Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Dari Dukun ke Interchange misteri jadi mainan Dain

Semuanya bermula dengan sekeping gambar kira-kira 20 wanita suku Bukit sedang di sebatang sungai.

Berdasarkan kepada keterangan gambar, mereka sedang melakukan ritual "membuang sial".

Dari gambar berusia kira-kira 100 tahun itulah mengilhamkan Dain Said untuk menghasilkan naskhah terbarunya Interchange.

Kejadian berlaku pada tahun 1915 itu, kata Dain, dipercayai upacara simbolik buat puak di Kalimantan yang percaya roh mereka 'terperangkap' dalam medium lain - dalam hal ini, negatif filem - selepas gambar mereka dirakam kamera.

“Kesemua wanita itu berpakaian biasa, membongkok seolah-olah membasuh kaki di sungai.

"Wanita itu beranggapan mereka perlu membersihkan diri selepas gambar mereka diambil oleh seorang jurugambar.

“Gambar hitam putih itu dirakam seorang jurugambar dari Norway itu benar-benar mencetuskan minat mendalam hingga saya membuat keputusan untuk mengkaji lebih lanjut dan akhirnya menghasilkan filem berdasarkan kepercayaan puak itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Dain atau nama penuhnya Dain Iskandar Said, 59, hadir ke pejabat Malaysiakini untuk sesi wawancara mengenai buah tangan terbarunya, Interchange, baru-baru ini.

Mula ada sejak 2005

Filem dijadual ditayangkan 1 Disember ini menghimpunkan ramai pelakon popular dan berkata, termasuk Shaheizy Sam, Nicholas Saputra dan Prisia Nasution, selain Iedil Putra yang selalu mendapat pujian Dain semasa temubual berkenaan.

Ia mengisahkan seorang jurugambar forensik, Adam (lakonan Iedil Putra) yang menyertai Detektif Man (Shaheizy) menyiasat siri pembunuhan mengerikan.

Sama seperti minat Dain kepada dunia misteri dan mistik Interchange juga padat dengan unsur berkenaan.

Kata Dain, detik awal penciptaaan cerita Interchange bermula sebelum dia mengusahakan sebuah lagi filem thriller, Dukun pada 2005.

Dukun ialah sebuah filem seram diinspirasikan daripada sebuah kisah benar mengenai seorang ahli politik yang mati dibunuh dengan amat kejam.

Bagaimanapun sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada filem itu akan ditayangkan atau tidak.

Kata Dain, pembikinan Dukun menyebabkan dia tidak boleh menumpukan sepenuh perhatian melengkapkan Interchange.

Hanya beberapa tahun kemudian, katanya, idea itu dikembangkan dengan lebih luas.

“Semasa di Bangkok, Thailand pada 2011 kerana melakukan proses praproduksi Bunohan, barulah saya dapat meluangkan masa menulis sepenuhnya Interchange,” katanya yang juga menjadi penulis dan pengarah Bunohan.

Gemar terlibat secara langsung

Seperti karya lain Dain, Interchange dihasilkan dengan sebaik mungkin dan dia memberi sepenuh perhatian kepada segala aspek, menjadikan filem itu menampakkan ketelitian yang tinggi.

Menurutnya, kalau dikira dari fasa penyelidikan kesemuanya Interchange perlu mengambil masa lebih tiga tahun untuk disiapkan.

Sifat itu bersesuaian dengan karakter Dain yang sebelum ini sentiasa mempraktikkan disiplin tinggi semasa menghasilkan filem iklan komersial sebelum ini.

Dain juga seorang yang 'cerewet' - jika istilah itu boleh digunakan - kerana tidak mengambil mudah sesuatu perkara.

Justeru tidak hairanlah apabila dia mengambil sedikit masa bertanya itu dan ini ketika wartawan KiniTV menyiapkan kamera untuk merakam temubual berkenaan.

“Saya gemar membabitkan diri bukan saja mengenai pembikinan filem tetapi ia termasuk memikirkan idea mengenai pakaian, mekap dan peralatan perlu digunakan.

“Saya ingin buat sendiri sesuatu pada filem dan contoh itu terdapat pada Bunohan. Anda tahu tak, saya sendirilah yang meletakkan peluh pada Faizal Hussein dalam Bunohan,” katanya.

Dalam Bunohan yang ditayangkan pada 2012 itu, Faizal membawa watak sebagai Ilham, pembunuh yang diupah untuk membunuh Adil - watak dimainkan Zahiril Adzim.

Pada 1 Disember depan, filem ketiga Dain itu akan mencabar fokus penggemar filem di pawagam di seluruh negara.

Apa pun reaksi peminat nanti, naskhah itu sebenarnya sudah teruji terlebih dahulu dan mencipta kegemilangan tersendiri di luar negara apabila dijemput ke tayangan festival bertaraf dunia.

Antaranya Festival Filem Locarno di Switzerland pada 5 Ogos lalu. Dan pada September pula ia ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto, Canada.

Ia juga mendapat perhatian pengedar filem di United Kingdom yang menganggap Interchange adalah unik dan lain daripada yang lain.

Filem menelan perbelanjaan RM3.5 juta dirakam di sekitar Lembah Klang.

Sejauh mana pun perjalanan dicapai Interchange, Dain masih seperti dirinya - seorang pembikin filem yang masih memegang niat yang satu ketika menceburi industri.

“Saya buat filem bukan nak bawa ia bertanding atau tayang di mana-mana festival semata-mata.

“Saya buat filem sehabis baik dan semampu yang boleh. Kalau boleh fokus utama adalah pasaran di negara sendiri kerana ia adalah yang paling utama.

“Saya tiada sebarang jangkaan untuk industri atau box office tetapi saya sebagai pengarah saya berharap Interchange boleh diterima baik,” katanya.

Lihat Komen
ADS