Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bidong The Boat People: Sekarang Yusof Kelana tahu

Sudah pernah merasai zaman gemilang dengan filem pecah panggung, Yusof Kelana tidak terlalu memaksa dan berharap ke atas filem terbarunya Bidong: The Boat People.

Hanya mencatatkan kutipan tidak sampai RM10,000, Yusof berkata dia tidak sedikit pun berasa kecewa dengan nasib yang menimpa filem arahannya itu.

Apa yang penting, kata Yusof, dia dapat menunaikan keinginan yang pernah tersimpan di dalam hatinya.

Pengarah yang popular dengan filem Tragedi Oktober itu berkata naskhah berat seperti yang diilhamkan dari sejarah Pulau Bidong itu memang sudah lama ingin diterbitkannya.

“Saya memang sudah menjangkakan genre begini susah nak diterima penonton. Tetapi selagi belum dicuba, kita takkan tahu," katanya kepada Malaysiakini.

Selepas melakukan percubaan kata Yusof barulah puas hatinya kerana ternyata penonton tempatan kurang menggemari filem berkisahkan sejarah kerana sudah terbiasa dibuai dengan filem komersial seperti komedi dan aksi.

Dengan sambutan yang seakan suam-suam kuku terhadap Bidong: The Boat People dapat difahami mengapa ada pawagam utama menarik balik tayangan hanya selepas tiga hari.

Bidong: The Boat People menjengah pawagam 1 Mac lalu.

Zaman romantis dah berlalu

Ia berkisah mengenai seorang pelarian perang Vietnam kembali ke Pulau Bidong selepas 30 tahun meninggalkannya.

Watak terbabit terpaksa meninggalkan negaranya puluhan tahun silam kerana konflik dalaman dan menjadi pengungsi selama tiga tahun di kawasan perairan Terengganu itu.

Tujuan utama wanita terbabit berkunjung semula ke Pulau Bidong ialah untuk menziarahi kubur suaminya.

Filem membawa tema cinta imigran itu dijayakan Taufik Hanafi, Irene Wong, Livolnia Ricky, Lawrence Poh, Abby Nour, Dickson Chin, Z Zamree, Vanessa Lim dan Man Raja Lawak.

Tidak putus harap dengan sambutan diterima di tempat sendiri, Yusof sedang berunding dengan syarikat pengedar dari China untuk menayangkan filem berkenaan di negara itu.

Pada masa sama Yusof, 63, tidak jera untuk terus berkarya pada masa depan.

Cuma katanya, perlu ada kajian lebih mendalam perlu dibuat mengenai selera penggemar filem tempatan sebelum dia mengorak langkah.

“Ini bukan pengakhiran kerjaya saya, kerana gagal sekali tidak bermakna gagal buat selama-lamanya.

“Saya perlu mendalami pasaran terlebih dahulu sebelum cuba memikat hati penonton,” katanya.


Baca Ai Weiwei jadi Aylan Kurdi demi pelarian


Ditanya projek seterusnya, Yusof berkata genre cinta kemungkinan besar bukan lagi menjadi pilihan.

Selain usianya semakin meningkat, Yusof yakin seiring dengan peredaran zaman kisah berpaksikan percintaan pasangan romantis dan fantasi dua sejoli tidak lagi laris untuk dijadikan taruhan.

“Ini boleh dilihat melalui cerita cinta tempatan yang dijangkakan mampu mengutip hingga RM1 juta, tetapi hanya mampu mencatat ratusan ribu saja.

“Zaman romantis sudah berlalu. Dulu bolehlah saya hasilkan kisah cinta.

"Pada usia begini saya mahu menghasilkan karya-karya berat, serius dengan subjek lain daripada lain,” katanya.

Lihat Komen
ADS