Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Netizen hampa Misteri Dilaila dikaitkan isu ciplak
Diterbitkan:  Mar 5, 2019 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Sejak beberapa hari ini tular maklumat daripada pengguna alam maya yang mempertikaikan filem Misteri Dilaila apabila pengarahnya disyaki menciplak hampir 80 peratus jalan cerita Vanishing Act.

Sebuah blog pula mendakwa Syafiq bukan sekadar mengambil idea dan konsep, malah menyalin bulat-bulat beberapa babak daripada karya diterbitkan pada 1986, arahan David Greene itu.

Pendedahan itu juga menyebabkan segelintir netizen meluahkan perasaan kesal selain tidak berminat untuk mengeluarkan wang dan membeli tiket bagi menonton Misteri Dilaila yang mula ditayangkan sejak 21 Feb lalu.

“Aduh baru teruja nak tengok cerita Misteri Dilaila hari tu. lepas orang cakap Misteri Dilaila tu plagiat, rasa turn off terus!” ciap pengguna Twitter @ashraffesalleh.

Pengarah sinematografi Mohd Noor Kassim pula meluahkan perasaan sedih kerana tidak menyangka syarikat Skop Productions Sdn Bhd terbabit isu plagiat sedangkan pihak mereka sebelum ini teguh mempertahankan berkenaan hak harta intelek.

“Sedih sebab kita selalu laungkan hapuskan cetak rompak. Tapi kita sendiri yang menggelarkan diri anak seni merompak hak cipta orang lain dan mengaku hak kita.

“Orang lain buat diheret di mahkamah. Ni ambil hak orang lain nak heret ke mana pulak? Ooo maybe tak apa sebab depa orang putih sebab Malaya dulu pun orang putih jajah. Good job bro,” katanya di Facebook.

Vanishing Act mengisahkan seorang lelaki watak dilakonkan Mike Farrel yang melaporkan kehilangan isterinya ketika berbulan madu kepada polis (Fred Gwynne).

Bagaimanapun, beberapa hari kemudian, seorang wanita (Margot Kidder) diiringi paderi di kawasan tersebut muncul selain mendakwa sebagai isteri lelaki terbabit yang hilang.

Namun, lelaki itu menafikan wanita tersebut adalah isterinya.

Menurut Mohd Noor, cuma beberapa karakter dalam Vanishing Act didapati diubah misalnya paderi menjadi Imam Aziz, anjing menjadi kucing hitam dan arak menjadi kopi.

“Sama tak? Yang tak sama kucing jadi anjing, ustaz jadi paderi dan kopi jadi arak, kitab jadi injil...hehehehe...master of plot twist, satu Malaysia kena twist!” katanya di Facebook.

Untuk nota, sewaktu majlis pratonton diadakan sebelum filem berkenaan ditayangkan kepada umum, Syafiq pernah memaklumkan Misteri Dilaila mendapat rujukan beberapa filem Barat dan Korea. 

Misteri Dilaila juga mengisahkan watak Jefri yang juga seorang suami (Zul Ariffin) yang mengadu kehilangan isterinya, Dilaila (Elizabeth Tan).

Tetapi seorang wanita lain (Sasqia Dahuri) hadir bersama Imam Aziz (Namron) dan mengaku dirinya sebagai isteri Jefri.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak penerbit Astro Shaw dan Skop Productions.

Lihat Komen
ADS