KOLUM | Subuh Sabtu, 7 Okt 2023, Pasukan Briged al-Qassam bersama beberapa lagi kumpul gerila Palestin berjaya menyerang Israel. Brigade itu adalah induk pasukan pertahanan Gaza di bawah pimpinan  Hamas.

Briged al-Qassam Hamas tidak bertindak bersendirian semasa serangan berkenaan. Mereka menyelaraskan dan mengetuai satu gabungan di bawah satu kumpulan payung yang dikenali sebagai Bilik Operasi Bersama Palestin.

Menurut siasatan oleh BBC, sekurang-kurangnya lima lagi kumpulan bersenjata utama Palestin turut serta secara aktif dalam Operasi Taufan al-Aqsa.

Ia termasuk Islamic Jihad, Mujahidin Palestin dan Briged al-Nasser. Dua lagi dari kumpulan gerila parti politik bergaris kiri: Briged Abu Mustafa dari Popular Front (PFLP) dan Briged Omar al-Qasim dari Demokratic Popular Front.

Saya tidak perlu menghuraikan apakah yang sedang  berlaku di Gaza, di Tebing Barat dan wilayah yang dipanggil Israel.  Saya yakin warga Malaysia sedikit sebanyak memiliki maklumat tentang perjuangan rakyat Palestin untuk mengambil kembali  tanah air mereka yang telah dijajah oleh Zionis Israel.

Apa yang wajib saya terangkan di sini ialah, perjuangan Palestin itu bukan – saya ulangi lagi: bukan - perjuangan agama.

Betul lagi sahih Majid al-Aqsa – kiblat pertama umat Islam – berada di Palestin. Nabi Isa juga lahir dan wafat di Palestin. Malah tiga agama besar  dunia – Yahudi, Kristian dan Islam – mengakui  wilayah di Palestin sebagai tempat suci mereka.

Dalam takrifan politik hari ini perjuangan Palestin ialah perjuangan menentang penjajahan. Itulah laungan pembebasan yang disuarakan oleh para pejuang dan para syuhada Palestin.

Laungan itu sama seperti suara Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin dan Chin Peng yang mengangkat senjata melawan Inggeris pada 1950-an dulu.

Ribuan hilang, tertimbus

Ia sama seperti perjuangan Bung Karno, Tan Malaka dan Bung Hatta melawan Belanda pada 1940-an dulu. Mereka bangun dengan buluh runcing dan senjata lain untuk membebaskan Indonesia daripada penjajahan.

Selesai Perang Dunia Kedua, Belanda diundurkan dari Indonesia pada 1947. Inggeris pula diundurkan dari Tanah Melayu pada 1957.

Palestin di bawah jajahan Inggeris, tetapi apabila Inggeris berundur dari situ, bumi tersebut diberikan kepada Zionis Israel atas alasan kaum Yahudi  memerlukan tanah air satelah menjadi  mangsa  genosid di Jerman dan Eropah.

Semenjak hari Nakba 15 Mei 1948 bumi Palestin tidak pernah aman. Semenjak Zionis Yahudi dan Israel wujud, bumi Arab tidak pernah aman. Semenjak Israel diwujudkan Asia Barat terus menjadi wilayah perang.

Perang Gaza dan Perang Iran hari ini adalah kesinambungan daripada kewujudan entiti Zionis Israel pada 15 Mei 1948.


Zionis Israel bukan hanya musuh Palestin. Zionis Israel bukan hanya musuh Arab. Zionis Israel ialah musuh umat manusia. Malah Zionis Israel ialah musuh kepada kaum Yahudi  sendiri.

Justeru Taufan al-Aqsa adalah sambungan daripada peperangan pembebasan yang berterusan di Palestin serta di Asia Barat.

Mengikut kajian rambang warga Palestin berjumlah kira-kira 7 juta orang. Seramai 2.2  juta tinggal di Gaza, dan 2.08 juta lagi tinggal dalam Israel, manakala 3.5 juta berada di Tebing Barat.

Semenjak subuh Sabtu 7 Okt 2023, laporan rasmi daripada Hamas menunjukkan lebih 81,400 orang terkorban di Gaza. Jumlah itu termasuk kematian akibat pertempuran langsung dan pengeboman.

Pada masa yang sama ribuan yang lain hilang atau disyaki tertimbus di bawah runtuhan, serta ratusan kematian akibat kebuluran yang direkodkan.

Hari ini gambar yang kita lihat dari media arus perdana dan media sosial jelas menunjukkan dengan amat jelas bahawa Gaza sudah menjadi padang jarak padang tekukur. Bangunan runtuh-rantah.

Siapa tembak, siapa bom

Sekali pandang tiga tahun ini adalah tiga tahun kemusnahan dan kematian. Betul. Saya akui itu berlaku. Tapi itu melihat daripada sudut pandang mata kasar apa yang telah  berlaku di Gaza semenjak subuh Sabtu 7 Okt 2023.

Mata kasar melihat bangunan runtuh, melihat mayat bergelimpang, kanak-kanak luka cedera, ibu meraung kehilangan anak, ayah menangisi kehilangan keluarga, kanak-kanak berebut-rebut berkerumun menanti  makanan.

Kita melihat imej soldadu Zionis Israel bersenjata lengkap dengan kereta kebal dan bom tangan. Senjata pada badan senjata di gusi. Siap sedia untuk membunuh apa sahaja yang bergerak di Gaza termasuk kucing dan anjing peliharaan.

Kita diberitahu oleh lembaga NGO Human Right Watch,  Amnesty Internasional  dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa bahawa pada 7 Okt itu seramai 1,195 terkorban.

Malah pecahan mangsa terkorban pun kita diberi tahu: seramai 736 warga Israel, seramai 38 kanak-kanak, seramai 380 soldadu Israel dan seramai 79 warga asing.

Hingga ke hari ini – tiga tahun kemudian – dunia tidak diberitahu yang terkorban itu ditembak, dibunuh dan dibom oleh siapa?

Tetapi dunia tahu bahawa soldadu Zionis Israel wajib akur dengan apa yang dikenali sebagai Hannibal  Directive – atau  Arahan Hannibal.

Apa dia Arahan Hannibal itu?

Arahan Hannibal itu adalah untuk mengelakkan soldadu Israel atau warga Israel di tangkap dan dijadikan orang tawanan untuk tebusan.

Ia diperkenalkan pada 1986 susulan penculikan soldadu Israel di Lubnan yang berakhir dengan pertukaran tahanan berprofil tinggi.

Prinsip utamanya ialah, penculikan itu mesti dihentikan dengan apa jua cara, walaupun dengan risiko menyerang dan mencederakan pasukan sendiri.  Ertinya bunuh soldadu sendiri atau warga sendiri asalkan mereka jangan jadi tawanan.

Rahsia Mesir dan Netanyahu

Itu bermakna ramai soldadu Israel dan warga Israel yang terkorban ada 7 Okt 2023 itu ditembak dan dibom oleh tentera Israel sendiri.

Semasa serangan pada 7 Okt 2023 itu, Hamas dan kumpulan militan Palestin yang lain menculik 251 orang tebusan dari Israel dan membawa mereka ke Semenanjung Gaza.

Jumlah itu merangkumi golongan lelaki, wanita, kanak-kanak, warga emas, dan warga asing. Nasib semua tebusan telahpun diketahui, dengan mayat tebusan terakhir ditemui dan dipulangkan kepada Israel pada Jan lalu.

Tiga tahun kemudian Arahan Hannibal masih cuba dijadikan rahsia oleh Zionis Israel.

Tetiba pada 8 Sept 2026 meledak satu berita yang memeranjat Israel.  Akhbar Israel, Haaretz, merupakan pihak pertama yang mendedahkan bahawa Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan, telah menghubungi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu secara peribadi kira-kira 10 hari sebelum 7 Okt bagi memberi amaran kepadanya mengenai satu operasi besar Hamas.

Tidak cukup dengan itu, rupa-rupanya Netanyahu sudah diberitahu rancangan Hamas berkenaan oleh Abbas Kamal iaitu ketua pasukan risikan Mesir. Berita berkenaan dilaporkan oleh portal The Atlantic pada 25 Sept lalu.

Pada 28 Sept tahun ini, The Wall Street Journal juga menulis panjang lebar tentang maklumat rahsia dari Mesir. Netanyahu menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut.

Dia menyifatkan dakwaan itu sebagai "pembohongan mutlak". Netanyahu menyatakan bahawa dia tidak bercakap atau bertemu dengan pemimpin-pemimpin berkenaan dalam tempoh tersebut.

Dia juga menegaskan tidak menerima sebarang amaran dari UAE atau Mesir.

Malah Netanyahu mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wartawan dan penerbitan yang terlibat.

Putar belit Netanyahu itu tidak berakhir di situ. Pada 29 Sept agensi media AFP dan AP  melaporkan Netanyahu melakukan lawatan rahsia ke Abu Dhabi pada 27 Sept lalu.
Netanyahu bertemu dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Awalnya Tel Aviv menafikan. Tetapi akhirnya berita tersebut disahkan oleh kedua-dua kerajaan. Namun Netanyahu menafikan dakwaan dia meminta Sheikh Mohamed  menafikan laporan yang menyatakan dia memberi amaran kepada Israel mengenai serangan Hamas yang bakal berlaku pada 2023.

Tiga tahun sesudah 7 Okt 2023 bukan itu sahaja yang sedang berlaku.  Pada 27 Okt ini akan berjalan PRU di Israel. Ketika ini Netanyahu sedang berhadapan dengan krisis peribadi yang hebat.

Jika dia menang dan menjadi perdana menteri sekali lagi, semua kosher dan cantik. Tetapi jika dia kalah maka Netanyahu akan dihadapkan ke mahkamah.

Netanyahu berhadapan kes rasuah yang ditangguhkan. Okt ini kes itu akan disambung kembali.

Sama ada Netanyahu menang atau kalah, ia bukan persoalan utama. Persoalan hakiki hari ini ialah: apakah Zionis Israel akan selamat pasca-Netanyahu dan pasca-Trump?

Hal itu kerana sesudah 7 Okt 2023 – tiga tahun dahulu – telah berlaku satu anjakan politik terhadap Zionis Israel di AS dan diseluruh dunia. Apa anjakan itu? Sila tunggu sambungan minggu depan. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.