Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Komponis wanita Malaysia di pentas Asia
Diterbitkan:  Oct 9, 2016 12:54 PM
Dikemaskini: Oct 10, 2016 1:20 AM

Mudah bagi kita menemui cakera padat (CD) gubahan komponis terkenal seperti Beethoven atau Mozart di gedung-gedung muzik tempatan.

Tetapi mungkin sukar untuk memperolehi gubahan 'Mozart' dari Malaysia sendiri, walaupun kita tidak ketandusan bakat sebegitu, apatah lagi di kalangan komponis wanita.

Namun, karya komponis wanita Malaysia kini boleh ditemui di pesta Tahunan Liga Komponis Asia (ACL) 2016 di Hanoi.

Perkembangan ini bermula semasa komponis kontemporari, Jessica Cho ditemuramah Malaysians Kini Januari lalu.

Ketika itu dia berkata telah lama berhasrat untuk mengeluarkan CD pertama yang menampilkan barisan komponis wanita Malaysia.

Selepas Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, membaca temubual tersebut, beliau menghubungi Cho dan menawarkan tajaan untuk projek idamannya dengan sokongan Pertubuhan Masyarakat Sihat Tanpa Alkohol Pulau Pinang.

Selasa lepas, Cho, yang menetap di Kuala Lumpur, menuju ke utara tanah air untuk melancarkan CD pertamanya ‘Interweaves' (Tenunan), yang juga memaparkan lukisan oleh wartawan dan pelukis Susan Loone.

Cho turut mengadakan sidang medianya di bangunan Komtar di Pulau Mutiara.

"Begitu banyak acara yang berlaku dalam bidang seni dan budaya di sana. Dan kerajaan negeri begitu mengambil berat tentangnya.

"Ia memang membuka mata saya dan membuatkan saya ingin meneruskannya," kata Cho kepada Malaysiakini semalam.

CD Cho menampilkan karya dicipta khas Adeline Wong, ‘Interweaves' untuk kuartet geset, menggunakan motif yang diilhamkan oleh seruan azan. Ia juga mengandungi muzik yang digubah untuk filem seram ‘Chermin’.

Cho menampilkan gubahan piano yang telah memenangkan beliau hadiah ketiga semasa pertandingan komponis remaja di Pesta ACL di Taiwan tahun 2011, dan gubahan ‘Hypnagogic II’ yang persembahan pertamanya di Kuala Lumpur dibatalkan kerana Perhimpunan BERSIH 3 pada hari yang sama.

Pensyarah di Temple of Fine Arts Jyotsna Prakash menyumbangkan karyanya ‘Sukhi’, yang diilhamkan oleh penari Sukhi Shetty; sementara pensyarah di Aswara, Isabella Pek, menampilkan ‘Jambatan Tamparuli’, yang berasaskan lagu asli Sabah.

CD ini bertujuan untuk menampilkan suara komponis kontemporari wanita Malaysia di pentas antarabangsa.

Ia turut diedar di pelbagai acara seperti persembahan di Kinokuniya, KLCC semalam.

Maklumat mengenai CD ini boleh diperolehi di sini.

Lihat Komen
ADS