Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Mendengar pandangan dan keluhannya, boleh dikatakan Amirudin Hizadin mempunyai kesedaran tentang hal yang berlaku di sekelilingnya walaupun baru berusia 23 tahun.

Lagu Mana Hilang 2.6 Bintang itu sendiri bernafas politik walaupun diakui ia tidak bersifat kepartian (sesetengah kita begitu mudah melabel sesuatu yang bercanggah dengan pemerintah adalah "pembangkang").

Di sebalik keadaan itu Amirudin mengaku dia tidak pernah mengundi.

Alasannya, ketika pilihan raya umum lalu umurnya belum layak untuk didaftarkan sebagai pengundi.

“Saya belum pernah mengundi.

“Ketika masuk usia 21 tahun, saya tidak sempat mendaftar tetapi akan berbuat demikian untuk pilihanraya seterusnya,” katanya kepada Malaysiakini .

Khamis lalu dia datang untuk ditemubual di pejabat portal ini dan sempat membuat persembahan secara langsung di depan kakitangan editorial Malaysiakini .

Mana lebih bagus

Menurut Amirudin, buat masa ini, dia tidak memilih untuk menyebelahi mana-mana parti namun tidak teragak-agak untuk membuat "keputusan tepat satu hari nanti" berdasarkan pemerhatiannya.

"Tengoklah, kempen parti mana yang lebih bagus,” katanya sambil tersenyum.

Dan beberapa jam lalu, Amirudin memuat naik kenyataan dalam akaun Facebook peribadinya untuk menyatakan pendirian tegasnya mengenai sebarang parti politik.

Katanya, ketika ini dia cuma mahu menulis lagu dan bermain muzik.

“Saya tidak mahu terbabit dengan mana-mana badan atau parti. Saya juga tidak akan menghadiri sidang media setakat ini.

“Saya cuma seorang penulis lirik lagu bebas dan hanya ingin dikenali sebagai pemain muzik,” katanya.

Semalam Malaysiakini menyiarkan kisah Amirudin dan lagunya Mana Hilang 2.6 Bintang yang menjadi viral di YouTube.

Klip video dengan panjang kira-kira 3.40 minit itu adalah luahan perasaannya terhadap bebanan hidup yang dihadapi.

Antara isu yang disentuhnya secara halus dan menyindir ialah kenaikan tiket pengangkutan awam, cukai barangan, perkhidmatan serta Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) serta "2.6 bintang".

Kos hidup beri kesan berantai

Menurutnya, lagu itu adalah cetusan perasaannya daripada apa yang diperhatikan pada oleh ibu bapanya.

Kata Amirudin, tiap kali adiknya meminta dibelikan sesuatu, pasti ada saja alasan diberikan oleh kedua orang tuanya.

“Saya juga pernah terpalit dengan krisis ekonomi pada 1998. Jadi saya memahami perasaan ibu bapa saya dalam menangani situasi sebegini.

“Masa kecil dulu tidak faham, tetapi apabila sudah dewasa, sebagai anak sulung, saya semakin mengerti hal yang membebankan mereka,” katanya.

Kata Amirudin, bukan saja keluarga, tetapi keadaan yang membebankan sekarang saling mempunyai hubung kait dengan setiap orang yang ditemuinya.

[Baca komen Biro Tata Negara]

Dia mengakui berasa sedih bukan saja mengenai kewangan tetapi apabila membabitkan peniaga, anak mereka, dan rantaian setiap orang yang berada di sekelilingnya.

“Membeli barang atau makanan pada keadaan harga yang meningkat memberi kesan. Seandainya tidak membeli, ia menjejaskan perniagaan seseorang dan individu itu juga tidak mampu menyara anaknya.

“Inilah rantaian yang mewakili seluruh rakyat Malaysia membabitkan hal sama,” katanya.

Amirudin bersyukur, Mana Hilang 2.6 Bintang menyentuh hati pendengar, dan tidak gentar memikirkan sekiranya dia boleh dikenakan hukuman kerana menulis lagu berkenaan.

Bahagian 1: 'Hanya rakyat tahu hidup ini gelapnya macam mana'

Amirudin: “Sebenarnya apabila saya menghasilkan lagu, ia diibaratkan menulis diari." Ikuti wawancara khas bersama...

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Thursday, November 5, 2015


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS