Biarpun berkali-kali menafikan lagu Di Matamu mempunyai kaitan dengan kisah peribadinya, Sufian Suhaimi terpaksa akur dia sememangnya tidak dapat mencorak kecenderungan pendengar.
Pendengar, kata penyanyi itu, cukup gemar mengaitkan lirik dan kisah dipaparkan dalam Di Matamu itu dengan kegagalan impiannya untuk ke jinjang pelamin.
Justeru, Sufian mengambil positif perkara itu dan tidak menolak kemungkinan memanfaatkannya untuk dipersembahkan kepada juri semasa Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33).
“Pendengar tak boleh buang anggapan tu mereka masih kaitkan juga dengan kisah peribadi.
“Mungkin apa dispekulasikan pendengar sebelum ini boleh dijadikan sebagai idea visual.
“Anggapan mereka mengenai Di Matamu itu mungkin boleh dipersembahan di AJL33,” katanya yang ditemui baru-baru ini di Sri Pentas 2 Shah Alam.
Di Matamu itu dicipta Sufian dengan garapan lirik Sirkhan dan Rinkarnaen. Ia terpilih menjadi satu daripada 12 lagu yang layak ke pentas AJL33 yang dijadual berlangsung pada 3 Februari tahun depan.
Tak boleh dibeli
Sufian, 26, melancarkan video muzik Di Matamu pada 23 Mac lalu - tarikh dia sepatutnya disatukan pelakon, Elfira Loy, namun tidak kesampaian.
Video muzik Di Matamu itu menerima sambutan positif sejurus dimuat naik di YouTube. Semakan Malaysiakini setakat petang tadi mendapai video itu mendapat lebih 45 juta tontonan.
Sambutan itu juga mendorong Sufian mengorak langkah lebih jauh untuk mempromosi Di Matamu 2.0 secara berduet dengan kumpulan dari Indonesia, Shila Band.

Sementara itu Sufian berkata apa yang berlaku dalam hidupnya mempunyai hikmah tersendiri.
“Cerita di sebalik kejadian yang berlaku antara Di Matamu memang tidak boleh dibeli.
“Selepas apa yang berlaku dalam hidup, saya rasa semua terbayar apabila tersenarai layak ke AJL33," katanya.
Secara peribadi kata Sufian dia memang meletakkan harapan tinggi untuk mempersembahkan Di Matamu di pentas AJL33.
"Dan impian tu termakbul akhirnya,” katanya yang berjanji mengikuti kelas vokal secara intensif bagi memberikan persembahan terbaik pada AJL33 nanti.
