KOLUM | Hampir tiga dekad gerakan reformasi tercetus di tanah air dengan pelbagai episod politik yang berlaku hingga kemuncaknya kerajaan yang memerintah lebih enam dekad jatuh melalui PRU 2018.

Bagi pencandu politik, tempoh tersebut hanya sarat dengan pensejarahan politik.

Namun di sudut yang tenang dan sepi, gerakan Reformasi juga dibentuk secara yang tersendiri oleh pena dan kesusasteraan.

Barangkali telah tiba waktunya peranan sastera reformasi dihidangkan kepada khalayak secara lebih terbuka sebagai suatu mukadimah baru dalam kesusasteraan tanah air.

Sejak sekian lama Reformasi dilayan sebagai daerah terlarang meski secara logiknya khurafat tersebut terpadam dengan kejayaan PH membentuk kerajaan persekutuan.

Editor majalah tersebut dalam ruangnya menyatakan bahawa sastera reformasi datang bersama dengan teknologi khususnya media baru dan kreativiti khalayak sastera membawa budaya kritikal dan ‘bebas’ dalam karya mereka.

Tempoh itulah lahir dan bercambahnya suara generasi baru yang tidak sekadar berani mengemukakan persoalan semasa secara kritis, bahkan menawarkan perspektif yang berbeza.

Sastera mempunyai kekuatan tersendiri untuk memasuki daerah-daerah baru yang menuntut kebijaksanaan dalam mengungkapkaan realiti untuk perubahan.

Nama-nama besar warnai reformasi

Menurut Syed Husin Ali, era Reformasi bermula pada Sept 1998 dan dikaitkan dengan tokoh penting, Anwar Ibrahim, yang kini menjadi perdana menteri.

Meski ada sindiran bahawa refomasi telah menjadi reformati setelah PH berada di tampuk kekuasaan, hakikatnya perjuangan membawa islah tetap relevan dengan pemaknaan yang lebih luas.

Reformasi sifatnya bukan satu revolusi. Ia bukan dapat diterjemahkan dalam lima hari atau lima tahun.

Untuk kesekian kalinya, majalah Dewan Sastera edisi Okt ini membuat kupasan secara akademik mengenai sastera era Reformasi.

Esei tulisan Hashim Ismail yang menjadi fokus utama menghuraikan perkembangan sastera yang dikaitkan dengan teknologi maklumat semasa dan media baru.

Runtuhnya Tembok Berlin pada 1989 adalah manifestasi ledakan teknologi maklumat yang mengubah landskap dunia. Sepuluh tahun kemudian, barulah bahangnya terasa di Malaysia.

Sesungguhnya era reformasi mengubah cara berfikir penulis sejajar dengan perkembangan semasa masyarakat.

Ketika itu, muncula idea-idea baru yang mencabar golongan establishment dan kebangkitan kelompok pinggiran yang membawa idea-idea alternatif.

Ketika lensa perdana memberi fokus pada pentas-pentas politik, khalayak penulis menggunakan ketajaman pena masing-masing mengatur kata mengajak perubahan dalam bernegara.

Antaranya Grup Karyawan Luar Negara (GKLN), Tukang Puisi, Paksi, Cukaria dan lain-lain.

Sastera reformasi turut dimuatkan dalam portal-portal seperti Malaysiakini, Harakahdaily, dan Media Selangor.

Begitu juga tokoh sastera yang turun tangan seperti Sasterawan Negara (SN) A Samad Said serta Baha Zain, selain Dinsman dan Faisal Tehrani yang mewarnai sastera era Reformasi.

Meski tulisan berkenaan tidak memperincikan sastera Reformasi kerana fokusnya lebih kepada perkembangan media baru sewaktu era reformasi, di sudut lebih dalam, secara tidak langsung esei tersebut berjaya menemukan jalur-jalur yang berselirat antara perkembangan teknologi maklumat dengan gerakan sastera era Reformasi.

Himpunkan kreativiti, keberanian

Sastera era Reformasi berjaya merombak ciri-ciri konvensional pada era sebelumnya.

Penelitian lebih mendalam tentang sastera reformasi perlu dibentangkan kepada khalayak. Banyak sudut sepi yang ditinggalkan sunyi oleh para sarjana, khalayak sastera dan pendukung sastera reformasi.

Barangkali khalayak sasterawan Reformasi asal sudah kehabisan stamina untuk bersaing dengan pejuang jadi-jadian yang turut mengangkat sepanduk slogan reformasi dalam era Madani.

Sastera reformasi perlu dibezakan dengan sastera era Reformasi. Sastera reformasi lebih bersifat politik atau berpihak.

Karya-karya seperti novel Shit oleh SN Shahnon Ahmad atau cerpen Maharaja Beruk dalam Dewan Sastera bukan saja perlu diulas dari sudut tekstual tetapi juga sosiopolitik.

Ia menghimpunkan keberanian, kreativiti dan kebijaksanaan para sasterawan reformasi mengungkap kenyataan secara indah, berkesan dan mendalam.

Karya-karya dari kumpulan, penerbit dan penulis yang ada kaitan rapat dengan sastera reformasi perlu diangkat sebelum ditenggelamkan oleh zaman atau gelombang yang mengharu-birukan.

Ada sisi yang menarik untuk difahami dan dihadamkan oleh generasi baru dalam menghargai khazanah bangsa yang mahu melakukan perubahan melalui sastera atau pena.

Ia perlu digerakkan agar tidak difahami bahawa perubahan hanya dilakukan melalui kuasa politik sedangkan sastera juga mampu berperanan untuk matlamat yang sama.


MUHAIMIN SULAM ialah ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.