KOLUM | Melawan buli dengan membuli?
KOLUM | Pernah seorang pempengaruh berkata: “Sering kali generasi orang tua kita merungut, kononnya dunia zaman sekarang semakin huru-hara berbanding zaman dahulu. Hakikatnya, boleh jadi apa yang berlaku hanyalah lambakan maklumat yang semakin bertambah pada zaman ini.
“Dunia zaman dahulu juga kecoh, cuma khabarnya tidak tersebar luas dan sepantas sekarang.
“Maka jiwa mereka tidak terusik kerana mereka tidak tahu-menahu tentang kekecohan yang terjadi.
“Situasi sekarang pula berbeza, apa-apa sahaja yang berlaku, ditularkan dengan mudah ke hujung jari dalam masa yang singkat. Patutlah pening.”
Di sebalik nada yang kelakar, ada kebenaran pada kata-kata pempengaruh komedi luar negara itu.
Masyarakat umum bergantung kepada media massa sebagai sumber maklumat sehingga penghujung abad ke-20. Apa pun berlaku, audiens terpaksa menunggu laporan media cetak yang hanya akan sampai ke tangan masing-masing keesokan harinya.
Lainlah peristiwa yang menggegarkan dunia atau negara apabila ia akan disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen.
Maklumat ditapis, diambil yang penting dan yang lewah dibuang mengikut kebijaksanaan editor (yang diasuh kepakarannya melalui fakulti komunikasi atau pengajian media), dan sudah tentu, kepentingan sang penguasa.
Laporan berita disunting, supaya tidak terlimpah dari bingkai susun atur (lay out) halaman akhbar, juga penyampaian yang lebih tepat untuk mencerminkan realiti.
Bagaimanapun, amalan itu mengalami perubahan ketara. Kini maklumat yang entah apa nilai beritanya – seperti berapa kali menteri kewangan meneguk air sepanjang pembentangan belanjawan – yang dilaporkan, malah warna baju Melayu yang dipakainya tidak ketinggalan.
Masalah bukan baru muncul hari ini
Kucing ditemuramah wartawan di stesen LRT. Jenayah sosial yang berlaku di seluruh pelosok dunia ditonjolkan dengan dua baris tajuk besar tanpa butiran tempat kejadian agar audiens tergerak hati untuk mengklik pautan yang dilampirkan.
Mesej melambak. Gambaran tertentu diperbesar-besarkan. Fakta diputarbelitkan. Mutakhir ini, sampah digital hasilan AI (kecerdasan buatan) pula bersepah di media sosial dalam bentuk tulisan panjang, grafik mahupun video.
Patutlah dunia semakin kacau-bilau berbanding zaman dahulu – dari kaca mata generasi tua.
Hakikatnya, kita tidak asing lagi dengan keluhan generasi tua kita kerana kami – yang berasal dari generasi milenial pun – semakin terbawa-bawa dengan rintihan yang sama. Sering kali perbandingan sedemikian dibuat untuk menggilap nostalgia bahawa zaman dahulu lebih baik berbanding sekarang.
Logik yang menyusul seterusnya: “Masalah semakin menjadi-jadi pada zaman ini kerana kita tidak lagi menggunakan cara lama, sedangkan cara lama yang digunakan itulah yang menjadikan zaman dahulu sebagai zaman terbaik.”
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/05/9095e6253f5388c50335b3c29e59f512.jpg)
Contohnya, hukuman rotan. Terdesak kerana kes buli yang berleluasa dalam sekolah, maka dicadangkan penyelesaian yang mudah iaitu hukuman rotan, seolah-olah sekolah mencatatkan sifar kes buli dengan sebatang rotan pada zaman dahulu.
Atau tiada budak samseng yang membelasah budak lain dengan topi keledar, tiada tayar guru disiplin yang dipancitkan, tiada kereta guru besar yang dicalarkan.
Padahal jawapan yang lebih berpijak di bumi – tiada telefon pintar dengan fungsi kamera ketika zaman persekolahan dahulu. Tiada rakaman yang boleh dimainkan berulang kali di media sosial. Tiada pempengaruh yang mereka-reka cerita untuk dijadikan kandungan yang tidak masuk akal (namun dipercayai ramai). Tiada emoji marah dan komen toksik untuk menghasut emosi dan sentimen.
Kita sedar akan hakikatnya andai kita bersikap jujur. Kes buli berlaku sejak zaman dahulu, bukannya sekadar pada hari ini.
Cuma, apakah fenomena buli semakin menjadi-jadi pada zaman sekarang? Lebih penting, apakah cara lama – misalnya hukuman rotan – adalah penyelesaian paling mujarab untuk menangani kes buli hari ini?
Cara lama untuk tangani masalah?
Pertama, jika kes buli hanya berlaku secara fizikal dalam kalangan murid ketika waktu persekolahan dahulu, kini kes buli boleh berlaku dalam tempoh 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dalam talian.
Ugutan, fitnah, komen toksik, gangguan seksual, pemalsuan wajah (deep fake), pendedahan maklumat peribadi, pemulauan dan sebagainya boleh berlaku dalam alam maya, dan kesannya dilanjutkan ke luar talian. Dengan kata lain, sudah tentu jumlah kes buli akan meningkat kerana buli boleh berlaku bila-bila masa sahaja, apatah lagi dalam bentuk yang semakin pelbagai.
Kedua, sememangnya perdebatan mengenai hukuman rotan agak rumit. Hasrat untuk beranjak dari paradigma disiplin berasaskan hukuman fizikal kepada disiplin berasaskan pembentukan kendiri dan pemulihan emosi sering ditenggelamkan dengan reaksi spontan generasi orang tua: “Mengapa rotan berkesan untuk mendisiplinkan kami tetapi tidak untuk kamu?” sebelum disusuli dengan sindiran: “Generasi hari ini berjiwa rapuh, mental mudah koyak dan tidak tahan lasak” tanpa menghalusi faktor persekitaran masa kini yang sudah berbeza berbanding beberapa dekad lalu.
Ketepikan dahulu perbahasan ini. Untuk menjawab sama ada hukuman rotan mampu menangani kes buli atau tidak, kita sepatutnya bertanya, apakah sebenarnya faktor-faktor yang menjurus kepada budaya buli? Apakah yang membuatkan generasi hari ini merasakan diri mereka berhak, malah tanpa sehiris rasa bersalah, untuk membuli orang lain? Apakah kekosongan dalam jiwa mereka terisi dengan tindakan membuli?
Malangnya, perbincangan sedemikian kurang menarik minat massa. Kebanyakan netizen lebih ghairah untuk melepaskan rasa geram ke atas sasaran yang dituding jari. Sedangkan kita sedar bahawa masalah ini cukup rumit dan tiada punca tunggal.
Setiap mangsa dan pemangsa berasal dari latar belakang yang berbeza.
Misalnya kemiskinan, penyakit mental, tekanan emosi, penagihan dadah, masalah keluarga, kongsi gelap dan lain-lain lagi. Mustahil ia boleh diselesaikan hanya dengan sebatang rotan atau berundurnya seseorang menteri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/3a6c8f5f5e30f0732d3b89c96459dbb0.jpg)
Lebih ironi, sesetengah netizen memperlihatkan sifat membuli, sedar mahupun tidak, ketika berkobar-kobar semangatnya untuk membanteras kes buli.
Gambar menteri di-AI-kan untuk tujuan menghina, fitnah dilemparkan, kata-kata kesat ditabur semata-mata untuk menunjukkan dirinya “terpaling” komited untuk memerangi buli.
Mereka merasakan diri mereka berhak untuk berbuat demikian kerana kebenaran menyebelahi mereka. Mereka merasakan jiwa mereka menjadi bermakna dengan membuli seseorang yang dianggap punca berleluasanya jenayah buli.
Di sinilah masalah kita. Kita berangan-angan untuk menyelesaikan masalah hari ini dengan kaedah lama sambil mencari-cari jalan singkat untuk melepaskan emosi, walhal zaman sudah mengalami perubahan yang mendadak.
Lebih parah, kegagalan kita untuk memahami dan mengendalikan perubahan ini, menjurus kepada pembentukan persekitaran dan suasana yang memangkinkan kerosakan. Ia berakhir dengan bukan sahaja penyelesaian gagal ditemui, malah kita pula yang menjadi sebahagian daripada masalah.
Kebetulan saya berkesempatan untuk bersembang dengan seorang belia baru-baru ini. Dia meluahkan keresahannya terhadap masalah yang menyelubungi anak muda sejak beberapa tahun kebelakangan.
Kes bunuh diri, pembunuhan, buli, tekanan mental dan sebagainya adalah antara masalah real yang sedang dihadapi anak muda sekarang.
“Cuma sentimen kaum dan agama tetap menjadi pertimbangan utama ketika rakyat Malaysia mengundi, bukan?” tanya dia sambil tersenyum pahit.
LIM HONG SIANG adalah generasi milenial yang bertanggapan bahawa setiap zaman memiliki kelebihan dan kekurangannya. Taasub dengan kaedah dahulu tidak menyelesaikan masalah kini, sebaliknya menghancurkan masa depan semua.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/sekolahselamat1_688002.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.