Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aishah akui masih aktif politik
Diterbitkan:  Jan 2, 2018 1:38 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Pemenang Gegar Vaganza musim keempat, Wan Aishah Wan Ariffin, 53 atau Aishah mengakui masih aktif berpolitik meskipun bergelar penyanyi.

Beliau yang terkenal dengan lagu “Janji Manismu” itu berkata beliau sentiasa menghargai peluang yang diberikan untuk berkarya tanpa melibatkan ideologi parti politik, lapor Sinar Harian.

“Saya tak pernah kata keluar daripada politik, saya sangat gembira apabila artis macam saya yang mungkin aktif sebagai aktivis politik diberi peluang dalam kelompok seni dan masih boleh keluar di televisyen.

“Sebenarnya itu perjuangan saya secara individu supaya kita boleh berkarya tanpa melibatkan ideologi,” Aishah berkata demikian dalam wawancara langsung akhbar itu di Facebook semalam.

Jelasnya beliau terasa dihargai kerana dirinya diterima dalam industri berkenaan walaupun mempunyai ideologi yang berbeza.

“Bila kita berada dalam industri muzik, tak kira lah awak sokong siapa, janji siapa yang ada bakat diberi peluang untuk berkarya.

“Itu perkara sangat penting hak kita nak sokong siapa atau bila kita sokong siapa dari itu kita tak dibenarkan untuk berkarya, benda-benda sebegini kalau kita tak perjuangkan nanti Malaysia juga akan rugi kerana bakat-bakat yang ada tidak diberi pendedahan yang sepatutnya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Dalam bidang politik, Aishah pernah dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) mewakili PAS namun tewas di tangan calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Mohd Isa mendapat 31,109 undi manakala Aishah pula 22,495 dan tewas dengan majoriti 8,614 undi.

Tidak lama kemudian penyanyi lagu “Pulanglah” itu menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Aishah ketika ditanya adakah akan dicalonkan menjadi wakil AMANAH pada PRU14 berkata tiada jawapan untuk soalan tersebut.

“Itu soalan cepu emas, saya sendiri pun tak tahu jawapan dia, jadi kita tengok dulu,” katanya.

Aishah yang pernah menuntut dalam jurusan sains politik di sebuah universiti di New Zealand berkata sekiranya beliau diberi peluang untuk berada dalam satu kedudukan, sudah tentu agenda kebajikan seniman dan pemerkasaan industri seni akan diberi keutamaan.

“Kalau saya berada dalam situasi yang saya ada kuasa, saya akan lihat perkara-perkara yang berkaitan seni itu dengan kaca mata yang lebih teliti lagi,” katanya.

Lihat Komen
ADS