Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

(i)

"Dah beli baju raya?" tanya saya.

Dia geleng kepala. Dan wajahnya tidak menunjukkan sebarang rasa teruja, malah macam sedih. Aneh juga - dah dekat nak raya masih belum bersiap-siap berbaju baru?

"Mengapa?" tanya saya, lagi.

"Setiap kali benda saya pegang, jadi RM500," jawab dia.

Saya terkejut juga. Selama ini saya tidak pernah tahu dia memiliki tangan seajaib itu. Berkawan dengan orang yang memiliki sentuhan ajaib yang boleh menyebabkan sesuatu benda menjadi mahal adalah sangat menguntungkan.

Sebelum sempat saya meminta dia menyentuh kereta Myvi saya (dengan harapan bertukar menjadi BMW) ada ketawa yang pecah berdekah-dekah terdengar. Saya bingung.

Kemudian barulah saya faham maksudnya. Sebenarnya, dia bukanlah ada jari ajaib sebaliknya apa yang cuba disampaikan ialah, kebiasaannya kenalan saya itu secara spontan tertarik kepada pakaian yang mahal. Bernilai RM500 misalnya.

Saya bernasib baik kerana perbualan kami berlangsung secara bersemuka, berdepan dan bukannya melalui Twitter atau WhatsApp. Jika tidak, kami mungkin bertengkar atau bermasam muka.

Paling tidak, saya mungkin akan berkata kepada dia: (Me)nate!

(ii)

Kita boleh faham mengapa Amy Search risau. Dia bukan artis sembarangan. Nama dan jenamanya kukuh dalam industri hiburan tetapi Amy masih risau.

Memetik laporan terdahulu di Malaysiakini , Amy berkata dia tidak pernah berasa begitu bimbang dengan keadaan ekonomi yang melanda.

Sebagai seorang artis yang bergantung banyak kepada tawaran membuat persembahan, dia tentu faham kesan kelembapan ekonomi akan juga memberi kesan kepada periuk nasi dia - dan kita.

Sebelum ini Wings pun khabarnya kecewa apabila konsert mereka gagal mencapai sasaran. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dipetik sebagai salah satu puncanya.

Dan kita membaca keluhan itu menjelang hari raya. Memang meresahkan.

Syukur ada petua untuk menjimatkan perbelanjaan dikhabarkan oleh bestari kita: Jangan balik kampung sempena raya ini kerana ia dapat menjimatkan kos minyak, tol dan hotel.

Cuma desakan hati ini kadang-kadang tak tertahankan. Paling tidak, jika saya akhirnya dapat pulang ke kampung nanti, saya dapat bertanya jika ada saudara-mara saya yang menjadi pakar motivasi.

Saya teringin nak katakan kepada dia: (Me)nate!


AL-ABROR MOHD YUSUF adalah anggota redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS