Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dengan lagu kerohanian Sabyan Gambus pikat Jokowi, Imran Khan

Dengan jumlah tontonan atau suka yang jarang gagal mencecah puluhan ribu - malah sehingga ke tahap jutaan kali - di media sosial, tidak hairan jika populariti Sabyan Gambus turut meledak hingga ke Pakistan.

Peminat kumpulan yang ditubuhkan di Indonesia sejak 2015 itu ternyata bukan dalam kalangan orang biasa-biasa.

Dengan mendendangkan lagu-lagu berunsur kerohanian Sabyan Gambus mudah memberi kesan pada hati orang ramai. Antaranya ialah Perdana Menteri Pakistan Imran Khan.

Vokalis Sabyan Gambus, Khoirunnisa Kamorudin, berkata selawat dialunkan mereka mendapat tempat tersendiri di hati Imran.

“Beliau mengagumi lagu selawat Ya Habibal Qolbi,” katanya ketika ditemui pada majlis bersempena konsert sulung Sabyan Gambus di Kuala Lumpur hari ini.

Konsert berskala besar itu dijadual berlangsung pada 12 Jan depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Pada 8 Dis lalu, Imran memuat naik klip video di Twitter yang memaparkan Khoirunnisa - atau Nissa - menyampaikan Ya Habibal Qolbi sambil diiringi alunan keyboard Ahmad Fairuz (Ayus).

 

“Masya-Allah,” ciap Imran.

Tidak hanya itu, Imran yang terlebih dulu dikenali sebagai pemain kriket hebat berkongsi klip berkenaan sebanyak dua kali di akaun Twitternya, masing-masing dengan tempoh durasi berbeza.

Nissa, 19, berkata, dia sememangnya tidak menyangka single kedua mereka itu berjaya sampai menangkap ke telinga Imran dan seterusnya mendapat pujian beliau.

“Berasa sangat dihargai, terkejut pun ada kerana tidak sangka lagu itu sampai ke sana, justeru Sabyan Gambus berbalas ciapan itu dengan mengucapkan terima kasih,” katanya.

Nissa

Di tanah air sendiri, Sabyan Gambus juga mendapat sokongan penuh daripada Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang mengaku menggemari lagu Deen as-Salam.

Di sebalik menggemari lagu heavy metal, Jokowi juga pernah mendendangkan lagu Deen as-Salam pada acara penutupan Festival Bintang Vokalis Qasidah Gambus Peringkat Nasional XXIII di Jakarta Timur pada 29 Nov lalu.

Mengulas perkara itu, kata Nissa, Jokowi sebenarnya berbangga kerana ada anak muda Indonesia mampu mengharumkan nama negara mereka dengan lagu kerohanian hingga melepasi sempadan negara.

"Mungkin kerana muzik kami yang sederhana itu berjaya menarik perhatian dan diterima umum," katanya.

Selain Nissa dan Ayus, Sabyan Gambus turut dibarisi Sofwan Yusuf (percussion), Kamal (darbuka), Tubagus Syaifulloh (biola) dan Anisa Rahman (penyanyi sokongan).

Kumpulan yang biasa membuat persembahan di majlis perkahwinan itu mula mencuri perhatian pendengar selepas lagu Deen Assalam dimuat naik di YouTube.

Lihat Komen
ADS