Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Mentafsir identiti Melayu dengan tempoyak Luqman

Jangan kita sampai jadi tempoyak - itu antara cuplikan dialog yang menarik diungkapkan oleh pelakon filem Luqman arahan Dr Mahadi J Murat.

Kalau menonton Luqman secara biasa-biasa, tidak aneh jika orang ramai mentafsir naskah terkini Mahadi itu sebagai biasa-biasa juga.

Namun pada pandangan pelakon utama Luqman, Wan Hanafi Su, di sebalik dialog yang diucap setiap pelakonnya, ada terkandung makna tersirat.

Ia juga kata Wan Hanafi menggambarkan rasa tidak tertahan Mahadi yang ingin dikongsikan dengan orang ramai.

"Luqman menyelitkan simbol-simbol yang mencerminkan sentimen jiwa, bangsa, bahasa dan budaya Melayu yang semakin terhakis sejak akhir-akhir ini.

“Inti filem ini digambarkan dengan adegan durian - metafora yang sering digambarkan dalam bahasa nusantara.

“Itulah jus (pati) pada cerita Luqman," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Wan Hanafi babak berkenaan memang terasa kekuatannya namun penonton perlu 'menggali' makna yang tersirat itu dengan lebih mendalam untuk menemukan jati diri bangsa.

Selain Wan Hanafi sebagai Luqman, filem yang memulakan tayangannya hari ini turut membariskan Raja Ilya sebagai Ayu Kenchana (isteri Luqman) dan Josiah Hogan sebagai Marwan Al-Hadi.

Cari faktor bahagia

Luqman berkisar mengenai kehidupan seorang pensyarah dan penyair ternama yang berdepan cabaran apabila hadirnya seorang lelaki muda ketika dia sedang menghadapi kekalutan dengan isterinya yang jelita, serta seni yang diperjuangkan.

Meskipun plot terbesar melatari perjalanan filem itu berkisar tentang kasih sayang suami isteri dan cinta tiga segi, Wan Hanafi menjelaskan itu hanyalah lapisan luaran yang sengaja digambarkan di layar skrin.

“Mahadi sengaja ingin menguji penonton kerana melalui Luqman apa yang ingin diberitahu bukan isu di permukaan tetapi di bawahnya,” katanya.

Menurut pelakon Lelaki Harapan Dunia itu, Mahadi menggunakan kreativitinya cuba menyongsong arus dengan mengetengahkan watak lelaki lebih separuh usia daripada wanita yang menjadi isterinya.

Berbanding faktor seperti mengejar kebendaan, taasub kerja dan jarak usia dalam rumah tangga - aspek yang sering meliputi kes-kes perceraian di negara ini pada realitinya - Mahadi menghidangkan Luqman yang tampil berbeza.

Katanya, Ayu Kenchana juga jauh daripada gambaran biasa yang memaparkan wanita mengahwini lelaki berusia semata-mata kerana mengejar kebendaan.

“Usia atau kebendaan tidak boleh menjadi faktor membahagiakan atau tidak membahagiakan. Yang penting ialah, setiap pasangan harus menyemai persefahaman, kepercayaan dan kesetiaan.

“Sebagai manusia biasa, sifat cemburu itu ada pada Luqman sebab dia lebih tua daripada Ayu. Tetapi sebenarnya, yang memuliakan cinta mereka adalah isterinya, cuma Luqman tidak faham,” katanya.

Lihat Komen
ADS