Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Empat tahun lalu, Osman Ali pernah mendatangkan kisah cinta agung Izzah dan Hariz dan peminat menyambutnya dengan penuh suka. Maka Ombak Rindu itu mencatat kutipan berstatus box office.

Lantaran itu, peminat menyatakan wajar ada sambungan kisah cinta yang diperanankan oleh Maya Karin dan Aaron Aziz itu.

Sebaliknya sebagai pengarah, Osman teguh memilih haluan berbeza. Bagi Osman, dia lebih selesa untuk meneroka karya baru untuk dihasilkan.

“Ramai yang mempersoalkan mengapa Ombak Rindu tidak disambung. Saya lebih selesa tidak mengikut trend itu kerana saya suka kelainan dalam filem saya," jelasnya kepada Malaysiakini kelmarin.

Pengarah Bukak Api itu ditemui di majlis pelancaran rangkaian promosi filem Langit Cinta di Menara Kuala Lumpur.

Langit Cinta adalah buah tangan terbaru Osman yang membawa kisah percintaan pasangan Melayu klasik berlatarbelakangkan kehidupan kampung.

Jelas Osman, temanya berbeza daripada cinta antara Izzah dan Hariz. Istimewanya Langit Cinta, filem itu memang "dekat" di hati pengarah tersebut.

Cekal hingga hujung nyawa

Dibarisi Nur Fazura dan Keith Foo sebagai pelakon utama, Langit Cinta mengisahkan penantian cinta sejati seorang isteri terhadap suami - seperti pernah dilalui ibu bapa Osman sendiri.

Menurut Osman ( gambar ), percintaan itu penuh cabaran dan sebagai anak, dia benar-benar tersentuh dengan apa yang pernah dilalui ibu bapanya.

“Mereka mendirikan rumahtangga dan terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan.

“Hal itu menjadikan mereka cekal dan setia antara satu sama lain. Kesetiaan ibu saya kekal untuk arwah ayah walaupun lelaki itu sudah meninggal dunia," katanya.

Menurut Osman, dalam hubungan orang tuanya - dan digambarkan dalam Langit Cinta - keteguhan itu berlaku walaupun kedua-dnya datang dari dua dunia yang berbeza, tetapi masih mampu bersatu.

Kata Osman, kisah percintaan itu berlaku kira-kira 60 tahun lalu apabila bapanya - seorang nelayan - menaiki bot kecil dari Langkawi untuk sampai ke sebuah pulau terpencil di Laut Andaman, Thailand.

“Mereka bertemu dan menjalin hubungan selepas ayah pergi ke Thailand untuk mencari saudara terdekat,” katanya.

Menurut Osman, percintaan kedua orang tuanya itu digambarkan sebagai "cinta mati."

Cinta terhalang, terpisah

Menunjukkan betapa Langit Cinta itu sangat dekat di hati Osman, ada antara dialog dalam filem berkenaan - yang diungkapkan Ogy Ahmad Daud - adalah sama seperti yang pernah diungkapkan oleh ibunya.

“Ibu pernah berkata, cinta hati dia hanya pada ayah, dan dialog itu dilafazkan Ogy dalam Langit Cinta.

“Ibu juga sentiasa berdoa agar dapat ditemukan semula dengan arwah suaminya apabila sampai masa nanti," katanya.

Secara umum Langit Cinta mengisahkan perjalanan hidup gadis desa Khadeja (Nur Fazura) yang bertemu Aliff (Keith Foo), seorang pemuda berasal daripada keluarga berada yang sanggup melepaskan kemewahannya demi cinta.

Cinta itu dihalang keluarga Aliff yang akhirnya membuatkan mereka terpisah.

Sepanjang perpisahan itu, Khadeja melalui pelbagai dugaan dan hampir putus harapan. Ketika itulah dia didatangi Budiman, pemuda kampung yang menawarkan diri untuk mengubati luka.

Langit Cinta yang diterbitkan oleh Astro Shaw turut menampilkan pelakon seperti Farid Kamil, Siti Saleha, Datuk Jalaluddin Hassan, Dian P Ramlee dan Normah Damanhuri.

Filem yang dijangka akan ditayangkan tahun depan itu juga diangkat kepada naskhah novel yang ditulis Damya Hanna.

Lihat Komen
ADS