Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jerebu: Apa yang dah berlaku, tanya Fran
Diterbitkan:  Sep 18, 2019 2:25 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Ketika orang ramai berdepan masalah jerebu, penyanyi terkenal, Francissca Peter, pun bertanya: apa sebenarnya sedang berlaku sehingga masalah itu masih perlu dihadapi rakyat negara ini.

Mengajukan persoalan itu kepada PH yang menjadi kerajaan Francissca berkata masalah jerebu yang berpunca daripada pembakaran terbuka dan penebangan hutan berlaku sejak bertahun-tahun lalu.

“Tolong berbuat sesuatu dengan segera, kerana rakyat menderita (menanggung) jerebu,” ciap penyanyi Reach For The Sky itu di Twitter pagi tadi.

Jerebu rentas sempadan menyelubungi sebahagian negara Asean kesan kebakaran hutan dan kawasan pertanian di beberapa wilayah Indonesia.

Hari ini ratusan sekolah di negara ini ditutup selepas kadar pencemaran mencapai tahap bahaya. Berdasarkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar kualiti udara mencatatkan paras sangat tidak sihat di banyak kawasan di negara ini.

Kementerian Pendidikan memaklumkan semua sekolah di Putrajaya dan Klang ditutup hari ini ekoran bacaan IPU mencecah 200 mulai jam 6 pagi tadi manakala Selangor di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Kuala Selangor, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Petaling Utama (538).

Terdahulu, lebih 4,000 titik panas dikesan di kawasan tengah dan barat Indonesia dengan pihak berkuasa tempatan menugaskan anggota untuk memadamkan kebakaran yang menjadi punca jerebu di rantau ini.

 

Pada masa sama, Francissca yang juga penyanyi Going Crazy dan Sekadar Di Pinggiran itu mempertikaikan sikap yang sepatutnya dicurahkan kerajaan kepada rakyat dalam menangani krisis jerebu yang semakin serius ketika ini.

“Di manakah kasih-sayang terhadap semua di Malaysia, kanak-kanak, orang tua, ibu bapa bekerja, ahli sukan dan artis?

“Kami perlukan paru-paru yang sihat dan kuat,” ciapnya lagi dengan turut menandakan ciapan itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan PH.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam satu kenyataan di Facebook semalam berkata, beliau mengakui sepatutnya kebakaran di Riau dan Sumatera ditegah lebih awal oleh pihak berkuasa republik itu.

Beliau yang mesra disapa Jokowi mempersoalkan sama ada sumber manusia kerajaan, termasuk di daerah, datuk bandar, pegawai daerah dan ketua kampung tidak digembleng secara efektif bagi menangani kebakaran di peringkat lebih awal. 

“Masalahnya di mana? Kerjasama yang kurang efektif, inisiatif yang tidak maksimum, sehingga perangkat-perangkat (sumber tenaga) ini tidak diaktifkan secara baik.

“Padahal, seperti saya ingatkan berkali-kali, pencegahan kebakaran lahan dan hutan itu mutlak harus dilakukan,” katanya.

Lihat Komen
ADS