Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ketika menjejakkan kaki di pekarangan pejabat Malaysiakini semalam, pada awalnya tidak ramai yang mengendahkan kedatangan seorang anak muda bertopi dan menyandang gitar di belakangnya.

Dia bukan seorang penyanyi tersohor, tetapi hasil karyanya diterima ramai dan menjadi viral.

Dan kehadiran pemuda itu bukan untuk menjadi terkenal, tetapi untuk menceritakan kisah Mana Hilang 2.6 Bintang yang dimuat naik di YouTube.

Sebenarnya lagu itu ditulis Amirudin Hizadin, 23, sekadar suka-suka dan untuk diri sendiri. Dan ia disiapkan hanya dalam tempoh kira-kira 10 minit.

Semunya kerana mahu melepaskan apa yang terpendam dalam hati.

“Sebenarnya apabila saya menghasilkan lagu, ia diibaratkan menulis diari.

“Seringkali apabila tertekan, lagu menjadi tempat saya meluahkan perasaan," katanya.

Dia kemudian menyiapkan klip video sepanjang kira-kira 3.40 minit untuk dimuat naik di YouTube.

Menurut Amirudin, dia tidak menyangka lagu Mana Hilang 2.6 Bintang itu cepat menangkap jiwa pendengar kerana sebenarnya ia lebih kepada menceritakan mengenai apa yang terbuku dalam hatinya.

Anak sulung daripada lima beradik itu menyatakan, dia adalah antara rakyat negara ini yang turut berasa beban hidup yang semakin menyeksakan, ditambah kos sara hidup yang semakin meninggi.

Respon positif daripada orang ramai membuatkan Amirudin tahu, dirinya tidak berdiri berseorangan dalam mendepani isu yang dibangkitkan.

“Bila pendengar memberi komen yang menyatakan mereka bersetuju dengan apa yang diperkatakan, saya tahu, bukan saya seorang dihimpit situasi sulit ini," katanya.

Timbul tanda tanya

Lagu Di Mana 2.6 Bintang dimuat naik ke YouTube kelmarin dan ia tidak menunggu masa begitu lama untuk menarik ramai pelayar Internet menikmatinya.

Liriknya jelas berbentuk satira melalui penggunaan beberapa perkataan yang mudah difahami oleh seseorang yang mengikuti perkembangan semasa di negara ini.

Antara isu yang disentuh Amirudin ialah kenaikan harga tol, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pertambahan harga tiket pengangkutan awam serta Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Namun pusat kepada perhatian itu tentunya ungkapan "2.6" itu yang mudah mengingatkan seseorang kepada isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya mengenai maksud di sebalik istilah “Pak Mentari” dalam lagu itu, Amirudin menyifatkan "matahari" sebagai bintang paling besar dan seharusnya menyinari alam.

Namun, bintang "hilang" kerana tidak lagi bersinar dan menimbulkan tanda tanya.

[Baca komen Biro Tata Negara]

Kata anak kelahiran Johor yang kini menetap di Kedah itu, pendengar mungkin boleh menangkap apa mesej tersirat di sebalik kalimah berkenaan.

"Matahari antara bintang paling besar yang bercahaya. Apabila ada bintang yang hilang, saya bertanya kepada ketua bintang.

"Apabila ketua bintang tak boleh jawab pertanyaan kita, saya tidak tahu nak cakap apa lagi.

“Saya berasa hidup kini sekadar hidup, dan hanya kita (rakyat) saja yang tahu gelapnya macam mana," kata Amirudin.

Ibu bapa 'halang' kerap balik

Lagu itu juga diibaratkan sebagai "jeritan berlapis" yang menyindir pelbagai isu yang menekan hidup orang ramai.

Bagi Amirudin, keadaan semasa menambah kebimbangan rakyat dan daripada apa yang disaksikannya, ia mencetuskan ilham untuk mencipta lagu.

Sejak menjadi pelajar di Akademi KRU di Cyberjaya April lalu, dia berasa terbeban dengan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk menaiki Express Rail Link (ERL) bagi pulang melawat kedua orang tuanya.

Hal berkenaan membuatkan pelajar jurusan animasi itu hanya mampu pulang sesekali ke kampung.

“Kalau dilihat kadar tambang ERL, ia mampu mencecah kira-kira RM60 dan ia benar-benar buat saya tertekan.

“Ada masanya, ibu bapa saya melarang untuk pulang kerana harga tiket yang mahal,” katanya.

Amirudin berkata, berdasarkan senario dalam negara sekarang, kebanyakan pihak hanya tahu menuding jari tetapi bukan untuk bersuara.

“Kita tahu keadaan negara macam mana tetapi kebanyakan orang gemar menyalahkan satu sama lain dan pada masa sama, diri sendiri takut untuk bersuara.

“Daripada tunggu orang lain bertindak, lebih baik saya tulis lagu sendiri,” katanya. [Baca sambungan di sini]

Amirudin: “Sebenarnya apabila saya menghasilkan lagu, ia diibaratkan menulis diari." Ikuti wawancara khas bersama Amirudin Hizadin, penyanyi di sebalik lagu 'Mana Hilang 2.6 Bintang': http://www.malaysiakini.com/hiburan/318615

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Thursday, 5 November 2015


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS