Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Indra Jegel pelawak tak minat politik sama sekali

Diundang mengadakan persembahan komedi di acara tahunan yang sudah berlangsung bertahun-tahun, tiba-tiba dimaklumkan program berkenaan dibatalkan.

Itu pengalaman ditempuh pelawak dari Indonesia, Indra Jegel. Lebih mengesankan, kunjungan Indra ke Malaysia untuk menjayakan persembahan Tahun Melawak Johor itu adalah yang pertama untuknya.

Menyedari tiada banyak yang boleh dilakukan, Indra mengakui tugas menjadi pelawak stand-up comedy tidak mudah kerana pasti ada saja cabaran.

Pada waktu tertentu, persembahan yang dianggap masih belum mendapat tempat sepatutnya di kalangan pengguna bahasa Melayu di negara ini - malangnya - dicurigai.

Ditemui Malaysiakini , Indra, 25, berkata kebiasaannya dia sekadar membicarakan mengenai hal yang berlaku di sekitarnya untuk dijadikan pengisian lawak jenakanya kepada penonton.

“Saya tidak berniat langsung, tidak faham malah tidak berminat mengenai hal politik.

“Kalau saya, tidak pernah faham soal politik jadi lebih baik guna isi yang umum saja,” katanya.

Berbeza cita rasa

Kelmarin, Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai pembatalan persembahan Tahun Melawak Johor yang diterbitkan Rumah Anak Teater.

Melalui slot itu sepatutnya Indra ditampilkan dua kali iaitu di Nusajaya (hari ini) dan Danga City Mall (esok).

Penganjur enggan menjelaskan punca pembatalan berkenaan, namun sumber lain memberitahu mereka mendapat tekanan daripada pihak tertentu yang kurang senang apabila beberapa isu semasa dalam negara dijadikan bahan persembahan.

Mengulas perkembangan itu, Indra berkata ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepadanya kerana perancangan sudah dibuat sejak enam bulan lepas.

Menurut Indra, pengisian stand-up comedy bergantung kepada penyampainya dan ia berbeza mengikut cita rasa masing-masing.

Mengakui setiap pelawak itu tidak perlu distreotaipkan, jenaka stand-up comedy berbeza dengan persembahan menggunakan sketsa atau jalinan cerita.

“Setiap pelawak mempunyai keresahan dan mahu menyampaikan ia dalam sudut pandang yang lucu.

“Apa saja berlaku di sekeliling boleh dijadikan isu bukan semata-mata kerana mahu menyindir pemerintah," katanya.

Indra memulakan kariernya sebagai pelawak pada 2012 selepas tidak menemui hasil memberangsangkan sebagai penulis puisi di sekolah menengah.

Menurut Indra lagi, di Indonesia, persembahan stand-up comedy ditampilkan secara ringkas kerana ia hanyalah salah satu bentuk hiburan.

“Kalau di Indonesia persembahan itu lebih beragam berdasarkan keanehan orang di daerah atau kedaan sekeliling,” katanya.

Walaupun terhalang menghiburkan penonton di Johor, Indra masih akan meneruskan persembahan Lawak Berdiri pada 6 Oktober ini di IOI Boulevard Puchong dan 8 Oktober (Cerita Malam Jumaat) di Jaya One, Petaling Jaya.

Selain Indra antara pelawak lain yang akan muncul ialah Hishamuddin Rais, Azmi Bahron dan KC.

Lihat Komen
ADS