Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ari Lasso, Once dan Ahmad Dhani bakal beraksi sepentas
Diterbitkan:  Nov 2, 2018 1:28 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Berita baik buat semua Baladewa atau Baladewi - itu nama yang digunakan buat pengagum band Dewa 19 - apabila kumpulan muzik itu akan hadir dalam konsert istimewa yang akan diadakan di Shah Alam awal tahun depan.

Menariknya, pada 2 Feb nanti kumpulan berasal dari Indonesia itu bukan sekadar tampil membawa lagu-lagu kegemaran peminat mereka.

Melalui konsert Dewa 19 Reunion Live In Malaysia itu Ari Lasso dan Once - yang kini tidak lagi bersama band tersebut - akan ditampilkan sekali gus.

Seorang lagi vokalis yang akan bersama-sama menghiburkan peminat mereka ialah pengasas Dewa 19 itu sendiri - Ahmad Dhani.

Ketiga-tiga nama itu ialah penyanyi yang mewarnai persembahan Dewa 19 sejak ia ditubuhkan pada 1986.

Dewa 19 juga menjanjikan gabungan Ari Lasso, Once dan Ahmad Dhani bakal meninggalkan kesan pengalaman paling tidak dilupakan sejak kali terakhir kumpulan itu menjejakkan kaki ke Malaysia 10 tahun lalu.

Kata Ahmad Dhani dia memang sudah bersedia untuk bertemu Baladewa dan Baladewi di Malaysia nanti.

“Kami bersedia untuk kembali menghiburkan peminat di Malaysia kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada Baladewa di sini. Sampai ketemu semua!” katanya.

Sementara itu penganjur Nik Iruwan dari Nizra Production berkata, tidak ada yang lebih mengujakan pihaknya selain daripada mendengar jawapan "ya" daripada Ahmad Dhani apabila ditawarkan membuat konsert di Malaysia.

“Dan kami berjaya membawa sekali Ari Lasso bersama Once buat pertama kalinya untuk mereka bergabung di atas satu pentas di Malaysia.

"Konsert ini bakal menempa sejarahnya yang tersendiri,” katanya.

Bersama Once, Dewa 19 - yang sempat memakai nama Dewa - meraih kejayaan luar biasa menerusi beberapa album termasuk Bintang Lima yang diiktiraf sebagai album paling laris pada 2000.

Selain Ahmad Dhani Dewa 19 akan hadir bersama Andra (gitar), Yuke (bass), Agung (dram) dan Tyo Nugros (dram) untuk menggegarkan Stadium Melawati di Shah Alam dengan pelbagai lagu mereka seperti Elang, Larut, Cemburu, Pupus, Mistikus Cinta dan Sedang Ingin Bercinta.

Penganjur juga menyediakan diskaun 10 peratus untuk belian awal tiket mulai 10 pagi 7 hingga 9 Nov ini.

Maklumat pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman web www.ticketcharge.com.my lawati laman sosial rasmi konsert atau boleh hubungi Info Hotline di 0172792118 untuk keterangan lanjut.

Lihat Komen
ADS