Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tuah dan nasib yang baik mungkin tidak mendarat ke 'riba' Pekin Ibrahim jika dia mengetepikan nasihat allahyarham Azwan Anuar sebelum menyiapkan Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit.

Pada peringkat awal Pekin terlintas untuk mengabaikan rancangannya menghasilkan filem berkenaan.

Antara puncanya ialah kebuntuan akibat masalah kos dan keraguan penyalur dana pada kemampuan Pekin mengarah.

“Sebenarnya saya tak mahu mengarah filem Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit ini.

“Siapa yang tak putus harapan apabila pertama kali mahu mengarah ada segelintir pihak berasakan saya tiada pengalaman dan kurang yakin untuk memberikan dana," katanya.

Namun Azwan menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada Pekin.

Azwan yang juga penulis asal skrip filem berkenaan menjadi orang paling bersemangat dan yakin filem berkenaan boleh 'pergi jauh'.

"Saya turutkan dan alhamdulillah 'masin' mulut arwah,” katanya.

Pekin ditemui selepas acara kemuncak Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Dalam filem itu Pekin bukan saja menjadi pelakon utama sebaliknya pengarah dan penulis skrip.

Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit dicalonkan bagi lapan kategori dan mengungguli tiga daripadanya iaitu cerita asal terbaik, pelakon lelaki terbaik (Pekin) dan pelakon pembantu terbaik (Falisha Crossley).

Skrip entah di mana

Pekin pernah dicalonkan untuk kategori pelakon lelaki terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-25 melalui Bunohan pada 2012.

Melalui Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit Pekin menekankan perbezaan antara mat motor dan mat rempit selain menerapkan banyak mesej positif.

Pekin berkata jauh di sudut hatinya dia kini puas dan lega mengenangkan kegigihan arwah Azwan menyuntik keyakinan dan memberi doronganan kepadanya menyiapkan filem berkenaan.

Menceritakan detik dia bermula sebagai penulis skrip, Pekin berkata semuanya berlaku tanpa disangka-sangka.

“Saya tidak berminat untuk menulis skrip sebelum ni, semuanya diserahkan pada Azwan.

"Namun apa daya dia terlebih dahulu pergi sebelum sempat menghulurkan naskhah yang siap," katanya.

Dalam keadaan begitu, kata Pekin, dia tiada pilihan kecuali menulis semula cerita seperti pernah dibincangkan sehingga skrip siap sepenuhnya.

Dan dia mengakui kian berminat menulis skrip dan meneruskan aktiviti itu untuk projek filem seterusnya.

Dalam suara sebak Pekin juga menyatakan sehingga kini dia tidak tahu di mana skrip disiapkan Azwan itu berada.

Ditanya perasaan terhadap kecaman segelintir pihak mengenai kredibilitinya sebagai pengarah, Pekin menegaskan seorang pembikin filem tidak harus kecewa sekiranya gagal menggapai sebarang trofi.

“Penilaian dibuat juri dan semua yang pernah menang pasti tahu perasaan gembira itu.

“Bagi saya, tanpa anugerah tidak semestinya pengkaryaan itu harus terhenti, tetapi ia wajar diteruskan demi perasaan cinta kepada industri perfileman negara,” katanya.

Untuk makluman Azwan meninggal dunia akibat sakit jantung pada 18 April tahun lalu.

Arwah sebenarnya dikenali dengan watak pelakon pembantu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Kampung yang sering mengucapkan dialog: "Sabor je lah."

Lihat Komen
ADS