Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

"Wah, bagus betul lirik dia," kata seseorang ketika kami menaiki kereta di Petaling Jaya. Jalan agak sesak, maka nafas pun ikut sesak dengan pergerakan kenderaan yang tersekat-sekat.

Pemain cakera padat kereta saya yang separuh rosak itu setia mendendangkan lagu Datuk Ahmad Jais. Berulang-ulang tanpa boleh mengadu jemu. Memang ada benarnya kata-kata tadi - lirik lagu Ahmad Jais selalu mengasyikkan. Dalam keadaan tertentu ia dirasa menikam jauh ke hati.

Memanglah, sambil-sambil dengar lagu Sunset Di Tanah Anarki atau Saint Of My Life, apa salahnya layan juga lagu Ahmad Jais. Kamu tidak akan menjadi lebih tua - atau muda - hanya kerana mendengar Ahmad Jais.

Suatu ketika selepas era beliau, kita ada lagu-lagu yang liriknya dihasilkan oleh allahyarham Juwie. Di sebalik hu ha hu ha kewartawanannnya, Juwie adalah salah seorang penulis lirik kelompok kelas atas.

Kemudian ada pula Habsah Hassan yang 'berbisa' bercerita melalui lagu tetapi tetap lunak menyusun kata.

Secara peribadi saya sejak (agak) lama dulu saya berasa cukup terbuai dengan lirik yang digarap Bob Lokman, Pada Syurga Di Wajahmu nyanyian Nash.

Lagu itu terasa begitu santai tetapi menikam dalam. Di sebalik mesej yang ingin diluahkan lirik lagu itu berjaya dizahirkan secara sederhana, tidak mengada-ngada dan tidak berlebih-lebihan.

Dan kemudian datanglah zaman serba mudah, serba ringkas dan serba-serbi polos. Muncul lagu yang membawa lirik yang terasa kaku dan kontang - sekurang-kurangnya kepada orang seperti saya.

Sukar juga untuk mendefinisikan maksud halus dalam lirik itu kerana seni itu sendiri berkembang mengikut masa. Mengikat sesuatu pada detik yang khusus pula tentulah bukan tindakan yang bijak.

Cuma kebebasan yang seakan tidak dikawal kadang-kadang boleh 'memusnahkan'. Maka kita mungkin akan melihat wujudnya budaya yang terlalu kontang dan janggal.

Soalannya, bersediakah kita mendepangkan tangan meraikan kedatangan seni yang kaku dan kontang itu?

Yo! Jom ke pasar malam!

(ii)

Nampaknya setakat hari ini sentuhan magis rakan yang saya ceritakan minggu lalu belum 'memakan korban' sebab dia masih bertahan. Katanya, dia belum beli baju raya. Tapi itulah, setakat detik ini.

Ketika saya berbual dengannya semalam, dia menarik sebuah beg - yang nampak masih baru - ke sisinya.

"Beg baru?" tanya saya.

"Ha'ah," jawab dia.

"Berapa harga?"

"Tak mahal sangat. RM350."

Saya menelan air liur.

"Mula-mula bukan beg ni yang saya pegang. Beg awal yang saya pegang harganya jadi RM800," kata dia.

Saya menelan air liur lagi. Nampaknya memang dia ada tangan yang magis. Sekurang-kurangnya 'sentuhan' tangan dia 'amat mahal'.

Di dalam kereta, lagu yang saya tidak tahu judulnya sedang berkumandang. Seni katanya dan nyanyian artisnya terasa sangat menyakitkan telinga. Teringin benar saya meminta dia menyentuh punat pada radio di papan pemuka Myvi saya. Harap-harap lagu yang mengganggu jiwa itu boleh bertukar menjadi alunan halwa telinga yang nyaman.

Tanpa di suruh dia memang betul-betul menyentuh punat radio di kereta. Dan amatlah ajaibnya apabila lagu itu terus bertukar rentak serta-merta. Jadi lagu Rafeah Buang pula.

Jarinya memang jari magis! Saya kaget - sehinggalah saya sedar bahawa dia menekan suis yang khusus di radio itu. Suis menukar talaan stesen radio.

" Phisang, " kata dia. Saya diam sebab saya tak faham.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS