut hadir selaku tetamu Agong ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Putera Abdul Mateen yang juga menteri luar negara itu.

Kegembiraan sebahagian rakyat Malaysia itu berlaku walaupun perlumbaan F1 merupalan milik Bahrain. Ia hanya dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang kerana keadaan keselamatan di rantau Timur Tengah sehingga tidak membolehkan ia diadakan di negara berkenaan.

Malah segala pembiayaan bagi acara itu ditanggung oleh Bahrain dan nama acaranya secara unik menjadi Perlumbaan FI Bahrain di Malaysia.

Namun begitu, acara tersebut dijayakan kerana Malaysia sudah memiliki litar yang boleh digunakan dengan segera walaupun memerlukan kerja-kerja pembaikan tertentu.

Keseronokan semakin bertambah

Ia juga dapat dijayalan kerana kedudukan diplomatik Malaysia yang baik dalam hubungannya dengan negara-negara lain khususnya Bahrain. Maka peranan Agong dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga penting bersama jentera sokongan daripada sektor perkhidmatan awam dan swasta.

Dalam hal ini legasi perdana menteri keempat, Dr Mahathir Mohamad, tentulah bermakna bukan saja bagi membina litar itu tetapi menyediakan sebuah negara yang mampu mengatur perlumbaan F1.

Saya bukanlah peminat sukan lumba kenderaan tetapi turut menonton banyak klip YouTube dan TikTok apabila anak-anak banyak membincangkannya. Mereka adalah generasi yang banyak terdedah kepada sukan bertaraf antarabangsa.

Saya pernah membawa seorang daripada anak untuk menonton perlumbaan FI pada tahun 2012, tetapi itu hanya kerana saya memperoleh tiket ihsan. Sticker tempat letak kereta perlumbaan itu masih ada pada kereta anak saya.

Daripada pemerhatian itu, saya terharu kerana ia berjaya dianjurkan dan turut berbangga apabila Malaysia terbukti mampu menjadi tuan rumah bagi acara yang akan tetap dikenang dalam sejarah sukan F1 dan sukan negara.

Hujan lebat dan masalah pengkomputeran pada permulaan perlumbaan pada Ahad lalu sekadar menambah keseronokan menontonnya.

Perasaan seronok itu amat diperlukan oleh rakyat Malaysia yang sejak beberapa bulan lalu dilanda kekecewaan dengan pendedahan banyaknya perbuatan korupsi dan penyelewengan berprofil tinggi, diiringi dengan pertelagahan politik menjelang PRN Melaka yang merupakan suatu proses penting bagi semua parti.

Ada satu klip TikTok memaparkan petikan nyanyian Standing in the Eyes of the World oleh Ella. Lagu itu mula dinyanyikan semasa Sukan Komanwel Kuala Lumpur (Sukom KL) pada 1998. Ia menggambarkan perasaan sebahagian rakyat Malaysia yang mengikuti acara F1 itu.

Detik 1998 merupakan tahun yang membanggakan rakyat Malaysia yang berada bawah kepimpinan Mahathir. Lagu itu mencerminkan perasaan rakyat Malaysia untuk berdiri bangga dengan pencapaian yang ada dan berazam menjadi negara maju dalam kerangka rancangan Wawasan 2020 selepas ia dibentangkan pada 1991.

Seiring dengan Sukom KL itu ialah pembinaan Stadium Nasional Bukit Jalil yang mula dibina pada 1994 sebelum siap empat tahun kemudian. Ia dihubungkan dengan LRT Star yang mula dibina pada 1996 dan sampai di Bukit Jalil pada 1998.

Ketika itu KLCC sedang disiapkan. Ia mula dibina pada 1992 dan selesai pada 1999.

Putrajaya juga sedang dibina. Ia bermula pada 1993 dan Mahathir pindah ke situ pada 1999 selepas kompleks Perdana Putra siap.

Litar F1 Sepang mula dibina pada 1997 dan siap kira-kira dua tahun kemudian. Anwar pula menjadi anggota kabinet Mahathir dari 1983 hingga 2 Sept 1998.

Gerak dari Cherok Tok Kun

Maknanya ketika kerajaan memperkenalkan Wawasan 2020 dan membuat keputusan untuk menganjurkan Sukom KL, pembinaan Stadium Nasional, pembinaan LRT, pembinaan KLCC, pembinaan Putrajaya dan pembinaan Litar F1 Sepang, Anwar berada dalam kabinet Mahathir.

Malah dia menjadi menteri kewangan dari 1991 hingga 1998. Ia merupakan tempoh projek-projek tersebut dilaksanakan.

Sukom KL berlangsung pada 11 hingga 21 Sept 1998. Maknanya ketika itu Malaysia sedang menghadapi krisis politik amat getir. Anwar dipecat dari kabinet pada 2 Sept dan detik itu disambut dengan gerakan Reformasi

Sebaik saja dipecat, Presiden PAS, Fadzil Noor menyatakan sokongan moral kepada Anwar atas dasar keadilan dan kemanusiaan. Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, pula menyokong penuh pendirian Fadzil dari sudut integriti, akhlak dan keadilan.

Timbalan Presiden PAS ketika itu, Abdul Hadi Awang, tidak membantah pendirian Fadzil yang menjadi dasar PAS ketika itu.

Malah pada 27 Sept 1998 – iaitu seminggu selepas Anwar ditahan – Fadzil menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) untuk menyatukan parti-parti politik dan NGO serta menyediakan platform massa bagi membela Anwar.

Fadzil menjadi Pengerusi Gerak, manakala dan Ketua Pemuda PAS Pusat ketika itu, Mahfuz Omar, menjadi Ketua Sekretariat Gerak. Kini Mahfuz merupakan seorang daripada Naib Presiden Amanah.

Anggota Gerak ialah PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Anggota NGO pula ialah Abim, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).

Jelajahan Reformasi dilancarkan bermula dari kampung Anwar di Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Ribuan penyokong Anwar berhimpun di rumahnya.

Dia kemudian pergi ke Kedah dan Perak. Anwar berucap di masjid-masjid dan padang-padang awam. Di Kuala Lumpur, Anwar mengadakan ceramah di kediamannya di Bukit Damansara. Kemuncaknya ialah himpunan besar-besaran di Masjid Negara dan kemudian berarak ke Dataran Merdeka pada 20 Sept 1998.

Anwar kemudian ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Antara kandungan ceramah Anwar ialah menolak kezaliman politik dan fitnah. Pada masa sama dia menafikan tuduhan salah laku moral yang disifatkannya sebagai satu konspirasi politik.

Anwar juga menentang KKN (korupsi, kolusi dan nepotisme) dengan menuntut supaya amalan kerajaan mengutamakan syarikat kroni dan keluarga dihentikan.

Gerakan tersebut juga menuntut keadilan sosial bagi golongan miskin. Tidak ketinggalan ialah desakan supaya dilakukan reformasi institusi melibatkan kebebasan badan kehakiman, ketelusan agensi penguatkuasa, kebebasan bersuara, serta pemansuhan undang-undang tidak adil seperti ISA.

Suasana media berbeza dulu, sekarang

Jelajahan itu perlu bagi Anwar kerana media massa dikawal oleh kerajaan sekali gus parti pemerintah sehingga tidak langsung memberi ruang suara kepada pembangkang.

Hanya akhbar PAS, Harakah, yang memberi tempat kepada Anwar. Akhbar tabloid itu terjual dengan amat laris sehingga ada masanya perlu cetakan tambahan.

Saya tidak menyertai demonstrasi itu tetapi pernah memandu kereta bersama keluarga di Jalan Raja dan Jalan Sultan Hishamuddin untuk menonton perarakan berkenaan. Peserta demonstrasi itu bukan saja dalam kalangan ahli Umno yang menjadi penyokong Anwar, malah para penyokong PAS dan orang awam terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

Pada masa itu, Ahmad Zahid Hamidi merupakan Ketua Pemuda Umno yang lantang menyokong Anwar serta membangkitkan isu KKB dalam pentadbiran Mahathir. Dia ditahan di bawah pada 21 Sept 1998 di Kota Kinabalu, Sabah, iaitu sehari selepas Anwar ditangkap.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dibebaskan pada 30 Sept dan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno .

Perlumbaan F1 pertama di litar Sepang berlangsung pada 17 Okt 1999. Ketika itu Anwar berada di Penjara Sungai Buloh bagi menjalani hukuman enam tahun.

Belum ada telefon pintar dan aplikasi media sosial pada ketika itu. Telefon pintar – terutamanya Blackberry – mula diperkenalkan di Malaysia secara meluas pada 2009. Media sosial terutamanya Twitter dan Facebook pula dikenali secara meluas pada 2006.

Tentulah suasana media amat berbeza berbanding sekarang.

Perlumbaan F1 di Sepang diadakan setiap tahun dari 1999 hingga 2017. Kemudian masa berlalu selama sembilan tahun tanpa F1 sebelum ia muncul kembali pada Ahad lalu.

Tentulah banyak yang berlaku pada sukan F1 baik dari segi perkembangan teknologi dan kejuruteraan ketika reka bentuk litar di Sepang itu tidak berubah kecuali sedikit pembaharuan.

Kini teknologi kereta FI menggunakan elektrik menjadikan ia hibrid dan mengurangkan bisingnya. Ia juga menggunakan perisian AI yang menjadi cabaran baru apabila berdepan dengan hujan lebat.

Telefon pintar yang kini dalam bentuk pelbagai jenama buatan China dengan aplikasi media sosial yang bertambah seperti TikTok dan YouTube memperkenalkan lagi sukan F1 dengan lebih luas pada generasi baru.

Tambahan pula kini ada permainan simulator F1 yang luas dijual di seluruh dunia.

Justeru semuanya menyumbanglan kepada keseronokan rakyat Malaysia dan peminat tegar F1 di seluruh dunia. Mereka menjadikan Sepang pada hujung minggu lalu sebagai detik yang akan sentiasa dikenang.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.