Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sufian yakin lebih berjaya dengan 4 cewek Indonesia

Kontroversi yang menghimpit dirinya sebelum ini sedikit pun tidak menghalang penyanyi Sufian Suhaimi untuk mengorak langkah lebih jauh, malah mula membina namanya di Indonesia.

Sufian yang dilamar syarikat gergasi Musica Studios mendedahkan, dia bakal 'terbang' ke Indonesia pada 24 Sept ini untuk menjayakan projek kolaborasi dengan empat cewek yang menggelarkan diri mereka Shima Band.

Bercakap kepada Malaysiakini, Sufian berkata, dia yakin bintangnya akan makin bersinar terang bersama empat wanita berkenaan yang sebelum ini pernah menerbitkan single Berteman Saja.

“Tidak timbul perasaan bimbang berkolaborasi dengan empat wanita dari Shima Band sebab biasanya apabila ada empat wanita dan seorang lelaki, perhatian kemungkinan besar lebih bertumpu pada saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sufian juga yakin peminat cukup matang untuk membuat penilaian mengenai projek berkenaan dan menerima kelebihan masing-masing dengan terbuka.

Ditanya sama ada akan timbul perasaan janggal sekiranya bertentang mata dengan empat anggota Shima Band, penyanyi yang mula dikenali melalui lagu Terakhir itu berkata, dia sedaya upaya akan melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional.

“Walaupun ini adalah kali pertama menjejakkan kaki ke Indonesia, tiga tahun pengalaman sebagai penghibur di negara sendiri sudah cukup untuk menjadikan saya seorang yang bersedia melakukan sesuatu pekerjaan dengan lebih serius.

“Bekerjasama dengan empat wanita pada satu masa bukanlah tugas berat, ia boleh dilakukan dengan penuh bergaya,” katanya berseloroh.

Diintai label besar

Bagaimanapun menurut Sufian pemilihan lagu untuk projek mereka masih belum diputuskan secara muktamad.

Shima Band dianggotai Bimby sebagai vokalis dan pemain gitar, Ayis (bass), Yunita (gitar) dan We (dram).

Selain Terakhir, Sufian memiliki empat single lain iaitu Harus Aku, Terasa Ada, Di Matamu dan sebuah lagu raya, Kasih Lebaran.

Single keempat Sufian, Di Matamu terbitan syarikat rakaman Aries Music dilancarkan di YouTube pada 23 Mac lalu dan mencatat 35 juta tontonan dalam tempoh kurang dari empat bulan.

Kejayaan itu menyebabkan bakat Sufian dirisik Musica Studios yang sebelum ini sudah menaungi nama-nama besar di Indonesia, seperti kumpulan Noah, Geisha, Nidji dan d’Masiv.

Muzik video Di Matamu juga dilancarkan pada tarikh sama sepatutnya Sufian mendirikan rumah tangga pelakon, Elfira Loy.

Mengulas mengenai persediaan timbul persepsi ramai bahawa pihak pengurusan sengaja mencari personaliti wanita lain bagi menutup kontroversi dengan bekas tunangnya itu, Sufian menjawab selamba: “Saya ingin mengembangkan sayap ke Indonesia bukan kerana nak cari jodoh.”

Katanya dia juga mahu cuba bekerja dengan persekitaran baru di Indonesia.

Katanya tujuan utama dia ke negara jiran itu adalah untuk mempromosi muzik Malaysia selain karyanya sendiri.

“Selain itu, saya juga ingin mengintai peluang bekerjasama dengan lebih ramai artis Indonesia,” katanya yang dijangka bakal mengeluarkan single terbaru seawal hujung tahun ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sufian dijangka menghiburkan peminat di Konsert Perpaduan Ambang Hari Malaysia untuk Pesta Harapan anjuran Malaysiakini yang akan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya esok.

Selain Sufian, antara artis lain turut terbabit adalah Estranged, Jaclyn Victor, Soo Wincci, Mad August, Papi Zak, Kavin Jay, S.L.Y Squad, Couple, dan penampilan istimewa Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Lihat Komen
ADS