Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis Evo 2 dapat 'lampu hijau' Mufti Wilayah
Diterbitkan:  Nov 19, 2018 11:34 PM
Dikemaskini: 3:34 PM

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyifatkan filem Polis Evo 2 yang hangat diperkatakan tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan kepada Islam.

Sebaliknya, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew itu lebih mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang "memberi ancaman kepada negara".

"Pun begitu, kami mencadangkan supaya dilantik konsultan syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama.

"Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem.

"Kami juga mencadangkan kepada produksi agar meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada adendum berkenaan kesamaran dalam jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang mungkin terdedah kepada salah faham terhadap agama," kata kenyataan yang dimuatkan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.

Sebelum ini, Polis Evo 2 mencetuskan rasa kurang senang sesetengah pihak termasuk pemimpin politik PAS dan mufti Perlis.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor menyifatkan watak penjahat berserban yang dipaparkan dalam filem berkenaan boleh menjejaskan imej Islam.

Sementara Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berkongsi kebimbangan selepas menonton trailer filem berkenaan, mendapati ia memberikan mesej yang "kurang baik" tentang imej umat Islam.

Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menganggap Polis Evo 2 cuba membangkitkan naratif jihad yang sebenar melawan psuedo-jihad.

"Watak antagonis seperti Hafsyam (Hasnul Rahmat) tidaklah menampakkan beliau sebagai seorang pengganas atas nama Islam secara mutlak kerana tidak ada dialog atau babak yang klise dalam menggambarkan teroris atas nama agama seperti bertakbir dan menggunakan apa-apa ayat al-Quran atau hadis," kata kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS