Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Memalukan mak yong diharamkan di tempat asalnya'

Pelapor khas Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan hak budaya Karima Bennoune menyifatkan pengharaman mak yong di negeri asalnya Kelantan sebagai memalukan.

"Saya rasa ia amat memalukan apabila mereka melarangnya (mak yong dan persembahan seni lain) di negara asalnya.

"Saya rasa kita perlu cari jalan untuk menyokong penggiat seni yang menceburkan diri dalam bidang tersebut," katanya pada pemberita selepas Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Seni dan Budaya kali ke-8 di KLPac, Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Bennoune mengharapkan kerajaan baru menarik semula larangan terhadap persembahan tradisional berkaitan, seperti gesaannya pada September 2017 lalu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas ucapannya yang menyentuh mengenai larangan tersebut.

Ketika lawatannya pada 2017, beliau dijemput kerajaan Malaysia dan ditugaskan Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk memantau, menilai dan memberikan pandangan berhubung hak budaya di semua negara.

Tarian mak yong adalah salah satu seni tradisi tertua di Kelantan dan diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (Unesco).

Katanya, meskipun beliau yakin bahawa larangan tersebut bukan disengajakan tetapi ia mewujudkan satu stigma dan menyukarkan mereka yang bekerja dalam bidang tersebut.

"Jadi penggiat seni ini perlukan sokongan supaya persembahan seni mereka tidak ditelan zaman dan saya juga berharap supaya mereka menerima pampasan daripada kesan larangan terbabit.

"Jadi saya berbesar hati bahawa kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkannya dan saya harap perubahan yang berlaku di Malaysia kali ini dapat memperlihatkan langkah berani (dari kerajaan) untuk melaksanakan cadangan tersebut kerana terdapat banyak perkara positif dalam kepelbagaian budaya di sini dan ia perlu dilaksanakan untuk memelihara kepelbagaian itu," katanya kepada pemberita.

Tambahnya, jika larangan itu masih diteruskan, beliau tidak akan berputus asa menggesa supaya ia ditarik semula.

"Saya berharap bahawa penguatkuasa kerajaan (kerajaan persekutuan) dapat bekerjasama dengan penguatkuasa negeri (kerajaan negeri Kelantan) dan memastikan supaya larangan tersebut ditarik semula dalam masa yang singkat.

"Saya rasa pada peringkat antarabangsa, kerajaan persekutuan yang bertanggungjawab untuk menjamin hak kebudayaan itu dan larangan-larangan tersebut merupakan satu pencabulan hak kebudayaan rakyat Malaysia," katanya.

Bennoune berpendapat, rakyat Malaysia sepatutnya dapat menikmati kekayaan warisan kebudayaan yang mereka miliki.

Bagaimanapun, katanya kerajaan Malaysia yang baru ini mempunyai peluang yang cerah untuk mengembangkan kebebasan seni di seluruh negara ini, sambil memberikan contoh menarik semula karya buku yang diharamkan dan tuduhan terhadap kartunis terkenal sebelum ini.

Lihat Komen
ADS