Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Memang semua orang pernah atau bakal merasai keperitan jiwa akibat kehilangan orang tersayang.

Justeru Datuk Jalaluddin Hassan berharap tidak wajar dirinya diadili terlalu mudah kerana tidak semua orang boleh memahami situasi dialaminya.

Pelakon terkenal itu didakwa terlalu mudah melupakan isteri, Datin Hasimah Mad Ehsan, yang meninggal dunia tidak sampai setahun lalu selepas meluahkan hasrat ingin menikahi ibu tunggal beranak empat baru-baru ini.

Namun, Jalaluddin yang juga pengacara popular itu menegaskan, dia bukanlah lelaki cepat berubah. Sebaliknya, kata Jalaluddin wajah dan kenangan bersama arwah isteri itu masih lagi kuat ‘bersarang’ di hatinya.

“Saya yang hidup lebih 40 tahun bersama arwah, yang merasai kehilangan itu - saya. Kalau boleh, saya ingin selama-lamanya hidup bersama dia.

“Memang saya tidak sesekali mampu melupakan segala pahit manis bersama dia, dan kasih sayang pernah dicurahkan kepadanya. Jangan hakimi saya,” katanya kepada Malaysiakini.

 

 

Hari ini dgn izin Allah. Dgn izin Allah jua moga arwah kekasih ku d tempatkan d kalangan hamba2 nye yg taat dan d redhai.

A post shared by Jalaludin Hassan (@jalaludinhassan) on

 

Hasimah meninggal dunia pada 5 November tahun lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kencing manis dan paru-paru berair.

Sebelas bulan kemudian Jalaluddin dikhabarkan mahu membina rumah tangga sekali lagi dengan seorang ibu tunggal yang juga ahli jawatankuasa sebuah masjid.

Antara ciri-ciri yang membuatkan Jalaluddin, 63, terpaut hati pada wanita berkenaan adalah kecekalannya membesarkan anak walaupun bersendirian, dan semangat itu jugalah yang ada pada arwah isterinya ketika dia bersengkang mata menjaga ibu yang sakit.

Bukan tanggal 25

Sebenarnya, Jalaluddin agak keberatan untuk berkongsi kisahnya dengan wanita berusia 44 tahun berasal dari Melaka itu, namun selepas dipujuk wartawan, beliau akhirnya bersetuju

Ketika itu, Jalaluddin diwawancara mengenai pembabitannya sebagai seorang daripada pelakon membarisi teater Bahara Emas anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Pementasan teater itu bakal diadakan selama empat hari berturut-turut mulai 19 Oktober ini di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Menurut Jalaluddin, dia hanya membuka pintu hatinya semula untuk berkenalan dengan seseorang hasil saranan bapanya Tan Sri Hassan Azhari, 89.

“Abuya (gelaran diberikan kepada bapanya) insan terpenting kerana dia mengubat dan menjadi penenang saya ketika berdepan situasi sedih kehilangan isteri.

“Dia selalu menasihati saya supaya cari pengganti, jangan hidup seorang diri, selain memberitahu saya harus reda untuk meneruskan hidup ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut menyangkal desas-desus terbaru kononnya dia bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 November depan kerana tanggal "25" itu sentiasa membuat dia teringat kepada arwah Hasimah.

Jalaluddin turut berkata sebarang majlis berkaitan penikahannya hanya akan dilakukan selepas setahun detik pemergian isterinya berlalu.

“Tarikh 25 itu sering mengingatkan kenangan sewaktu bersama arwah kerana kami diijabkabulkan pada 25 Disember.

“Selepas dinasihatkan bapa dan ipar duai, memang tanggal 25 tidak akan menjadi tarikh sebarang perkahwinan,” katanya.

Lihat Komen
ADS