Seni & Hiburan Malaysiakini

Dua otai ragui motif usul wujud pelan induk seni hiburan

Al-Abror Mohd Yusuf  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Rancangan pihak tertentu yang mendakwa mahu merangka pelan induk (grand design) khusus untuk dunia seni perlu ditangani dengan betul oleh kerajaan, kata dua seniman kanan negara.

Ditemui Malaysiakini Ito Mohd dan Nasir Jani sepakat mengaku ragu-ragu dengan pihak yang kelihatan cuba mengambil kesempatan menonjolkan diri ketika negara ditadbir oleh kerajaan baru selepas 9 Mei lalu.

Malah kata mereka ada kemungkinan pihak yang menggerakkan inisiatif merangka pelan induk seni negara itu sebenarnya mahu menjaga kepentingan masing-masing selepas berpaut kepada BN sebelum ini.

Kata Nasir untuk menyediakan sebuah pelan induk seni pihak yang berkepentingan secara langsung mesti dilibatkan.

"Dan mereka adalah orang yang diketahui betul-betul pejuang seni dalam bidang masing-masing, bukan individu yang mahu mengambil kesempatan," katanya.

Menyokong pandangan itu Ito memberitahu ada beberapa tokoh yang mesti dilibatkan dalam perancangan berkenaan, seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, aktivis Hishamuddin Rais dan penggiat seni teater Dinsman.

"Biar orang yang ada kredibiliti memikirkan pelan bagi merangka grand design berkenaan," katanya.

Pada masa sama Nasir yang dikenali sebagai pengarah dan Ito penyanyi itu menafikan mereka membantah cadangan mewujudkan pelan induk tersebut didorong oleh perasaan cemburu.

Kata Nasir, tidak ada sebab untuknya berasa cemburu malah sedia memberi sokongan jika cadangan itu dilaksanakan dengan betul.

Demi penggiat seni

Pada 15 Mei lalu sekumpulan penyanyi, pelakon dan pengarah berkumpul di Kuala Lumpur untuk membincangkan cadangan mewujudkan sebuah pelan induk seni negara bagi menangani isu membabitkan seni di negara ini.

Antara lain ia menjadi usaha pihak yang berkenaan menangani ketirisan yang sering berlaku.

Pengerusi Himpunan Harapan Warga Seni Datuk Seri Zaienal Abidin Omar berkata sejak dulu penggiat seni mempunyai terlalu banyak kementerian yang menjaga industri berkenaan sehingga menyukarkan keadaan.

Turut menjadi kekangan ialah pita merah (red tape) kerajaan.

“Diharap dengan penubuhan agensi ini dasar-dasar baru dapat dirangka seterusnya diiktiraf kerajaan dan dilaksanakan demi kepentingan penggiat seni,” katanya.

Bagaimanapun sesetengah pihak mencurigai himpunan tersebut kerana ia dibuat ketika kabinet Malaysia belum dibentuk sepenuhnya.

Ia juga dilihat mempunyai motif tertentu kerana kerajaan yang mendapat mandat kali ini ialah gabungan pembangkang sebelum 9 Mei 2018.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mengetepikan BN buat kali pertama dalam sejarah untuk menjadi kerajaan.

HARAPAN melibatkan kerjasama parti PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU.

Sebahagian daripada peserta dan penyokong himpunan di Kuala Lumpur itu pula dikenali sebagai anggota atau pengikut Umno.


Baca Adakah parti politik lupa pada artis, tanya Ito


Nasir dan Ito turut hadir pada himpunan tersebut, namun meninggalkan majlis sejurus selepas ia bermula. Alasannya - mereka tidak yakin apa yang dilakukan itu benar-benar memberi faedah kepada anak seni.

Kata Ito dia dan Nasir menegur bukan untuk mendapat faedah peribadi, malah sedia berkongsi pandangan untuk memajukan seni negara serta membela nasib penggiatnya.

"Kami sentiasa terbuka untuk berbincang dan berkongsi idea, cuma apa yang ingin dilakukan itu biarkan meyakinkan, tidak kelihatan menyembunyikan agenda tertentu dan ikhlas," kata Ito.