Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kemelut Kristal: Lan minta diberi ruang
Diterbitkan:  Nov 22, 2017 8:21 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Vokalis Kristal, Lan memohon dirinya diberikan ruang agar dapat menumpukan sepenuh perhatian bagi membuat persediaan menjelang konsert Gegar Vaganza musim keempat (GV4) Ahad ini.

Malah kata Lan buat masa ini dia enggan mengulas lanjut mengenai kemelut yang melanda dia dan anggota kumpulan Kristal yang lain.

Sebelum ini, pemain gitar kumpulan terbabit, Rody bercadang merehatkan Lan daripada sebarang aktiviti membabitkan Kristal selain turut menyatakan ingin mencari vokalis baru.

"Maaf, saya terlalu sibuk dengan penggambaran kapsul GV. Minggu ini, tugasan saya agak mencabar dan saya perlu memberi fokus sepenuhnya untuk persembahan ini terlebih dulu.

"Insya-Allah, selepas selesai persembahan, jika saya dipanggil untuk ke sidang media konsert minggu kelima nanti, saya akan menjawab soalan media. Maafkan saya sekali lagi," katanya seperti dilapor BH Online.

Menerusi status di media sosial semalam, Rody menjelaskan keputusan berkenaan diambil selepas mendapat nasihat daripada pihak yang lebih arif.

Menurut Rody lagi ia sekaligus membuka peluang untuk mereka mengadakan uji bakat penyanyi baru.

Kenyataan itu dikongsi Rody selepas Lan menyatakan hasrat mahu bergerak secara solo selain tidak mahu bertumpu kepada genre rock semata-mata

Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof itu juga dikatakan membelakangkan anggota lain apabila menyertai pertandingan GV musim terkini tanpa memaklumkan perkara berkenaan kepada mereka.

Kumpulan yang ditubuhkan sejak 1999 itu turut dianggotai Mohd Nur Asraf Baharuddin (Asraf) dan Muhammad Afifi Nor Mohammad (Afifi).

Bersama-sama Kristal, Lan popular dengan lagu seperti Delaila, Resam Pak Belalang, Seragam Hitam, Keindahan Pantai dan banyak lagi.

Lihat Komen
ADS