Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Filem Dain Said ditayang di Festival Filem Locarno
Diterbitkan:  Jul 16, 2016 12:19 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Filem Interchange karya pengarah Dain Said mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih untuk ditayangkan pada acara berprestij di Festival Filem Locarno di Switzerland.

Rombongan Malaysia itu akan disertai oleh Dain Said, Nandita, Shaheizy Sam, Iedil Putra, Pengarah Fotografi, Jordan Chiam (Terbaik Dari Langit) dan Pengarah Muzik Luka Kuncevic (Polis Evo).

Selain itu, pelakon Indonesia Nicholas Saputra dan Prisia Nasution yang membarisi filem berkenaan turut diundang ke festival itu.

Interchange akan ditayangkan pada 5 Ogos 2016 di Piazza Grande yang mampu memuatkan seramai 8,000 penonton pada satu masa di ruang terbuka dan ditayangkan di layar gergasi (26x14 meter) untuk tatapan seluruh pengunjung yang hadir ke festival.

Festival Filem Locarno diwujudkan sejak tahun 1946 dan pernah menampilkan pengarah terkemuka seperti Claude Chabrol, Stanley Kubrick, Miloš Forman, Béla Tarr, Chen Kaige, Alexandr Sokurov, Jim Jarmusch, Spike Lee, Ang Lee, Claire Denis, Kim Ki-Duk, Abbas Kiarostami.

Interchange adalah filem kedua Dain yang mendapat perhatian dunia selepas Bunohan yang diterbitkan pada 2012 dan ia bakal menemui penonton di pawagam pada awal 2017.

Filem Bunohan pernah menyertai Festival Filem Antarabangsa Toronto pada 2011.

Interchange diterbitkan oleh Apparat dan dibiayai oleh Sonneratia Capital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Filem Nasional (FINAS). Interchange juga diterbitkan bersama penerbit Indonesia, Cinesurya.

Film seram supernatural ini menggabungkan pelakon-pelakon hebat Malaysia dan Indonesia seperti Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Prisia Nasution, Iedil Putra, Nadiya Nissa, Alvin Wong dan Chew Kin Wah.

Ia memaparkan kisah mengenai Detektif Man, watak dilakonkan oleh Shaheizy dan rakannya Adam (Iedil Putra) - jurugambar forensik - yang terbabit dalam kes pembunuhan bersiri.

Akibatnya ia memberi kesan mendalam ke atas Adam dan sejak itu dia mula menyendiri dan menghindari dunia sebenar.

Dari situ, Adam sering mengintip wanita misteri Iva (Prisia Nasution) yang ditemani semangat haiwan Belian (lakonan Nicholas).

Iva pula merancang untuk membebaskan jiwa suku kaumnya daripada kisah negatif masa lampau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS