Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Di sebalik namanya yang besar dan dikenali ramai Aishah mengaku dia seorang penyanyi yang tidak mudah berpuas hati terutama apabila membabitkan ruang lingkup pekerjaannya untuk menghiburkan orang ramai.

Bagi Aishah, setiap kali menyanyi segala-galanya perlu berada pada tahap sempurna, apatah lagi semasa dia menghasilkan single terkininya, Malar, selepas kira-kira tujuh tahun tidak tampil dengan sebarang lagu baru.

Justeru, apabila merakamkan Malar dia memastikan single itu benar-benar memuaskan hatinya.

Pada masa sama Aishah ada masalah semula jadi, iaitu memiliki vokal yang nyaring.

“Untuk proses penambahbaikan Malar, saya masuk studio sampai tiga atau empat kali.

“Saya mempunyai suara yang agak nyaring, memang kalau dengar, gelas pun boleh pecah,” katanya bergurau.

Aishah ditemui pada majlis pelancaran lagu dan video muzik Malar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perlu masa untuk bersebati

Pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu juga mengaku berdepan pengalaman mendengar suara sendiri yang dianggap begitu membingitkan telinga.

Kata Aishah, 53, pengalaman itu dialami ketika dia bekerjasama dengan komposer Allahyarham Adnan Abu Hassan.

“Semasa asyik merakam lagu ketika itu, sedar-sedar meter pemampat vokal (vocal compressor) tu dah bertukar merah,” katanya.

Kata penyanyi Merenung Bulan dan Tiada Lagi Tangisan itu disebabkan dia sendiri tidak mudah berpuas hati dengan suaranya, dalam banyak keadaan dia tidak memerlukan pendapat kedua untuk menilai vokal tersebut.

“Biasanya tak perlu ada juri profesional untuk menegur suara saya sebab saya memang dah sentiasa kritikal pada suara sendiri,” katanya.

Aishah muncul bersama lagu Malar selepas lama tidak merakam lagu. Kali terakhir Aishah berbuat demikian melalui single Anak pada 2011.


Baca Aishah akui masih aktif politik


Malar lagu bergenre balada hasil ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer terkenal Hazami, dan diterbitkan Cloudworks Entertainment.

Berkongsi lanjut kisah Malar, kata Aishah, pada awal lagu itu sukar diterima oleh orang yang ada dalam lingkungan rapatnya seperti suami dan anaknya.

Malah dia sendiri perlu mengambil sedikit masa untuk sebati dengan Malar.

Justeru, antara cabaran besar perlu didepani bagi menyiapkan Malar ialah 'meng-Aishahkan' lagu Hazami tersebut.

“Memang kena dengar Malar banyak kali baru kita suka pada melodinya. Saya suka begitu, kerana ia satu cabaran buat saya.

“Hanya saya yang kata boleh nyanyikan lagu itu, orang lain semua ragu-ragu,” katanya.

Lihat Komen
ADS