Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
FFM: Pengiktirafan diberi pada karya guna bahasa kebangsaan

Untuk mengukur sesebuah karya dalam pertandingan festival filem rasmi negara, kelayakan haruslah bergantung kepada bahasa yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi.

Demikian tegas Naib Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) Syed Zulkifli Syed Masir ke atas kemelut yang sedang melanda Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 ketika ini.

Katanya, kaedah itu turut diguna pakai oleh negara lain yang memberikan pengiktirafan ke atas karya yang dihasilkan di negara masing-masing.

“Festival Filem Malaysia adalah festival rasmi yang dianjurkan kerajaan begitu juga negara seperti Taiwan dan India.

“Untuk Festival Filem Golden Horse Taiwan dan Anugerah Filem Kebangsaan India, kedua-duanya menggunakan bahasa diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara.

“Karya seperti Amour arahan Michael Haneke yang memenangi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke-85 misalnya pula tidak layak dipertimbangkan untuk kategori utama festival kerana kurang budaya Austria (bahasa),” katanya kepada Malaysiakini.

Kata Syed Zulkifli, dengan perbandingan diberi, FFM wajar mengasingkan kategori pencalonan mengikut bahasa kebangsaan dan bukan bahasa kebangsaan.

Justeru menurutnya, penambahbaikan mungkin boleh dibuat ke atas nama kategori yang diberi.

“Mungkin FFM boleh mengubah tajuk kategori dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Kebangsaan,” katanya.

FFM ke-28 kini berdepan isu mengenai kategori yang diasingkan mengikut Bahasa Bukan Malaysia iaitu Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Menurut Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), syarat utama penganugerahan untuk Festival Filem Malaysia adalah dengan mendahulukan bahasa kebangsaan dalam filem tempatan.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan laporan Presiden Persatuan Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS), Alfie Palermo menolak majoriti pencalonan terakhir FFM kali ini.

Alfie turut mempersoalkan sama ada langkah mengasingkan kategori mengikut bahasa boleh membantu memupuk semangat perpaduan.

Sementara itu, menurut pengulas filem tempatan dan pengarah animasi Hassan Abdul Muthalib, segala ‘teriakan’ mengenai kepincangan dalam FFM kali ini seolah tiada gunanya.

Katanya, jalan penyelesaian hanya boleh diambil sekiranya Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diteliti semula.

“Ia sudah termaktub dalam akta Finas 1981 yang mengambil kira Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang perlu digunakan dalam karya.

“Buat bising macam mana pun tiada apa akan berlaku kerana jika kurang 70 peratus Bahasa Malaysia digunakan ia sukar mendapat tempat dalam kategori yang sebolehnya ingin dipertandingkan,” kata Hassan.

Lihat Komen
ADS