Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Simbolik putih tekad baru Arja Lee mahu jadi pensyarah

Lebih daripada 300 imej putih dimuat naik di Instagram menjadi simbolik buat pelakon Arja Lee sebagai persiapan membuka lembaran baru dalam kamus hidupnya sebelum bergelar seorang pensyarah suatu hari nanti.

Dengan azam yang baru itu juga, Arja bertekad untuk tidak lagi terus “hanyut” atau mengulang sebarang kontroversi seperti yang pernah dikaitkan dengan namanya sebelum ini.

Kata Arja, untuk bergelar warga pendidik, dia perlu sentiasa menjaga imej dan etika bagi membolehkan dia menjadi suri teladan yang baik kepada pelajar-pelajarnya.

“Sekarang saya menyambung pengajian di peringkat sarjana dan seterusnya bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah, itu sebab kena jaga imej daripada setiap segi.

“Saya tidak mahu terus hanyut dan simboliknya putih adalah suci,” katanya.

Arja menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang teater pengkhususan mengenai muzikal di Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tiga bulan lalu.

Pemilik nama sebenar Azharudin Ramli itu ditemui pada sidang media pelancaran program Hidangan Laluan Sutera di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Arja, 35, pernah menerima kecaman hebat dua tahun lalu selepas dia memuat naik klip rakaman video membayangkan dirinya seperti pemain bola sepak terkemuka Christiano Ronaldo yang sedang membuat tendangan.

Melalui video berkenaan, Arja yang juga seorang penyanyi memakai kemeja T berwarna merah jambu dan berseluar dalam putih. 

“Tidak sesuai untuk seorang pelajar sarjana seperti saya memuat naik imej tidak berbaju sambil bermain bola,” katanya.

Nama Arja sememangnya ‘panas’ sejak 2010 apabila dia berani tampil berbogel bagi menjayakan satu adegan dalam filem berjudul Dalam Botol diarahkan Khir Rahman.

Selain 300 imej berlatar putih dimuat naik sejak minggu lalu, pelakon drama Misiku Kuza itu turut melakukan beberapa siri perubahan fizikal iaitu membotakkan bahagian kepalanya.

Bagaimanapun, kata Arja, dia mempunyai alasan berbuat demikian namun ia tidak bermaksud dia sedang menderita tekanan jiwa atau kurang mendapat tawaran kerja.

“Tiada isu psycho atau sakit jiwa atau pun Instagram digodam, ini sebagai salah satu cara untuk menunjukkan saya masih sihat dan alhamdulillah tawaran kerja juga tiada masalah.

“Saya cuma mahu lupakan perkara yang pernah terjadi. Industri sekarang macam-macam,” katanya

 

Lihat Komen
ADS