Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bro, Nampak Motor Gua Tak, Wawa Semput, Awak Nak Kahwin Dengan Saya?, Hantu Bungkus Ikat Tepi nampaknya belum memadai. Justeru tampil pula Suamiku Jatuh Dari Langit.

 

Pedulikan apa orang kata; David Teo adalah David Teo.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) itu tetap komited mencari pendekatan paling hampir dengan cita rasa pelanggannya, iaitu penonton filem Melayu.

 

Kata Teo kepada Malaysiakini, judul filem yang diterbitkannya mungkin tidak kedengaran seperti sesuatu yang lazim didengari.

 

“Kami mengikut trend sekarang sebab penonton lebih suka sesuatu yang direct to the point, kerana kajian mendapati penonton televisyen dan wayang suka yang life ,” katanya.

 

Teo berkata, MIG mempunyai strategi sendiri melalui pemilihan judul filem yang lain daripada lain supaya ia menarik minat masyarakat datang menonton.

 

“Sekiranya orang bercerita (mengenai filem MIG), ia memberi kebaikan dari segi promosi. Kalau (judul filem) Suamiku Balik Rumah (misalnya), tiada orang nak tengok,” katanya.

 

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai kebimbangan sasterawan/budayawan terhadap penghakisan nilai seni dan budaya dalam karya seni, terutama filem apabila pihak yang terbabit dalam industri itu terlalu berlebihan mengikut kehendak pasaran.

 

Selain filem, Teo juga tahun lalu muncul sebagai penyanyi dalam lagu Kacang bersama Cat Farish, Fida Ibrahim dan Zarul.

Kacang yang pedas

 

Selain susuk Teo yang menarik perhatian, lirik lagu itu turut dilihat terlalu polos dan kurang seni.

 

Namun bagi Teo, dia ada alasan sendiri untuk kekal dengan cara yang dipilihnya.

 

Kata Teo, pemilihan judul filem (dan lagu) yang sedemikian tidak terpesong atau menyebabkan caca marba dalam konteks bahasa Melayu.

 

Walaupun kurang berseni, Teo menganggap lagu itu berjaya menyampaikan mesej “pedas” kepada pihak tertentu yang pernah bernaung di bawah syarikatnya.

 

Kacang – bagi Teo – adalah lagu menyindir.

 

Mengenai judul filemnya, Teo berkata, ia tidak mempunyai kesalahan tatabahasa apatah lagi ia dibentuk dengan penggunaan bahasa yang betul.

 

“Kami tidak merojakkan bahasa Melayu. Justeru ia tidak menjatuhkan martabat bahasa kebangsaan,” katanya.

 

Suamiku Jatuh Dari Langit adalah filem komedi arahan Eyra Rahman yang cuba mengetengahkan nilai budaya dan agama.

 

Kata Teo, sebagai penerbit, MIG berharap dapat menghasilkan produksi yang diingini peminat kerana mereka yang membeli tiket

 

“Jika ada sebilangan kecil orang mempunyai anggapan negatif, kami yakin ia tidak memberikan kesan buruk,” katanya.

 

Suamiku Jatuh Dari Langit akan ditayangkan kepada umum pada 1 Syawal ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS