Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas dilaporkan Malaysiakini, sebuah klip video mempromosi pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditarik balik dan disedari sejak malam tadi.

Klip video itu menarik perhatian kerana mamaparkan sedutan filem Kembara Seniman Jalanan tanpa mendapat izin pemegang hak ciptanya terlebih dulu.

Mengulas perkembangan itu, pengarah Kembara Seniman Jalanan , Nasir Jani, berkata beliau menghargai tindakan pengendali akaun TPPA Malaysia menarik balik klip video promosi berkenaan.

Bagaimanapun Nasir ( gambar ) berkata, pihak yang berkenaan diingatkan supaya berhati-hati pada masa depan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nasir berkata, semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada kejadian berkenaan.

Katanya, tiada mana-mana pihak boleh mengambil mudah golongan karyawan atau seniman di negara ini dengan mengambil hasil usaha mereka begitu saja walaupun menggunakan alasan undang-undang.

"Seperti pernah saya katakan berkali-kali, bukan mudah untuk menghasilkan karya seni. Susah. Hargailah, dan jangan main cedok begitu saja.

"Sekurang-kurangnya gunakan budi bicara untuk berhubung, bercakap dan memaklumkan tindakan mereka. Bukannya mengambil tanpa izin," katanya.

Kerenah lanun cetak rompak

Malaysiakini pada 11 Januari lalu menyiarkan laporan mengenai satu akaun Facebook mempromosi pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) mengambil sedutan filem arahan Nasir tanpa meminta izin terlebih dulu.

Klip itu memfokuskan faedah perlindungan harta intelek dan hak cipta kepada pengkarya seni jika TPPA ditandatangani.

Pemilik hak cipta filem itu Zarul Albakri mengesahkan tiada mana-mana pihak menghubunginya untuk mendapatkan kebenaran menggunakan petikan filem berkenaan.

Kembara Seniman Jalanan adalah filem terbitan 1986 mengisahkan tentang keperitan artis tempatan mencari rezeki di sebalik gangguan lanun cetak rompak.

Filem itu turun dibintangi Datuk M Nasir dan Pyanhabib selain menampilkan kumpulan Sweet Charity, Blues Gang dan Kembara.

Nasir berkata, dalam semua keadaan pihak yang berkenaan perlu hormat kepada undang-undang dan tidak mengambil kesempatan daripada ruang yang mungkin ada pada peraturan berkenaan.

"Jangan pula apabila dirasakan perlu, kita semacam mengubah peraturan untuk kepentingan sendiri," katanya.

Mahu tulis surat

TPPA Malaysia yang dihubungi mengesahkan mereka menghentikan siaran klip video berkenaan selepas membaca tulisan Nasir dalam sebuah akhbar.

"Kami secara peribadi bersependapat ada perkara lain yang mengatasi undang-undang.

"Atas fahaman tersebut, video itu tidak dikongsikan," katanya.

Sementara itu Pyanhabib berkata, penarikan balik video itu menunjukkan TPPA Malaysia melakukan kesilapan seperti didakwanya sebelum ini.

"Kami mempertikai kejujuran kamu yang mengambil karya kami tanpa izin.

"Kamu sepatutnya menghormati seniman tetapi kamu memilih untuk tidak menghotmati. Kamu salah!" katanya.

Zarul pula memberitahu, beliau akan menulis surat kepada pihak TPPA Malaysia untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu itu tidak lama lagi.

"Saya akan buat tindakan susulan selepas ini," katanya.

Lihat Komen
ADS