Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert Dewa 19 Reunion di Malaysia jadi tanda tanya
Diterbitkan:  Nov 27, 2018 11:58 PM
Dikemaskini: 3:58 PM

Nasib konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia menjadi taruhan apabila vokalis Ahmad Dhani bakal dihukum dua tahun penjara sekiranya didapati bersalah menyebarkan kata-kata kebencian di media sosial.

Dalam pertuduhan dibacakan di Mahkamah Jakarta semalam, pihak pendakwa meminta hakim menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan dilakukannya itu.

Dewa 19 Reunion Live in Malaysia bakal menampilkan Ahmad Dhani bersama dua lagi vokalis sekaligus - yang kini tidak lagi bersama band itu - iaitu Once dan Ari Lasso.

Penampilan ketiga-tiga vokalis yang pernah mewarnai Dewa 19 sejak band itu ditubuhkan dijadual berlangsung pada 2 Feb depan di Stadium Melawati di Shah Alam. 

Ahmad Dhani didakwa melakukan tiga kesalahan yang dimuat naik melalui akaun Twitter yang dikendalikan, Suryopratomo Bimo alias Bimo pada Feb dan Mac 2017.

Walaupun tidak merujuk kepada mana-mana individu, namun salah satu ciapan itu yang memetik "penista agama" dipercayai ditujukan kepada bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok menjelang pemilihan ketua daerah Jakarta tahun lalu.

Ketua Hakim, Ratmoho kemudian meminta Ahmad Dhani dan wakilnya untuk memfailkan hujah balas.

Peguam Ahmad Dhani telah mengemukakan hujah balas kepada hakim dan perbicaraan akan disebut semula 10 Dis ini.

"Dua minggu yang mulia untuk hujah balas," kata peguam Dhani, Hendarsam Marantoko seperti dipetik Tribunnews.

Ahmad Dhani, 46, menyifatkan hukuman dikenakan ke atas dirinya tidak wajar memandangkan pendakwa tidak menyebut secara terperinci golongan mana yang menjadi sasaran hebahan kebencian yang dibuatnya.

“Pendakwa tidak menyebut kepada saya kenyataan kebencian itu kepada siapa, orang Cina kah, Arab kah, agama Islam kah, tidak ada,” katanya.

Ahmad Dhani juga menyifatkan hukuman tersebut mempunyai kaitan dengan unsur-unsur balas dendam, agar dia menerima nasib seperti Ahok yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyebarkan kata-kata benci.

Sementara itu, usaha Malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak penganjur berhubung isu berkenaan gagal kerana mereka masih belum bersedia untuk mengeluarkan kenyataan buat masa ini.

Lihat Komen
ADS