Cukup-cukuplah! - Rayer desak tindakan ke atas Ridhuan Tee
Selepas membuat laporan polis terhadap penceramah kontroversi Ridhuan Tee Abdullah, wakil rakyat DAP, RSN Rayer mendesak tindakan segera diambil terhadap tokoh yang dituduh sengaja menghasut perpecahan kaum tanpa sebarang hukuman.
"Cukup-cukuplah!" kata anggota parlimen Jelutong itu dengan nada marah.
"Berapa banyak lagi laporan polis yang perlu dibuat sebelum retorik berunsur kebencian ini dihentikan?
“Adakah kita mahu menunggu sehingga kebencian berakar umbi, masyarakat terpisah, dan kerosakan menjadi tidak boleh diperbaiki lagi?" katanya kepada Malaysiakini.
/file/attachments/orphans/rsnrayer1_655586.png)
Rayer memberi amaran bahawa sikap tidak bertindak pihak berkuasa berisiko menyemarakkan kemarahan awam dan mengukuhkan persepsi wujudnya amalan dwi-standard.
"Ini bertentangan dengan segala prinsip yang diperjuangkan PH. Kita mewakili prinsip, akuntabiliti, dan penguatkuasaan undang-undang yang saksama," tegasnya.
Laporan polis Rayer adalah berkenaan hantaran di media sosial oleh Ridhuan, yang menurut anggota parlimen DAP itu mengandungi perkataan yang “menghina, menyindir dan merendahkan” masyarakat Cina.
Punca utama laporan Rayer adalah penggunaan istilah "ultra kiasu harbi" oleh Ridhuan, yang menyamakan tokoh politik bukan Islam sebagai "musuh Islam".
Rayer percaya hantaran itu ditujukan susulan peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebagai menteri pengangkutan, yang dinyatakan Loke akan berkuat kuasa apabila bekas perdana menteri Najib Razak pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Rayer memberi amaran bahawa kegagalan menangkap dan mendakwa Ridhuan boleh memarakkan lagi ketegangan kaum dan agama di negara yang sentiasa terdedah kepada manipulasi sentimen perkauman.
/file/attachments/orphans/ridhuantee1_453914.png)
“Menjadi seorang mualaf tidak memberikan hak kepada seseorang untuk menghina kaum, agama, budaya dan bahasa orang lain.
“Apa yang lebih tidak masuk akal ialah Ridhuan sendiri berbangsa Cina. Menukar agama tidak bermakna membuang etnik asal,” tambahnya.
Dalam laporannya yang dibuat di balai polis Lebuh Pantai di Pulau Pinang, Rayer mendakwa Ridhuan kerap membuat hantaran di media sosial yang cenderung mencetuskan kontroversi perkauman serta permusuhan yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.
“Justeru, saya mendesak agar polis segera menyiasat laporan ini dan mendakwanya di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tambahnya.
Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan menjadikannya satu kesalahan untuk membuat, menerbitkan atau menyebarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat hendak menghasut - atau yang mungkin menghasut - mana-mana golongan atau kaum untuk melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain.
Mereka yang didapati bersalah boleh didenda atau dipenjara sehingga dua tahun.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/05/de2a45504e844c360cd360e009ab65c1.jpg)
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) pula menjenayahkan penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan secara tidak wajar untuk memindahkan kandungan dalam talian yang dianggap sumbang, tidak sopan, palsu, mengancam atau berasaskan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
Ridhuan dan penceramah lain seperti Zamri Vinoth mempunyai pengaruh yang besar di media sosial, yang ulasan mereka boleh mencapai khalayak ramai dalam masa beberapa minit, sekali gus berpotensi membesarkan isu yang sepatutnya kekal sebagai pertikaian tempatan atau insiden terpencil.
/file/attachments/orphans/RSNRayerlodgedpolicereport2909262_319955.png)
