Malaysiakini Seni & Hiburan

'Pemilik Kembara Seniman Jalanan belum mati'

Al-Abror Mohd Yusuf  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Susah untuk diterima - begitu dirasakan 'Osman Tikus' ketika diminta mengulas tindakan pihak "TPPA Malaysia" menggunakan sedutan filem Kembara Seniman Jalanan sebagai bahan dalam kempen mereka.

Kata pelakon bernama Pyanhabib itu, pengendali akaun berkenaan kelihatan mengambil jalan terlalu mudah dengan berselindung di sebalik Akta Hak Cipta 1987 untuk menghalalkan tindakan berkenaan.

"Seolah-olah pemilik hak cipta Kembara Seniman Jalanan sudah mati," katanya kepada Malaysiakini .

Pada 11 Januari lalu Malaysiakini melaporkan sebuah klip video menjelaskan mengenai faedah pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menggunakan sedutan filem Kembara Seniman Jalanan sebagai bahan kempennya.

Klip itu disiarkan akaun TPP Malaysia di Facebook.

Pemegang hak cipta filem itu, Zarul Albakri mengesahkan kepada portal ini bahawa tiada sesiapa menghubunginya untuk memaklumkan kandungan produksi itu diambil sebagai bahan kempen.

Ironinya klip itu cuba menjelaskan kesan kegiatan cetak rompak kepada industri kreatif.

Tengok selepas ini

Kembara Seniman Jalanan adalah filem terbitan 1986 yang menjadikan isu pelanggaran hak cipta harta intelek oleh kumpulan 'lanun' moden.

Turut berlakon bersama Pyanhabib adalah Datuk M Nasir.

Menurut Pyanhabib, pengendali akaun TPPA Malaysia bertindak memperlecehkan pengguna Facebook yang memberi komen mengenai isu itu pada akaun pelakon berkenaan.

"Gaya menjawab mereka tidak profesional langsung.

"Bagi gua yang bangang ini, Akta Hak Cipta 1987 entah apa biji butirnya pun gua tidak tahu selain difahamkan TPPA Malaysia boleh bikin apa saja terhadap filem Kembara Seniman Jalanan selagi bukan untuk tujuan komersial, mereka menghalal cara dengan merujuk akta.

"Apakah untuk memohon izin penerbit Kembara Seniman Jalanan pun tidak boleh? Hubungi dan hormatlah pemilik filem itu.

"Zarul Albakri selaku pemiliknya masih hidup dan belum mati lagi!" katanya.

Mengenai kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang tidak tahu mengenai kandungan klip video itu, Pyanhabib berkata: "Kita tengoklah apa cerita selepas ini."

Kurang-kurang hormatlah

Sementara itu pengarah Kembara Seniman Jalanan, Nasir Jani, turut berasa tidak senang dengan 'pencerobohan' hak cipta berkenaan.

Kata Nasir ( gambar ), kejujuran perlu ada pada setiap pengendali bahan sebaran massa bagi memastikan setiap karya kreatif dihormati.

"Bukan mudah untuk orang seperti kami menghasilkan sesebuah karya. Sekurang-kurangnya hargailah pihak berkenaan yang bersusah-payah menjadikan sesebuah filem itu boleh disiapkan," katanya.

Nasir juga merujuk kepada lagu Bengawan Solo yang dicipta Gesang Martohartono pada 1940 dan diminati ramai termasuk orang Jepun.

Ia turut dimainkan di pusat hiburan di Jepun ketika zaman kemuncak karaoke.

"Di sana orang Jepun menyatakan secara jelas bahawa Bengawan Solo tertakluk kepada kawalan hak cipta ( copyright control ) kerana mereka belum mengetahui penciptanya.

"Apabila diketahui Bengawan Solo dicipta Pak Gesang, royalti lagu berkenaan diserahkan kepada Pak Gersang.

"Beliau meninggal dunia sebagai jutawan," katanya.

Gesang adalah pencipta lagu berasal dari Surakarta. Bengawan Solo adalah lagu berirama keroncong dan hampir tidak diketahui penciptanya.

Bapa Gesang memiliki memiliki perniagaan fabrik tetapi keluarga itu hidup dalam kemiskinan apabila jatuh muflis.

Tanpa pendidikan formal dalam muzik Gesang menggunakan bakatnya untuk mencari rezeki dengan menyanyi atau bermain muzik di majlis keramaian.

Dia meninggal dunia pada 20 Mei 2010 ketika berusia 92 tahun.