Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Garapan terbaru Osman Ali, Langit Cinta , mengangkat tema wanita bersemangat juang dan dengan harapan golongan itu mampu menjadi sumber inspirasi.

Filem itu menyelinapkan elemen feminisme - yakni melalui watak wanita kental dan tabah, khususnya mengenai perwatakan seorang gadis desa yang berjiwa besar dan berani.

Ia mengisahkan perjalanan hidup Khadejah (lakonan Nur Fazura) yang digambarkan sebagai seorang idealis, berpegang kepada prinsip dan adat ketimuran turun-temurun melalui asuhan arwah ayah serta ibunya yang buta, Mak Piah (Fauziah Ahmad Daud).

Khadejah menentang kerasnya cadangan seorang pemaju tanah bernama Datuk Affendi (Datuk Jalaludin Hassan) untuk menaik taraf Pulau Perindu sebagai destinasi pelancongan.

Ia tidak diterima Datuk Affendi lalu beliau menyuruh anaknya, Aliff Zulkarnain (Keith Foo) untuk mengambil hati dan memujuk Khadejah supaya menukar fikiran.

Di sini pengarah cuba menunjukkan sikap sebenar pemaju yang cuba mengambil kesempatan ke atas kehidupan penduduk tempatan yang susah dan miskin.

Tanpa membuktikan niat jujur dan ikhlas di sebalik mahu membangunkan tanah pusaka penduduk kampung, Datuk Affendi tegar mahu memuaskan hati.

Jatuh cinta terus lamar

Dan situasi itu boleh dikaitkan dengan realiti kehidupan apabila yang berkuasa mengambil kesempatan ke atas yang lemah.

Hakikat hidup begitulah. Biarpun golongan lemah ada yang bijak pandai, namun mereka masih tidak mampu berdiri teguh seandainya tidak diberi peluang adil.

Renungkan.

Berbalik kepada kisah tadi, Aliff jatuh cinta kepada Khadeja dan dalam masa yang singkat terus melamarnya untuk berkahwin.

Secara tidak sedar, kawan sekampung Khadeja dari kecil, Budiman (Farid Kamil), mengetahui mengenai hubungan cinta mereka berdua.

Hati Budiman hancur selepas mengetahui sahabat baik sejak kecilnya akan menjadi milik orang lain kerana dia sendiri menyimpan perasaan terhadap wanita itu sekian lama.

Penonton dapat perhatikan watak orang ketiga sama penting - dan sama padan - dengan Khadeja bersaing dengan Aliff.

Penonton dapat merasakan betapa tabahnya hati Budiman menerima hakikat bahawa wanita yang dicintainya setelah sekian lama bakal menjadi milik lelaki lain.

Naratif utama filem ini adalah mengenai cinta terhalang status keluarga, atau cinta tiga segi ala Romeo dan Juliet yang dikreatifkan.

Kemelut cinta tiga segi ini memerangkap penonton untuk memihak kepada Aliff atau Budiman sebagai lelaki terbaik buat Khadejah.

Lakonan Budiman dilihat agak mencabar buat Farid adalah dia perlu banyak bermain emosi.

Dia membawa peranan "seorang kawan" yang dibadai emosi sendiri kerana terpaksa mengetepikan keinginannya demi Khadejah.

Sisi lain Fazura

Justeru, lakonan mantap Farid membuatkan watak Budiman lebih diingati berbanding Aliff selaku hero filem ini.

Bagaimanapun, ia mungkin dipengaruhi faktor kekangan bahasa yang membelenggu Keith Foo.

Beralih kepada Fazura.

Langit Cinta adalah filem pertama Fazura melakonkan watak gadis kampung. Ia juga filem pertamanya di bawah arahan Osman.

Abaikan dulu isu "kimK", Langit Cinta berjaya menonjolkan sisi lain Fazura sebagai wanita sederhana di sebalik kekerapannya muncul sebagai gadis urban.

Biarpun dari luaran Khadeja nampak naif dan kurang pendidikan, semangat kentalnya memperjuangkan tanah pusaka keluarga berjaya mengeluarkan aura seorang wanita yang hebat.

Dan disebabkan inilah, Aliff terpesona dengan sikapnya.

Dengan watak wanita yang kental, pengarah cuba mengetengahkan golongan itu sebagai individu yang wajar diberi pujian.

Bagi Osman ( gambar ) yang menyanjung tinggi ibunya, dia mahu peranan itu terpamer pada Khadeja.

Malah, filem ini diinspirasikan daripada kisah ibu bapa Osman - bermula dari zaman bercinta hingga membesarkan anak-anak.

Persembahan watak tambahan tidak kurang hebatnya, terutamanya Siti Saleha yang memegang watak Suzanna. Watak yang berada di antara kemelut ini ‘meminta’ peluang dicintai oleh insan yang tidak mempunyai perasaan terhadapnya.

Bandingkan Ombak Rindu

Namun watak ini tidak dikembangkan dengan baik, dan seandainya diberi peluang itu, lakonan Siti Saleha yang dinamik dan berkaliber mungkin mampu pergi lebih jauh.

Selain jalan cerita, pengarah juga menitikberatkan aspek sinematografi. Menerusi Langit Cinta , salah satu lokasi pilihannya adalah Pulau Tuba, Langkawi, Kedah yang dianggap lokasi terbaik dan sesuai untuk menjalankan penggambaran filem begini.

Nampaknya pengarah berjaya mengetengahkan penampilan itu, terutama dalam keseluruhan perjalanan ceritera cinta antara dua watak utama serta watak sampingan.

Osman juga berjaya mengatur perjalanan keseluruhan cerita agar nampak kemas, lantas membuai emosi penonton tanpa ada gangguan daripada plot atau adegan yang tidak pasti.

Langit Cinta penuh dengan elemen drama yang hampir dengan kehidupan masyarakat.

Langit Cinta sememangnya sebuah filem ringan dan santai tetapi disulami elemen turun naik konfik untuk mengukir senyuman atau mengundang gundah gulana penonton di sepanjang penceritaannya.

Tetapi kalau hendak dibandingkan dengan Ombak Rindu , filem ini ada kelemahannya - kesudahan yang boleh dijangka dan penghayatan hero tidak memuaskan.


A R Aizu seorang anak muda penggemar aktiviti lasak, pengumpul mainan dan peminat filem.

Lihat Komen
ADS