Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Nampaknya strategi pemasaran tudung jenama Fareeda menjadi senjata makan tuan apabila ia sebaliknya bertukar menjadi keadaan tidak terkawal.

Itu yang berlaku apabila peminat dan ejen jualan mengatur langkah sendiri bersesak-sesakan untuk memperoleh nombor giliran bagi membeli tudung keluaran terbaru Fareeda kira-kira dua minggu lalu.

Situasi berkenaan menjadi bertambah keruh apabila mereka yang sepatutnya beratur secara aman tadi tiba-tiba menjadi kecoh malah berhimpit-himpit tidak kira lelaki atau perempuan.

Klip video berkenaan dengan pantas menjadi viral di media sosial dan mendapat perhatian umum serta selebriti lain.

Menurut Pengurus Pemasaran Fareeda Global Resources Sdn Bhd Fizo Omar, tujuan dia dan isterinya Mawar Karim - pengarah jenama tudung berkenaan - berkongsi video menerusi akaun Facebook miliknya tidak lebih daripada satu langkah untuk mempromosi produk mereka.

“Sudah tentu sebagai seorang yang mengusahakan perniagaan, individu berkenaan berasa gembira melihat kejayaan yang dialami.

“Bukan riak, tetapi bagi saya tidak salah sekiranya klip video berkenaan dimuat naik dengan niat untuk berkongsi kemeriahan yang sedang dialami oleh Butik Fareeda.

“Lagi pula, kami tidak pernah membayar orang tertentu untuk berlakon mengambil nombor giliran,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Putrajaya pagi tadi.

Hadir luar jangka

Fizo turut berkata untuk penambahbaikan dan mengelak perkara berulang di masa depan, pihaknya merancang untuk mengadakan acara sama di lokasi lebih besar seperti stadium.

Dan pada masa sama, pihak pengurusan berkenaan menganjurkan pertandingan video "serangan Sweet Love" - juga sebagai satu lagi langkah promosi mereka.

Kata Fizo, ada hadiah bernilai ribuan ringgit diberikan kepada sesiapa yang terpilih apabila berkongsi video berkenaan.

Itu sebenarnya situasi yang berlaku pada hari kejadian.

Pihak pengurusan pula, kata Fizo, hanya menjangkakan kehadiran kira-kira 1,000 orang pada hari pengagihan nombor giliran yang sepatutnya bermula jam 5 petang.

Sebaliknya, lokasi butik Fareeda di Bandar Baru Bangi itu dibanjiri kira-kira 2,000 orang dan proses pemberian nombor giliran diawalkan kira-kira sejam.

Seramai 20 orang pengawal termasuk pihak anggota RELA diminta bertugas mengawal keadaan, selain hampir 30 pekerja butik sendiri.

Namun mereka tidak dapat mengawal keadaan apabila orang ramai mula merempuh garisan keselamatan.

Kata Fizo, sepatutnya ada barisan dikhaskan untuk pembeli wanita di bahagian depan.

"Kira-kira 80 hingga 90 peratus daripada mereka adalah ejen jualan Fareeda dan mereka turut mengupah beberapa orang yang lain untuk turut mendapatkan nombor giliran tambahan.

"Nombor giliran itu pula mempunyai nilai tersendiri apabila ia boleh dijual dengan harga puluhan ringgit.

"Mungkin ini yang menyebabkan orang ramai mula merempuh kawalan keselamatan hingga menyebabkan cermin bank bersebelahan retak dan paip air berhampiran pecah," katanya.

Selepas bertalu-talu tohmahan terpalit pada pihak pengurusan, tidak berapa lama selepas klip video itu menjadi viral, mereka dihimpit pula dakwaan menciplak corak tudung.

Corak tak termasuk dalam daftar

Hal itu menimbulkan kemarahan orang ramai apabila Fareeda mengakui rekaannya adalah eksklusif ditambah pula dijual pada harga tinggi.

Kata Fizo, pihaknya telah mendaftarkan lebih 100 rekaan tudung Fareeda, tetapi ia tidak membabitkan corak.

“Untuk sumber corak, kami import malah ia mengikuti trend semasa dan hak cipta untuk itu terpulang kepada pengeluar.

“Fareeda hanya mendaftarkan jenis tudung dan pendaftaran itu meliputi cara sambungan, jahitan dan bentuk siap.

“Corak Sweet Love itu telah mulai berada di pasaran pada 2012 , tetapi atas permintaan peminat kami mengeluarkan lagi bentuk sama tetapi dengan rekaan tudung ID berbeza,” katanya.

Selain itu, Fizo turut kecewa apabila ada segelintir individu yang menuduh pihak pengurusan melayan peminat "seperti lembu".

Katanya, kejadian itu berada di luar kawalan mereka dan pihak yang menuduh tidak tahu situasi sebenar.

“Manusia tetap manusia bukan lembu, dan bagi saya perkataan itu tidak sesuai.

“Tujuan kami mengadakan promosi sedemikian bukan saja untuk menjana keuntungan tetapi bertujuan untuk berkongsi rezeki.

“Di situ, agen akan menjual semula dengan meletak harga tinggi daripada apa kami tawarkan kalau saya mahu keuntungan semata-mata, kenapa tidak saya terus jual sehelai tudung yang harga RM150 pada harga RM300?” soalnya.

Lihat Komen
ADS