Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ada orang 'cemburu' Adi Putra dapat mengundi
Diterbitkan:  Apr 30, 2018 5:06 PM
Dikemaskini: May 1, 2018 8:57 AM

PRU14 |  Jika sebelum ini Adi Putra mengumumkan dia bakal menyertai pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei ini, langkah pelakon kelahiran Singapura memuat naik bukti kelayakannya itu mengundang reaksi yang bermacam-macam.

Menggunakan kad pengenalan biru sebagai tanda dia akan mengundi langkah Adi Putra itu turut disambut dengan kecaman atau sindiran warga maya.

Ada antara mereka mengeluh kerana Adi Putra, 37, berpeluang menjadi pengundi walaupun baru mendapat kewarganegaraan sedangkan ada individu lain gagal walaupun memang menjadi rakyat Malaysia.

“Hak rakyat jati yang lahir di Malaysia sepatutnya mengundi bukan yang baru berapa tahun dapat IC (kad pengenalan) biru terus boleh mengundi.

“Kita lahir kat Malaysia kena tunggu 21 tahun baru boleh mengundi... yang amat dasyat.

"Patut banyak depa kata Bangla pun mengundi... Ini spesies sama kot,” kata pengguna akaun @muhammadsaufi199

Bagi segelintir warga maya yang lain, mereka tidak berpuas hati kerana pelakon filem Anak Halal itu secara terbuka dan bangga menyatakan sokongan penuhnya buat BN.

Untuk rekod, semua rakyat Malaysia berhak mengundi dengan syarat berusia sekurang-kurangnya 21 tahun dan mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mahu pilih warna biru

Sesetengah kumpulan pendesak menuntut kerajaan melaksanakan sistem pendaftaran automatik bagi membolehkan lebih ramai orang mengundi apabila pilihan raya diadakan.

Bagaimanapun undang-undang yang sudah dilaksanakan di kebanyakan negara demokrasi itu belum dikuatkuasakan di Malaysia.

Setiap kali ada pilihan raya, SPR sentiasa menggalakkan pemilih berdaftar untuk keluar beramai-ramai mengundi. Di sebalik gesaan itu juga SPR menetapkan PRU ke-14 diadakan pada pertengahan minggu, iaitu hari Rabu.

Kerajaan kemudian mengumumkan tarikh 9 Mei sebagai cuti umum selepas mendapat kecaman daripada orang ramai.

Menurut Adi Putra, dia mengambil tindakan berkongsi dengan umum mengenai status kerakyatannya bagi meredakan tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya.

“Ramai mempersoalkan kerakyatan saya.

"Memang benar saya lahir di Singapura, berkecimpung dunia perfileman di Malaysia, berniaga syarikat pengurusan umrah dan haji di Malaysia, isteri Datin Hajah @adyaidayusof kelahiran Malaysia, anak-anak warga Malaysia, saya menjadi warga Malaysia dah lama tapi dah tiba masa saya umumkan status warga saya ialah Malaysia,” katanya yang mempunyai nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim.

Bagaimanapun, perkongsian itu kemudian dipadam.

Pengguna alam maya membanjiri ruangan komen akauan Instagram Adi Putra dengan isu politik ekoran selepas perkongsian lain dimuat naik memaparkan anak bongsu daripada tiga beradik itu memakai baju berwarna biru tua.

“Apa yang tertulis tadi diketepikan dahulu, yang penting sekarang tinggal 10 hari untuk mengundi, tidak kira parti mana, warna apa, sokong ataupun tidak, suka atau tak suka, itu hak masing-masing.

“Mahupun saya dibenci, saya terima, asal Allah tidak membenci saya.

"Sekurang- kurangnya semua (stesen minyak) Petronas di Malaysia sediakan surau untuk solat sekiranya terlambat ke masjid, surau dan rumah. Janji dapat solat (dari mana datangnya surau Petronas sehingga kini).

“Akhir kata, saya pilih biru seumpama ombak, dan dunia diselubungi air. Pemimpin yang cekap membawa kapal layar, kapal tak akan karam bila dipukul ombak,” katanya yang tidak kisah sekiranya menerima komen negatif dengan kenyataan dibuatnya itu.

“Allahku Satu, jadi aku taat pada yang satu. Pilihlah mana terbaik mengikut akal tapi bukan nafsu,” katanya lagi.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan nama Adi turut menjadi pertikaian apabila diangkat sebagai watak utama kepada filem epik berkisahkan pahlawan Mat Kilau.

Ini kerana Adi sudah diketahui memang berasal dari negara jiran, Singapura dan diberi tanggungjawab menggalas watak tokoh tempatan.

“Saya sudah jadi rakyat Malaysia dan pemegang kad pengenalan berwarna biru.”

Lihat Komen
ADS