Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jika tak dipertahan Makyung akan 'dicuri'

Jika terus berfikiran sempit, seni warisan Makyung akan pupus ditelan zaman selain berkemungkinan ‘dicuri’ dan diperakui sebagai khazanah negara lain, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Isham Ishak.

Isham berkata, warisan itu yang diasaskan sejak turun temurun wajar dipertahankan dalam konteks tamadun moden, terbuka dan progresif.

“Jangan berfikiran sempit kerana Ini warisan kita, kalau tidak dipertahankan makyung akan diambil, dibeli atau dibawa ke negara lain.

“Kita tak mahu kehilangan khazanah negara,” kata beliau kepada pemberita selepas acara Sidang Kemuncak Dunia mengenai Seni dan Budaya Kali Ke-8 hari ini.

Acara itu melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama empat hari bermula 11 Mac lalu di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC).

Isham diminta mengulas kenyataan pelapor khas Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan hak budaya Karima Bennoune yang menyifatkan pengharaman Makyung di negara asalnya sebagai memalukan.

Karima yang ditemui pemberita pada persidangan di KLPAC itu 12 Mac lalu menggesa agar kerajaan baru menarik semula larangan terhadap pertunjukan itu, seperti gesaan yang pernah dibuat pada 2017. 

Seorang daripada penggerak makyung Rosnan Rahman atau dikenali sebagai Pak Yong pula berkata, penggiat tarian itu terbuka untuk sebarang perbincangan berkaitan garis panduan persembahan bagi memastikan bentuk kesenian itu kekal dipelihara.

Kelantan sebelum ini secara rasmi mengharamkan mana-mana persembahan tradisional yang dianggap mengandungi unsur bertentangan ajaran Islam.

Tambah Isham, sesuatu persembahan tradisional itu wajar dikaji semula sebelum ia diharamkan bahkan perlu difahami secara menyeluruh konteks persembahannya.

“Kalau kata haram, kita patut faham terlebih dahulu apa ingin dipersembahan. Tetapi jika ada mesej yang boleh diambil, jadikan ia tauladan.

“Justeru, kita patut adakan lebih banyak ruang untuk berdialog, berkomunikasi dan perbincangan antara cendekiawan dan ahli akademik misalnya, kerana jika tak faham, boleh timbul pemikiran negatif,” katanya.

Lihat Komen
ADS