Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi yang suatu ketika dulu pernah menjadi vokalis kumpulan rock dan kini membina nama sebagai Lan Solo mengaku kemunculan Berpisah Tanpa Rela bukan dihasilkan bertujuan menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak.

Tegasnya, single pertama yang diilhamkan selepas pertandingan Gegar Vaganza musim ke-4 (GV4) berakhir hujung tahun lalu itu dianggap sebagai pemangkin untuk kembali bangkit daripada episod duka.

“Untuk idea asal memang berniat hasilkan lagu berkisahkan tema percintaan, namun jiwa saya tidak dapat berbohong, ini naskhah berbentuk peribadi lantaran itu terhasillah Berpisah Tanpa Rela.

“Saya memang sudah menutup buku mengenai hal yang berlaku di antara kami. Ini hanya sekadar luahan perasaan atas segala luka dialami dalam lagu yang saya cipta,” katanya.

Pemilik nama penuh Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, itu ditemui pada majlis pelancaran Berpisah Tanpa Rela di Petaling Jaya semalam. Lan bertindak sebagai pencipta lirik dan melodi lagu berkenaan.

Sebelum ini, pemain gitar utama, Rody membuat kenyataan mengejut untuk “merehatkan” Lan yang dulu dikenali sebagai Lan Kristal daripada sebarang aktiviti membabitkan Kristal termasuk mencari vokalis baru.

Antara penyebab kemelut itu didakwa berpunca daripada penyertaan Lan sebagai peserta GV4.

Lan berkata, berdasarkan pengalaman silam menganggotai Kristal sejak awal penubuhannya pada 1999, banyak kenangan manis yang melengkapkan perjalanannya sebagai anak seni.

Pun begitu, sukar untuknya menolak perpisahan yang ditakdir menghimpit kumpulan berkenaan tahun lalu malah tidak pula sesekali dia menanam sifat dendam terhadap mana-mana anggota Kristal.

“Nyata, apa dialami selepas perpisahan tidak boleh ditipu, jiwa amat terhiris, itu adalah perasaan saya.

“Siapa tahu selepas ini mungkin akan terhasil pula lagu-lagu yang bernada gembira,” katanya yang tidak berhasrat untuk kembali bersatu dengan bekas kumpulannya itu.

Banyak perkara perlu dipelajari

Dalam pada itu, Lan berharap dia mempunyai cukup ruang dan waktu bagi meneruskan perjuangan untuk berkarya dengan bakat yang dikurniakan.

Walaupun diibaratkan seperti bayi baru belajar bertatih dalam industri apabila memulakan langkah secara solo, Lan tidak menganggap cabaran itu melemahkan semangatnya.

“Ini adalah percubaan pertama saya selepas bergerak sendirian. Dulu hanya terbabit sebahagian kerja-kerja studio.

“Selama 18 tahun berkecimpung dalam industri, tetapi masih banyak perkara perlu dipelajari. Harap saya tidak terlalu lewat,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS