Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert nasyid Sabyan Gambus julung kali di Malaysia
Diterbitkan:  Oct 31, 2018 3:09 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Kumpulan nasyid Sabyan Gambus dari Indonesia bakal tampil dengan konsert sulung mereka di Malaysia pada 12 Januari tahun depan bertempat di Stadium Malawati Shah Alam.

Meskipun pertama kali diadakan, penganjur syarikat MHH Laguna Sdn Bhd mengambil langkah berani dengan menampilkan Konsert Sabyan Gambus Live in Malaysia 2019 berskala besar di negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Muhamad Hariz Harun, selaku penganjur, pihaknya mengambil serius bagi menjayakan projek kali ini.

“Ini merupakan konsert pertama berskala besar yang kami anjurkan, sebelum ini kami hanya uruskan acara pentas berskala sederhana.

“Soal pelaburan memang kami mengeluarkan sejumlah modal yang besar dan insya-Allah kami akan bekerja kuat bagi memastikan Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Deen As Salam jadi fenomena 

Sabyan Gambus yang ditubuhkan pada tahun 2015, terdiri daripada enam orang anggota iaitu Khoirunnisa alias Nissa,19 (vokalis), Ahmad Fairuz a Ayus (keyboard), Sofwan Yusuf atau Wawan (perkusi), Kamal (darbuka), Tubagus Syaifulloh alias Tebe (biola), dan Anisa Rahman (suara latar).

Kumpulan itu mula menjadi fenomena di Indonesia dan Malaysia apabila lagu saduran dinyanyikan kembali oleh mereka berjudul Deen As Salam mendapat perhatian di saluran YouTube.

Setakat ini, lagu berkenaan menerima sebanyak 161 juta tontonan dan sentiasa diputar di stesen radio tempatan mahupun di negara asal mereka.

Bukan itu sahaja, lagu lain seperti Ya habibal Qolbi, Rohman Ya Rohman dan Ya Asyiqol turut mendapat ratusan juta jumlah tontonan di laman YouTube.

Pada konsert yang akan berlangsung selama tiga jam itu acara tirai pembukaan akan menampilkan artis nasyid tempatan seperti UNIC, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.

Menurut Muhamad Hariz, antara sebab pihaknya memilih stadium Malawati adalah bagi memastikan penonton selesa dan berpuas hati.

Selain itu katanya, mereka memilih stadium Malawati kerana tempat itu terkenal sebagai lokasi pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

“Saya amat berharap konsert ini nanti mampu memberikan kepuasan kepada semua penonton”, katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli tiket awal, diskaun sebanyak RM100 bagi setiap kategori akan diberikan dan mereka juga berpeluang memenangi cabutan bertuah telefon genggam Iphone XS.

Tiket-tiket boleh dibeli secara online di sini.

Lihat Komen
ADS