Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Nama Pulau Bidong - bagi sesetengah orang - sinonim dengan kisah krisis sebuah negara serantau hingga wujud pusat penempatan pelarian Vietnam antara 1978 hingga 1991.

Namun untuk generasi terkemudian, rasanya tidak ramai yang tahu kepentingan pulau di Terengganu itu kepada negara.

Pada masa sama di pelbagai tempat di dunia, krisis perang dan pelarian bukan sesuatu yang janggal lagi.

Justeru pengarah Yusof Kelana memulakan projeknya untuk menghasilkan filem Bidong The Boat People yang diilhamkan daripada sejarah Pulau Bidong.

Selain mengetengahkan lokasi itu, filem berkenaan, katanya, boleh memberi maklumat lebih banyak kepada generasi baru.

Namun tidak semuanya lancar untuk dihasilkan. Misalnya beberapa lokasi penggambaran yang dipilih didapati ‘keras’ hingga menimbulkan tekanan mental ke atas kru.

“Nak cakap, takut ada yang akan kata benda tahyul, tapi memang ada gangguan, susah saya nak cerita," kata Yusof ketika ditemui pada sesi tayangan filem berkenaan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ada kru terpaksa diganti

Menjelaskan pengalaman mistik itu Yusof berkata antara kejadian yang sukar dijelaskan ialah bagaimana pelakon yang menjayakan adegan berlari di sebuah jambatan di Kijal, asyik terjatuh hingga terluka.

Tidak cukup dengan itu, penggambaran juga terganggu apabila empat kru melarikan diri sehingga mendorong Yusof membuat laporan polis.

Pengarah berusia 63 tahun itu berkata, ada kemungkinan besar kru terbabit mengalami tekanan perasaan selepas menjalankan penggambaran di laut.

Sesi berkenaan, katanya, membabitkan 55 orang termasuk pelakon dan kru yang terpaksa bekerja di tengah laut selama seminggu.

“Dilambung ombak sangat kuat membuatkan mereka tidak tahan hingga melarikan diri dengan van yang berisi peralatan penggambaran

"Bagaimanapun isu itu berjaya diselesaikan," katanya.

Menurut Yusof dua daripada kru terbabit tidak dapat meneruskan tugas dan terpaksa digantikan, manakala dua yang lain kembali seperti biasa.

Atas faktor keselamatan dan mengelak kejadian tidak diingini lain, Yusof kemudian mengubah jadual penggambaran di Pulau Bidong hanya pada waktu siang.

Bidong The Boat People berkisar mengenai seorang pelarian perang Vietnam yang pernah ditempatkan di Pulau Bidong selama tiga tahun.

Dia kemudian kembali semula ke pulau itu selepas 30 tahun untuk melawat kubur suaminya.

Filem membawa tema cinta imigran itu dijayakan Taufik Hanafi, Irene Wong, Livolnia Ricky, Lawrence Poh, Abby Nour, Dickson Chin, Z Zamree, Vanessa Lim dan Man Raja Lawak.

Selain gangguan mistik, Yusof turut berdepan cabaran lain untuk menyiapkan filem berkenaan yang dijangka ke layar perak di seluruh negara pada 1 Mac ini.

Satu daripada cabaran dihadapi produksi, katanya, berlaku apabila tiga pelakon dari Vietnam dilarang pihak imigresen negara itu terbabit dalam filem berkenaan.

Puncanya Jabatan Kebudayaan Vietnam mendakwa filem itu bertujuan memburuk-burukan imej negara berkenaan.

“Tiga pelakon dari Vietnam itu sudah menandatangani kontrak dan kami sudah pun menempah tiket dan hotel untuk mereka tetapi tidak dibenarkan keluar negara.

“Mereka (Vietnam) tidak mengaku isu Pulau Bidong sebagai sejarah, malah mendakwa filem ini hanya rekaan semata-mata," katanya.

Terdahulu, kata Yusof, semua kerja-kerja berkaitan penggambaran yang dilakukan di Vietnam yang disimpan dalam cakeras keras juga dirampas.

Lihat Komen
ADS