Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Najip minta maaf pada Najib
Diterbitkan:  Apr 5, 2017 12:43 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Pengacara terkenal dari Singapura, Najip Ali, hari ini tampil meminta maaf selepas program disertainya, OK Chope!, menimbulkan kemarahan sesetengah pihak di negara ini.

Najip turut menyatakan kekesalan terhadap sikapnya ketika menyertai rancangan berkenaan.

“Untuk beberapa hari lepas, saya sedar komen dibuat ketika segmen rancangan komedi Channel 5 itu menunjukkan sikap tidak sensitif dan tidak berhati perut.

“Saya merayu agar beliau, penonton dan rakan-rakan memaafkan saya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelanggan Mediacorp Singapura, Debra Soon, turut membuat permohonan maaf atas program berkenaan yang disiarkan pada minggu lalu.

“Channel 5 dan kru produksi OK Chope! memohon maaf dengan seikhlas hati kepada Perdana Menteri Malaysia Najib Razak atas segmen disiarkan pada episod minggu lepas.

OK Chope! adalah rancangan lintas langsung secara mingguan memaparkan pelawak yang mengetengahkan bahan jenaka berdasarkan isu semasa.

“Episod minggu lalu menggunakan rujukan Perdana Menteri Malaysia dilihat sebagai sesuatu kurang sensitif dan menjelikkan.

“Lantaran, kami telah menarik episod itu dari diulang tayang dengan kadar segera. Kami memohon maaf bagi kesilapan ini,” katanya.

Jangan takut melawak

Semalam, Persatuan Seniman Malaysia mendesak penerbit rancangan OK Chope! memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak, kerana berpendapat perdana menteri telah dijadikan bahan jenaka.

Seniman turut berjanji membuat laporan polis terhadap lima selebriti yang muncul dalam episod ke-26 rancangan berkenaan sekiranya tiada permohonan maaf dikemukakan.

Selain Najip, selebriti yang terlibat dalam program minggu lalu ialah Mike Kasem, Rishi Budhrani dan Sam See, manakala Vernetta Lopez menjadi hos.

Najip sering berulang-alik ke Malaysia kerana menjadi juri tetap program Maharaja Lawak Mega terbitan Astro.

Pada program berkenaan, perserta diperlihatkan satu imej memaparkan tajuk berita dengan salah satu perkataannya dipadam. Mereka kemudian diminta meneka perkataan yang dipadamkan itu.

Sementara itu pelukis kartun politik, Zunar, turut mengulas isu berkenaan.

Katanya, tidak ada salahnya jenaka dan satira kerana ia baik untuk sesebuah negara demokrasi.

"Pelawak Malaysia sepatutnya (tidak takut) untuk memberi komen mengenai Najib dan skandal 1MDB kerana ia menjadi topik hangat," katanya melalui mesej WhatsApp kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS