Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nam Ron merajuk sampai nak 'buat' filem lucah
Diterbitkan:  Sep 6, 2018 2:08 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Pelakon dan pengarah Nam Ron mengakui terpedaya dengan janji manis dunia perfileman, justeru 'berazam' mahu mencuba nasib dalam industri filem lucah.

Kenyataan sinis itu diluahkan selepas sambutan terhadap filemnya One Two Jaga hambar, walaupun dipuji melambung di media sosial.

“Kalau belek di sosial media banyak yang cakap sokong, dah lama tunggu, filem wajib tonton dan macam-macam lagi, tapi di panggung kosong tak ada orang.

“Baru I (saya) sedar I terpedaya dengan kata-kata manis.

“Tak apa, lepas ini I buat filem porno pula, mungkin itu yang rakyat Malaysia mahu,” ciapnya di Twitter.

Filem yang mendedahkan sisi buruk sesetengah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu masuk ke pawagam tempatan bermula hari ini.

Ia menonjolkan kisah beberapa anggota polis yang terbabit dalam gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Terdahulu, penerbit dan pelakon filem berkenaan, Bront Palarae berkata, karya berkenaan dihasilkan bukan bertujuan menjatuhkan imej PDRM, sebaliknya memberi kesedaran kepada umum tentang realiti didepani segelintir masyarakat.

Selain Bront, One Two Jaga turut dijayakan pelakon seperti Zahiril Adzim, Rosdeen, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah, Asmara Abigail, Ario Bayu dan Timothy Castillo.

Sementara itu, Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, berkata hasratnya menghasilkan filem yang diinspirasikan daripada realiti masyarakat bukanlah untuk mengejar populariti.

I buat filem bukan nak pujian di media sosial atau menang anugerah. I buat filem untuk orang ramai datang ke panggung, kerana itu kali ini I buat filem yang mudah untuk dihadam sehingga peringkat sekolah rendah.

“Jika I dah sanggup buat filem ringan bukan filem berat semata-mata nak kongsi cerita I tapi orang ramai masih tak terpanggil ke panggung I tak tahu apa lagi yang orang ramai mahu dari I. Mungkin filem porno atau blue film yang mereka harapkan dari I,” jelasnya.

Ciapan Nam Ron itu mengundang pelbagai reaksi netizen, namun kebanyakan mereka memberikan kata-kata semangat selain memintanya memperbanyakkan bersabar kerana One Two Jaga baru saja memulakan tayangannya hari ini.

“Hujung minggu ni saya pergi tengok,” ciap pengguna akaun @fikrikasman.

“Sat bang. Saya dah beli ni. Malam lepas balik pejabat saya pergi wayang,” kata seorang lagi pengguna akaun @rimalurfahz.

Lihat Komen
ADS