Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kemelut mangsa dan pemangsa dalam One Two Jaga

ULASAN FILEM |  Sabtu lepas, Fikri hendak belanja saya menonton wayang. Dia datang dengan Rahimi dan Abang Kus untuk mengambil saya di rumah.

Masuk saja ke kereta saya berkata: “Tengok One Two Jaga la. Cerita lain yang kita nak tonton tu banyak loophole dan plot twist entah apa-apa.”

Rupa-rupanya, Fikri telah menghasut Rahimi dan Abang Kus agar teguhkan iman masing-masing kalau saya mengajak mereka menonton filem lain daripada apa yang mereka sepakati.

Oleh sebab Fikri yang hendak belanja, saya akur. Tapi akhirnya, semua menyesal kerana tidak memilih One Two Jaga. Kata-kata saya betul.

Selepas itu, walaupun cuti panjang saya tiada kesempatan untuk ke pawagam. Ada tetamu di rumah. Melalui media sosial, saya dapat tahu bahawa beberapa buah pawagam mula menghentikan tayangan kerana jumlah penonton yang kurang.

Kalau takdirnya selepas ini Nam Ron benar-benar bikin filem “lucah” oleh sebab kurang sambutan terhadap filemnya, salah seorang yang patut dipersalahkan ialah Fikri.

Apabila saya ada waktu senggang untuk ke pawagam, sebuah pawagam di 'kota basah' telah pun menghentikan tayangan. Mujur ada sebuah lagi pawagam yang masih menyediakan satu slot tayangan untuk One Two Jaga.

Di pawagam pada malam itu ada 17 orang yang menonton. Bilangan itu pada perkiraan saya, banyaklah, kerana saya pernah menonton filem Malaysia dengan bilangan yang lebih kurang daripada jumlah tersebut di 'kota basah' ini.

Seni yang menjadi

Redha misalnya saya tonton sambil berkongsi pawagam dengan enam orang lain, manakala Interchange dua orang, Pulang empat orang dan Bisik Pada Langit juga empat orang.

Sebelum menonton One Two Jaga, saya terlebih dahulu membaca novel adaptasi daripada filem tersebut (tulisan Sahidzan Salleh, terbitan Fixi). Oleh itu, jalan cerita filem ini telah saya ketahui lebih awal.

Namun demikian, filem bagi saya bukanlah sekadar cerita. Lebih daripada itu ia adalah tentang bagaimana adunan cerita tersebut dihidangkan kepada penonton.

Apa yang saya temukan dalam One Two Jaga membanggakan dan berbeza daripada filem-filem Malaysia sedia ada. Ini filem seni yang menjadi, tetapi pada masa sama bukanlah sebuah filem berat. Isi ceritanya mudah hadam – tentang imigran dan rasuah.

Filem ini telah dikraf dengan jalinan yang indah sekali. Lakonannya bertaraf dunia. Penataan ruang lakon, muzik latar, dan kesan bunyi diadun agar bersebati dengan jalan cerita.

Setiap adegan dalam filem ini bermakna – tiada adegan yang membazir dari mula hingga akhir.

Kalau diibaratkan dengan hidangan nasi lemak, One Two Jaga ialah nasi lemak yang enak berlemak. Nasi, sambal, ikan bilis, kacang goreng, dan timunnya bukan saja sesedap rasa malah tidak berlebih-lebihan.

One Two Jaga menjadi hidangan yang memuaskan hati untuk semua rakyat Malaysia yang cinta akan negara ini. Buat semua orang yang benci akan rasuah dan salah guna kuasa.

One Two Jaga dibintangi para pelakon yang berwibawa. Zahiril Adzim sebagai Hussein, Chew Kin Wah (James), Nam Ron (Dato') dan Bront Palarae (pegawai polis).

Amerul Affendi pula sering mendapat pujian di media cetak dan media sosial, selain pernah menjadi Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi Terbaik Dari Langit. Lakonan mantapnya sebagai Adi dalam One Two Jaga memang tidak perlu disangsikan.

Datang rasa simpati

Semua pelakon - tanpa mengira besar atau kecil peranannya dalam One Two Jaga - memerankan watak masing-masing dengan berkesan. Dari watak kameo Ho Yuhang sebagai penghidang ketam hingga watak Hussein - anggota polis berhati lurus yang teraniaya - semuanya memberikan lakonan yang bernyawa terhadap filem ini.

Saya sejak dahulu kagum akan lakonan Vanidah Imran. Dalam One Two Jaga dia menjadi Rozita, isteri kepada Hassan. Juga Azman Hassan yang memerankan watak Pak Sarip.

Nama Vanidah memang dikenali ramai semenjak muncul dalam filem Putera pada 1994.

Namun begitu, lakonan Azman jarang diperkatakan massa. Sedangkan Azman kerap membawakan pelbagai watak tanpa gagal dalam setiap drama yang dibintanginya.

Saya mula mengenali Azman melalui filem pendek arahan Azharr Ruddin dalam The Amber Sexalogy. Semenjak itu saya mengaguminya.

Sepanjang filem ini, watak-watak dalam One Two Jaga telah menjadi mangsa atau pemangsa. Polis-polis jahat menjadi pemangsa kepada para imigran, peniaga, pemandu lori dan tauke besar. Lebih besar pangkat, lebih besar habuan yang diperoleh daripada mangsa.

Untuk sesetengah watak, penonton berasa simpati dengan watak-watak tersebut walaupun mereka melakukan perbuatan jahat yang melanggar undang-undang.

Hassan (Rosdeen Suboh) dan Hussein misalnya terperangkap dalam satu sistem bobrok yang wujud di luar kawalan mereka. Dalam situasi tersebut, Hassan menjadi pemangsa selain dirinya turut menjadi mangsa. Hassan menjadi mangsa keadaan kerana bekerja dengan pegawai atasan yang korup.

Hassan juga menjadikan imigran sebagai mangsa untuk mendapatkan wang. Begitupun, kerja songsangnya terhalang dengan kehadiran rakan sekerjanya yang baru, iaitu Hussein.

Hussein pula yang mencuba untuk bertindak lurus menjadi mangsa keadaan. Kerja polis yang baru dijawatnya bukanlah mudah. Ia bukan sekadar menyiasat dan menangkap penjenayah. Dia berhadapan dengan situasi sebenar yang sukar, iaitu mendepani rasuah.

Marzuki (Iedil Putra) dan Rico (Timothy Castillo) turut menjadi mangsa keadaan. Tindakan Rico menggunakan wang perlindungan yang perlu diberikan kepada James meletakkan dirinya dan Marzuki dalam situasi sukar apabila perbuatannya diketahui oleh James dan Zul (Along Eyzendy).

Kemelut yang menimpa Sumiyati (Asmara Abigail) sebagai seorang lagi mangsa pula bermula apabila dia melarikan diri daripada rumah majikannya. Abangnya, Sugiman (Ario Bayu) cuba mendapatkan bantuan Pak Sarip untuk membawanya pulang ke Indonesia. Namun begitu, rancangan mereka tidak semudah yang disangkakan.

Joko (Izuan Fitri) menjadi mangsa harapan ayahnya, Sugiman, yang menyangka bahawa kehidupan anaknya akan lebih baik jika tinggal di Malaysia. Sedangkan nasib anaknya itu tidak menentu dan terbiar. Hubungan rapatnya dengan Adi pula telah menempatkan Joko sebagai mangsa keadaan.

Anak Hassan, Afiq pula menjadi mangsa cercaan rakan-rakannya yang memandang rendah terhadap tugas anggota polis. Hal ini menyebabkan Afiq bergaduh dengan rakan-rakannya itu sehingga mukanya lebam kerana ditumbuk.

Rozita menjadi mangsa risiko bersuamikan seorang anggota polis yang terdedah pada ancaman bahaya. Tanpa disedari pula, Rozita menjadi pemangsa kepada suaminya untuk memenuhi kehendak keluarga mereka.

Mencuri kerana lapar

Dalam keadaan ini, Hassan sekali lagi menjadi mangsa akibat sikapnya yang suka berjanji. Untuk memenuhi keperluan keluarga isterinya itu, Hassan perlu menjadi pemangsa yang mencari mangsa.

Adi - anak lelaki Pak Sarip - pula perlu bertindak berani agar dia tidak terus menjadi mangsa penindasan polis-polis jahat yang senantiasa dahaga akan habuan wang ringgit.

Dia tidak mahu menjadi seperti bapanya, Pak Sarip yang menjadi mangsa polis demi memudahkan urusannya.

Seperti Hassan, Pak Sarip ialah mangsa yang turut menjadi pemangsa, iaitu mendapat habuan wang apabila ada imigran yang memerlukan pertolongannya. Ini menjadikan gejala rasuah dalam One Two Jaga bagai rantaian makanan.

Mangsa lazimnya golongan yang lemah dan bergelut dalam menempuh kehidupan yang mencabar. Peniaga (Sabri Yunus) menjadi mangsa kepada Hassan agar perniagaannya tidak diganggu.

Dalam satu adegan di balai polis kita mendengar mangsa tangkapan yang menjeritkan bahawa dia mencuri kerana anaknya lapar.

Banyak adegan yang menarik dalam One Two Jaga, namun yang paling ingin saya tonton semasa membaca novelnya ialah adegan makan ketam.

Cara James (seorang lagi pemangsa) menyatakan maksud yang hendak disampaikan kepada Hassan dan Hussein amat berkias sekali. Analogi ketam dalam adegan di meja makan ini bagi saya berjaya dan menarik.

“Mula-mula memang payah sebab tak biasa. Makan pun rasa tak sedap. Tapi kalau dah biasa nanti, boleh ketagih. Tapi ingat kalau dah ketagih. Kena pandai jaga diri. Jangan makan lebih-lebih. Sampai ketam meja lain pun kau nak makan juga,” kata James memberikan “tuisyen” kepada Hussein.

Cuba tebus dosa

Dalam adegan permulaan sewaktu Sugiman membawa Sumiyarti bertemu dengan Pak Sarip, terpapar notis dengan tulisan DILARANG MEMBUANG SAMPAH MERATA-RATA. Ironinya dalam waktu yang sama Adi baru saja meletakkan mayat seorang pendatang Myanmar yang jatuh dari tapak binaan ke dalam trak untuk dibuang (dibakar).

Dalam adegan lain di tandas semasa makan ketam, kita dapat lihat dengan ketara dua karakter pemangsa yang berbeza.

James, pemangsa yang rakus dan tidak berhati perut telah menarik beberapa helai tisu dengan kasar. Hassan pula, pemangsa yang masih punya sikap timbang rasa hanya menarik sehelai tisu dengan cermat. Adegan ini bagi saya berjaya menggambarkan perbezaan sikap kedua-dua watak tersebut.

Nama Hotel Merdeka tempat Marzuki, Rico, dan Sumiyati berlindung pula kontradik dengan nasib yang menimpa mereka. Ketiga-tiga mereka tidak merdeka kerana hidup dalam buruan dan sedang mencari jalan untuk memerdekakan diri.


Baca Nam Ron merajuk sampai nak 'buat' filem lucah


Muzik dan lagu yang melatari filem ini juga menarik. Muzik dan lagu bukan sekadar tempelan tetapi menyatu dalam cerita. Lagu Prindu (Laila’s Lounge) di pengakhiran cerita bagai menjadi penyimpul kesudahan kisah mangsa dan pemangsa dibantu dengan kapsyen yang dipaparkan.

Lagu Tanah Tumpah Darah (Dish) dalam kredit penutupan juga mengesankan. Lagu-lagu lain, Prindu II (Megat Fadzly), Tembak Tepat (Kenaikan) (Iqbal M) dan Kami Yang Disyaki (The Suspect) juga menarik.

Sebagai sebuah karya, filem arahan Nam Ron ini telah pun menjalankan peranannya untuk menyentuh persoalan sosial yang berlaku di negara ini.

Tiada pihak yang sepatutnya tersinggung dengan One Two Jaga dan wajar menerimanya dengan berlapang dada. Yang dikritik dalam filem ini ialah pegawai yang melanggar norma perkhidmatan tanpa menafikan ada pegawai yang menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang.

Ketika ulasan ini ditulis, Abang Kus dan Rahimi telah menonton One Two Jaga di pawagam dan menjatuhkan hukum bahawa filem ini wajib tonton. Moga Fikri turut sempat berbuat demikian agar dosanya tidak menonton One Two Jaga tempoh hari tertebus.


RIMANILZAH ialah pendidik dari kota basah di utara semenanjung yang tidak suka berkongsi makan ketam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS