Paling Popular
Terkini

Pemilihan Datuk Adi Putra untuk mendukung watak utama filem Mat Kilau menjadi pertikaian memandangkan tokoh pahlawan itu berasal dari Pahang sedangkan aktor tersebut diketahui umum dilahirkan di Singapura.

Bagaimanapun, menjawab kepada persoalan itu Adi menjelaskan tidak salah sekiranya watak itu diberikan kepadanya kerana dia sudah menjadi warganegara Malaysia.

“Saya sudah jadi rakyat Malaysia dan pemegang kad pengenalan berwarna biru,” katanya pada sidang media pelancaran Mat Kilau di Kompleks Studio Merdeka, Finas, Hulu Klang kelmarin.

Mengukuhkan kenyataan itu, pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim, 37, berkata dia juga sudah bersiap-sedia untuk mengundi barisan kepimpinan Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

“Saya layak mengundi untuk pilihan raya kali ini,” katanya.

Untuk makluman, Adi berkahwin dengan isteri Zuhaidah Yusof atau Aida Yusof, seorang warga tempatan pada 2006.

Mat Kilau filem yang mendapat arahan Syamsul Yusof itu dijangka memulakan penggambaran pertama pada 1 April ini di sekitar Pahang, Perak dan Kuala Lumpur.

Ia diterbitkan Studio Kembara Sdn Bhd dan mendapat kerjasama daripada Skop Production Sdn Bhd.

Filem berlatarbelakangkan tahun 1890-an itu berkisahkan Mat Kilau dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang penjajahan di Pahang selepas British mencampuri urusan tadbir negeri dan mengaut hasil bumi negeri itu.

Menguatkan lagi semangat pejuang itu untuk membela nasib penduduk setempat adalah apabila keluarga, saudara dan sahabatnya turut dibunuh askar-askar upahan British.

Adi layak pegang watak

Sementara itu, Syamsul pula berkata sebagai pengarah dia sememangnya menumpukan usaha yang berlipat ganda demi memperoleh setiap hasil yang memuaskan.

Justeru, selama berkecimpung dalam industri dia boleh menilai sebanyak mana kekurangan dan keupayaan bakat yang dipamerkan seseorang pelakon.

Pendek kata, dia yakin Adi seorang aktor yang mampu menjayakan setiap peranan diberikan kepadanya.

“Saya sudah bekerja dengan ramai pelakon hebat-hebat dan bagi saya Adi layak memegang watak itu.

“Dia mempunyai ciri-ciri seorang yang baik selain hebat kerana mampu berlakon dengan penuh emosi dan sepenuh jiwa,” katanya.

Filem yang menelan kos RM5 juta dan mendapat geran bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebanyak RM1.5 juta itu akan menggunakan sebanyak 20 peratus teknik kesan khas dalam penggambaran.

Selain Adi, Mat Kilau akan turut dijayakan pelakon seperti Beto Kusyairi, Johan As’ari, Fattah Amin, A Galak, Wan Hanafi Su, Farid Amirul dan pelakon antarabangsa dari Indonesia Yayan Ruhiyan.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS