Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Entah disengajakan atau cuma kebetulan, isu masyarakat Melayu terpinggir‎ menjadi pilihan seniman dari Kota Singa dalam pementasan Monolog Asean di Auditorium Kompleks JKKN Kuala Lumpur, malam tadi.

Isu pendidikan, harta tanah, hak bangsa, masalah merempat, bahasa dan hak bersuara menjadi modal dalam monolog bertajuk Ala.. mak nak cakap sikit aje.. yang dipentaskan oleh Noor Hasnah Adam.

Untuk makluman, rakyat Singapura mengundi dalam pilihan raya umum negara itu hari ini.

Suara pedas, berani dan lantang itu mungkin lahir dari lubuk hati Noor Hasnah untuk mewakili realiti kehidupan masyarakat Melayu di bumi Temasek itu.

Melalui monolog berkenaan Noor Hasnah memperihalkan kehidupan marginal masyarakatnya di tanah air sendiri.

Pementasan yang diiringi irama blues‎ menjadikan persembahan guru bahasa Melayu dan sastera itu tetap terasa mengusik walaupub agak santai membawa mesejnya yang sinis.

"Mak suka cakap, mak cakap perkara yang benar. Siapa tak bagi mak cakap? Mereka tolak kanan, mereka tolak kiri. Kemudia mereka pakat kata, orang atas tak bagi mak cakap.

"Eh, kenapa pula nak bercakap mesti ikut arahan? Mulut mak suka mak, lah. Mak nak cakap juga. Mereka kata, kalau nak cakap mesti ambil permit baru boleh cakap. Ada had waktu tak boleh cakap lama-lama, tak boleh menghasut tak boleh mengapa-api. Tak boleh itu, tak boleh ini. Alaa.. mak nak cakap sikit aje..," kata Noor Hasnah dalam monolognya sambil menampilkan seekor ayam serama sebagai simbolik persembahan yang turut mengetengahkan kisah Pak Kaduk.

Berselang-seli dengan pengucapan, beliau turut mengiramakan lagu blues Alamak Melayu Alamak.

Sangkar kecil sangat

Noor Hasnah menyuarakan bagaimana penempatan kampung Melayu di ‎Singapura akhirnya bagai terpinggir selepas kejadian setinggan terbakar dan sikap orang Melayu sendiri yang termakan dengan tawaran pampasan kerajaan supaya meninggalkan rumah mereka.

"Selepas berpindah, orang Melayu tinggal di kuanters. Sementara itu mereka tunggu flat batu dibina, apabila siap bermulalah suatu penghijrahan. Bagai burung yang terbang bebas, terperangkap dan masuk ke sangkar. Dan budaya kita pun berubah. Tiada lagi halaman bercucuk tanam, tiada lagi budaya bertandang. Nak bertandang macam mana kalau sangkar kecil sangat, nak bernafas pun susah. Jiran tetangga bermasam muka.

"Memanglah Pak Kaduk kalah laga ayam, memang Pak Kaduk tergadai kampungnya. Tapi apalah daya Pak Kaduk cuma rakyat, kalau raja suruh tukar ayam takkan Pak Kaduk kata tak boleh. Pak Kaduk terpaksalah tukar. Tapi Pak Kaduk pandai balas dendam. Habis dia tayang punggung bogel dia depan raja, merah padam muka raja. Padan muka raja, itulah asyik nak cekik darah rakyat," ucap Noor Hasnah.

Selain itu beliau turut mengkritik sikap masyarakat Melayu yang suka berjoli apabila mempunyai wang sehingga akhirnya terpaksa merempat.

Jenis-jenis ayam

"Mak tepuk dahi. Rupanya Melayu sekarang masih tak berubah di Singapura, suka jual harta, jual rumah. Jual apa saja yang ada sebab nak duit. Duit itu mereka buat joli katak. Dah habis duit baru mereka baru sedar mereka tak ada rumah. Terpaksa berkhemah di tepi pantai, kemudian merungut dan mengamuk mengapa mereka tak dibantu.

"Alaa... mak nak cakap sikit lagi. Dulu mak nak sekolah punyalah susah. Semua berebut nak masuk politeknik. Mak tak dapat masuk. Bukan pasal tak layak. Tapi pasal kuota. Lepas O level, mak pun terpaksalah cari kerja," kata beliau.

Sebelum mengakhiri persembahan di hadapan kira-kira 100 penonton itu, Noor Hasnah mengibaratkan beberapa jenis golongan masyarakat dengan jenis ayam.

Antaranya beliau menyifatkan pihak yang suka mengkhianati bangsa sendiri seperti "ayam mutiara" ‎yang pandai mengambil kesempatan tanpa disedari pihak lain.

Pementasan Monolog Asean anjuran Institut Terjemahan Buku Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu turut menampilkan Khalid Salleh (Malaysia), Zefri Ariff (Brunei), Asia Ramli Prapanca (Indonesia) dan Patr Weera (Thailand)‎.

Majlis itu berlangsung dari 9 hingga 13 September ini.

Lihat Komen
ADS