Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kementerian digesa pertimbang semula 'pemecatan' bos ITBM
Diterbitkan:  Oct 17, 2018 4:51 PM
Dikemaskini: 3:43 PM

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) berharap Kementerian Kewangan mempertimbangkan semula keputusannya tidak menyambung kontrak Mohd Khair Ngadiron sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Presiden PENA Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata Mohd Khair masih diperlukan kerana pemikirannya yang jauh ke depan hingga berjaya melonjakkan aras penerbitan badan itu.

“Kembalikan beliau ke tempatnya. Kekalkan ITBM. Kekalkan Encik Mohd Khair Ngadiron,” katanya.

Malaysiakini difahamkan Mohd Khair yang juga pengarah urusan ITBM bermula 15 November 2007 tamat kontrak perkhidmatannya pada minggu ini.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Saleeh berkata beliau sudah lama sebak dengan perkembangan itu.

Katanya, bekas timbalan dekan, Jabatan Kemasukan & Rekod, Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu sentiasa dikenang sebagai individu bertanggungjawab memperkenalkan sastera Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Kata beliau, tanpa dukungan dan kepintaran anak peneroka Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor, itu, ITBM tidak berada pada tahapnya sekarang.

“Jika sebelum ini Malaysia seperti tidak kelihatan di mata penerbit antarabangsa kini ITBM telah mengubah persepsi itu selepas penyertaannya dalam Pesta Buku Frankfurt, Indonesia, Tokyo, Beijing, Bologna, dan Riyadh.

“Bukan itu sahaja, malahan banyak negara berminat menjalin kerjasama dengan ITBM seperti Taiwan,Venezuela, India, dan Thailand,” katanya.

Saleeh (atas) juga berkata, golongan penulis akan sentiasa mengenang jasa Mohd Khair sepanjang beliau menyandang jawatan itu selepas ketiadaannya.

“Kami sangat berharap agar ITBM dikekalkan dengan statusnya dan diberi bantuan yang wajar kerana kewujudannya bawah Encik Mohd Khair benar-benar mengubah landskap persuratan negara," katanya.

Namun, sekiranya tidak lagi menggalas jawatan sebagai pegawai kanan di ITBM lagi, Saleeh berharap Khair diberi tugas lebih tinggi dalam memajukan persuratan dan kesenian negara.

“Mutiara yang bersinar ini tidak wajar disimpan begitu saja,” katanya lagi.

PENA banyak terlibat dalam program sastera dan budaya bersama ITBM.

Sebelum ini terdapat spekulasi berkaitan nasib ITBM setelah syarikat kerajaan itu tidak menjana keuntungan.

Bagaimanapun kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah melegakan pendukung institusi itu.

Lihat Komen
ADS